HARIMAU Malaya akur kekalahan kepada Oman amat pahit untuk ditelan tetapi pada saat ini biar episod duka itu dipadamkan segera.

Anak didik Kim Pan Gon tidak harus malu kecundang 0-2 kepada lawan di Muscat dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 tempoh hari, sebaliknya mengambil satu iktibar untuk tampil membalas dendam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac ini.

Sasaran skuad bola sepak negara harus terarah kepada usaha memburu tiga mata tanpa mengira faktor ranking Oman yang kini menghuni tangga ke-80 dunia. Ya, kita hormat lawan tapi jangan sampai berlebihan pula kerana tiada mustahil untuk merantai mereka di laman sendiri pada saingan Kumpulan D nanti.

Kim Pan Gon berdepan ujian getir bimbing Harimau Malaya menentang Oman pada 26 Mac ini.

Pengurusan pasukan perlu menyuntik semangat kepada pemain untuk mengutip tiga mata dan bukan berpuas hati dengan keputusan seri nanti. Satu mata itu seharusnya sasaran ketika beraksi di gelanggang lawan.

Kemenangan boleh mendekatkan impian untuk kita muncul juara kumpulan. Jadi, kenapa perlu tunggu sehingga baki dua perlawanan selepas ini iaitu menentang Taiwan dan Kyrgyzstan.

Pemain juga mengerti bagaimana rasanya jika dapat menang ke atas Oman, Selasa depan kerana pencapaian itu boleh pantas mengubah selera mereka untuk memburu tambahan mata dengan mentaliti lebih mantap.

Apa disajikan pemain, termasuk kapten pasukan, Dion Cools, Faisal Halim, Arif Aiman dan Corbin Ong, umpamanya adalah satu isyarat awal bahawa jentera serangan pasukan negara mampu menterbalikkan keputusan memihak mereka nanti.

Setiap pemain Harimau Malaya perlu lebih berani mengejar sasaran ini untuk menceriakan penyokong setia kerana mereka percaya rentak permainan pasukan masih sama seperti disaksikan pada aksi pusingan akhir Piala Asia di Qatar, Februari lalu.

Momentum itu tidak dinafikan masih wujud berpandu kepada persembahan pada perlawanan awal Jumaat. Kini, pemain harus mempercayai pada diri bahawa mereka ada ramuan untuk mencipta kejutan dan kembali dalam buruan layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia sekali lagi.

Persembahan sepasukan mungkin ‘karat sedikit’ tanpa perlawanan pemanas badan sebelum menentang Oman. Mungkin juga saingan di Muscat ini boleh dianggap satu persiapan ke arah usaha memberi fokus yang lebih positif di Bukit Jalil nanti.

Faisal Halim (kanan) cuba melepasi halangan pemain Oman dalam aksi Kumpulan D di Kompleks Sukan Sultan Qaboos pada Jumaat.

Dalam pertemuan pada Jumaat di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Oman merakamkan kemenangan penting mereka menerusi jaringan babak kedua sumbangan Issam Al-Sabhi dan Muhsen Saleh Al-Ghassani pada minit ke-58 dan 88.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia tercicir status selaku pendahulu kumpulan dan jatuh ke tangga ketiga atas perbezaan jaringan walaupun mengutip enam mata – sama dengan keringat Oman dan Kyrgyzstan. Satu lagi pasukan, Taiwan gagal mengutip sebarang mata setakat ini.

Pan Gon jelas ada kerja tambahan melakar satu strategi yang bakal menghasilkan keputusan lebih mujarab nanti. Namun, ketua jurulatih berasal dari Korea Selatan itu bukan seorang yang mudah mengalah dan sentiasa ada muslihat melakukan sesuatu congakan yang dapat memberi impak.

Lelaki berusia 54 tahun itu difahamkan kekal positif dalam persiapan menamakan barisan terbaik yang bakal turun menenang Oman di bumi sendiri dalam satu tempoh singkat ini.

“Kami perlu mengkaji permainan kami segera. Kami juga harus pantas pulih secara fizikal dan bersiap sedia untuk menghadapai perlawanan di tempat sendiri. Kita ada satu lagi perlawanan di tempat sendiri dan pasti akan memberi yang terbaik nanti,” katanya seperti dipetik dalam sidang media selepas perlawanan di Muscat.

Dengan baki tiga perlawanan dalam saingan Kumpulan D, dia mengerti tidak harus berlaku sebarang kesilapan secara kerap yang boleh menyebabkan kehilangan mata. Dia juga dalam diam-diam mungkin terbayang satu persembahan hampir sempurna daripada anak didiknya dan ia harus bermula di Bukit Jalil, Selasa ini.

Majulah sukan untuk negara!

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading