Pelajar yang menyertai program Tazkiyatun Nafs hasil usaha Unit Majlis Kegiatan Dakwah Islamiyyah Sekolah (MAKDIS), di SMK Kota Masai, Pasir Gudang, Johor.

Oleh Nurul Izzati Yahya dan Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (KPM), SMK Kota Masai

PEMBANGUNAN pendidikan semakin hari berfokus kepada pencapaian akademik dan kokurikulum yang pesat. Terdapat banyak elemen, termasuk pembaharuan dalam pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan teknologi dan pendekatan abad 21 sehingga pentaksiran dalam talian menjadi warna baharu dalam pendidikan era kini.

Bagaimanapun, kestabilan rohani dan sahsiah perlu dijaga dan dipelihara agar pelajar mampu menerapkan budaya cemerlang daripada aspek pendidikan dan moral mereka.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga sentiasa membawa penerapan nilai holistik dan sahsiah kepada pelajar supaya mereka dibina dengan pakej yang lengkap dalam membangun masa depan negara yang lebih gemilang dan berwawasan tinggi.

Antara tujuh teras utama KPM adalah memberi penekanan khusus dalam aspek Karamah Insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah di Malaysia. Pembentukan karakter pelajar yang tinggi sahsiah ini perlu dimulakan dengan pembangunan kerohanian pelajar yang menjadi pemangkin utama keperibadian yang terpuji.

Dalam usaha membentuk rohani dan sahsiah pelajar di sekolah, pendidik bersama Unit Majlis Kegiatan Dakwah Islamiyyah Sekolah (MAKDIS), di SMK Kota Masai, Pasir Gudang, Johor berinisiatif menjalankan program Tazkiyatun Nafs sebagai rutin pagi dan petang dalam melestarikan budaya sekolah sejahtera dan membantu memberikan aura positif ke dalam diri pelajar.

Selain itu, program ini bertujuan melahirkan pelajar yang bersedia dari segi emosi dan fizikal dalam menimba ilmu, agar bersedia mencapai aspirasi murid selaras dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Perkataan Tazkiyatun Nafs itu sendiri berasal dari bahasa arab. ‘Tazkiyatun’ membawa maksud menyucikan atau membersihkan, manakala ‘Nafs’ adalah representasi dari jiwa atas diri manusia itu sendiri. Jadi, Tazkiyatun Nafs membawa makna membersihkan, menyucikan, memperbaiki dan mengembangkan potensi jiwa manusia ke arah yang lebih baik.

Guru penyelaras MAKDIS, Ustazah Norhazrin Abd Halim menjelaskan bahawa pelaksanaan program ini bertujuan membangun peribadi cemerlang di samping membawa cahaya al-Quran dalam diri mereka.

Baginya, murid mempunyai nilai kebaikan dalam diri mereka dan menjadi tugas pendidik untuk terus meneroka serta membantu murid menjadi seseorang yang mempunyai pegangan hidup dan jati diri yang kuat.

Program ini sendiri membawa pendekatan bacaan al-Quran dan doa sebagai wadah utama dalam mendekatkan diri kepada Allah, Pencipta Yang Maha Esa. Antaranya adalah bacaan Surah Yassin, Surah Taha 1-5, doa penerang hati, doa untuk ibu bapa dan bacaan ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan ketenangan jiwa dan akal fikiran.

Penghayatan kepada bacaan ini meningkatkan kefahaman pelajar bahawa rasa tenang akan hadir dalam suasana yang saling mendoakan kebaikan antara satu sama lain.

Pendekatan diri kepada Tuhan adalah langkah yang baik dalam menyempurnakan hakikat manusia yang perlu taat pada perintah Allah. Tambahan lagi, amalan yang dilakukan pada setiap hari ini mampu melahirkan pelajar SKOMAS yang mampu menghafaz surah Yassin dan surah-surah pilihan yang lain.

Guru memberi penerangan dalam program Tazkiyatun Nafs.

Impak terbesar program ini ialah pengurangan masalah disiplin, rentetan kewujudan ‘biah solehah’ dalam iklim sekolah yang stabil dari segi rohani dan jasmani.

Di sini, tugas pendidik adalah menyempurnakan pembentukan kerohanian pelajar selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyatakan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Selaras dengan ini, aktiviti pembangunan kerohanian sebegini wajar dipertimbangkan untuk menjadi program berkala yang dimasukkan dalam takwim harian sekolah. Melalui program sebegini, pendidik juga boleh memasukkan beberapa cadangan program yang juga membantu pembentukan sahsiah pelajar. Antaranya, PROTIJ (Program Transformasi Jiwa), Qiadi Ruhi Wal Jasadi dan Ihya Ramadhan.

Selain pelajar arus perdana, pelajar pendidikan khas juga mendapat manfaat daripada program Tazkiyatun Nafs ini. Murid berkeperluan pendidikan khas sememangnya memerlukan sentuhan yang dapat menstabilkan emosi mereka serta mencungkil sifat positif sehingga mereka mampu untuk meneladani setiap perlakuan yang baik dan memberi kesan baik dalam kehidupan mereka.

Dalam dunia pendidikan khas, ketenangan dan kasih sayang perlu diberikan pengkhususan agar kesemua itu dapat mempengaruhi rutin harian mereka dan sama seperti murid yang lain. Mereka dapat belajar dengan baik dalam suasana yang harmoni dan sejahtera.

Pengetua SMK Kota Masai, Cikgu Saridah Abdul Majid menyatakan bahawa setiap program kecemerlangan di sekolah perlu disokong dengan adunan program bersifat rohaniah yang memberikan nilai-nilai pekerti baik untuk membentuk generasi yang cerdik. Nilai murni dan pemahaman agama perlu diutamakan dalam menyokong pendidikan yang sempurna dan bermakna.

Pada kesempatan ini, marilah kita bersama-sama mewarnai dan menghayati makna kesempuran bulan Ramadan yang diutamakan oleh umat Islam mendekatkan diri kepada Allah. Pendidik yang juga dikenal sebagai ‘daie’ harus terus bersama dalam menerajui
kecemerlangan sahsiah dan adab seiring dengan kecemerlangan akademik dan kokurikulum pada bulan yang mulia ini.

Contohilah watak peribadi Nabi Zakaria yang Allah menceritakan sikapnya yang berlumba-lumba berbuat taat dan amal soleh yang berterusan seperti ayat al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.” (Surah Al-Anbiya ayat 90)

Kesimpulannya, pelestarian amalan terbaik seperti ini dalam pendidikan perlu digerakkan dengan lebih luas dan kreatif agar memberi kesan dan nilai besar kepada pelajar.

Tazkiyatun Nafs ialah contoh program yang membawa manfaat dan penting dalam membentuk keperibadian unggul dan membantu menjauhkan murid daripada masalah disiplin yang dapat mengganggu fokus mereka sebagai seorang pelajar yang bertanggungjawab.

Penulis adalah warga Pendidik Kementerian Pendidikan Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Masai, Pasir Gudang, Johor.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading