
SEJAK beberapa hari lalu, hoki menjadi tumpuan ramai mengenai teka-teki siapa bakal dilantik menjadi ketua jurulatih baru skuad senior negara.
Ya, Sarjit Singh menjadi pilihan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk menggalas tanggungjawab besar untuk membina semula barisan baru dengan mencari satu formula mujarab.
Sudah pasti bekas kapten skuad negara itu mengerti betapa tuntutan daripada komuniti hoki yang kini menyandarkan harapan ke atasnya untuk memastikan kita dapat layak ke Sukan Olimpik selepas kemarau 24 tahun.
Kita tidak perlu menghuraikan lagi hakikat ini kerana skuad terdahulu pimpinan A Arul Selvaraj gagal menepati cita rasa MHC yang menyimpan impian besar dapat layak ke temasya di Paris, Julai ini.
Dalam saingan kelayakan Olimpik di Muscat, Oman, pasukan negara ‘semacam kurang bermaya’ dan sekadar pulang hampa meraih tempat kelima. Hanya tiga pasukan teratas dapat menempah tiket berharga itu.
Terdahulu, di Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China, skuad negara mencipta detik kecewa apabila menghuni tangga keenam ketika sasaran Arul adalah untuk membawa pulang pingat emas. Namun, misi itu gagal dan ia ditakrif oleh pembayar cukai sebagai ‘janji palsu’.
Sama ada mahu atau tidak, Sarjit tiada pilihan kecuali mencari ilham mencanang satu barisan yang mampu menggegar untuk memenangi emas di Sukan Asia 2026 di Jepun – pencapaian yang bakal membantu kita layak secara automatik ke temasya Olimpik 2028 di Los Angeles.

Di sini, apa yang perlu diutamakan adalah mencari barisan pemain terbaik yang ada selera besar untuk membantu pasukan negara berjaya di persada dunia. Kita mahu melihat taring sebenar pada Speedy Tigers dan bukan hanya sebutan namanya sahaja.
Rasanya, hajat ini mungkin dapat dicapai dalam tempoh dua tahun yang berikut. Tambahan, Sarjit yang pernah beraksi pada dua Sukan Olimpik iaitu 1984 di Los Angeles dan 1992 di Barcelona, mengerti ramuan diperlukan untuk mencari semula kestabilan dalam skuad negara.
Pengendali berusia 61 tahun ini juga meminta diberikan tempoh antara 14 sehingga 18 bulan untuk menjelmakan satu barisan yang ada kualiti bersaing di pentas antarabangsa.
Jadi kontrak dua tahun diberikan oleh MHC itu harus dimanfaatkan sepenuhnya mencari barisan pemain cukup bersedia sebelum melangkah gah ke Sukan Asia.
Apa pun, sedikit gambaran awal mengenai wajah cabaran pasukan negara harus sudah dapat dilihat apabila dia membimbing anak didiknya menyahut cabaran dalam kancah Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, awal Mei ini.
Kejohanan jemputan ini setidak-tidaknya dapat memberi satu idea secara kasar kepada ketua jurulatih baru itu untuk proses pemilihan yang berikut serta struktur yang diperlukan bagi menggilap lagi kemampuan pemain.
Kita juga boleh menjangkakan Sarjit akan memberi tumpuan kepada skuad kebangsaan membabitkan barisan remaja dan senior apabila dia menamakan 40 sehingga 42 pelatih untuk latihan pusat pada 10 Mac ini. Fasa pertama latihan dijangka bermula pada 19 Mac.
Mungkin kita kurang melihat latihan bersama seperti ini pada skuad yang lalu. Mungkin juga ia ada kaitan dengan persiapan skuad muda negara menyahut cabaran Piala Dunia Remaja (JWC 2023) di Kuala Lumpur pada Disember lalu.
Sesungguhnya, satu kelompok besar pelatih negara membabitkan remaja dan senior harus sentiasa dikekalkan kerana ia sudah pun menjadi satu sistem yang diamalkan bagi mencari keseimbangan dalam pasukan utama.
Kalau masih ingat, Paul Lissek yang juga bekas pengendali skuad negara membentuk pasukan dengan menggunakan jumlah pelatih yang besar bilangannya untuk mendapatkan pilihan terbaik pada akhir 90-an.

Secara tidak langsung pemain remaja yang berlatih bersama rakan lebih senior juga mendapat pendedahan baik – sekaligus berjaya meningkatkan tahap permainan masing-masing.
Proses ini menyaksikan ramai pemain remaja berbakat ketika itu mampu ‘mencabar abang mereka’ daripada skuad senior untuk memburu tempat dalam kesebelasan utama.
Ini termasuk pemain seperti K Logan Raj, mendiang Chua Boon Huat, Jiwa Mohan dan Muhammad Amin Rahim yang sudah pun menjadi pemain dalam skuad senior sebelum mereka dipilih beraksi dalam Piala Dunia Remaja pada 2001 di Hobart, Australia.
Tidak dinafikan kelompok ini berjaya menonjolkan diri masing-masing pada Sukan Komanwel 1998 dengan memenangi pingat perak dan juga persembahan terpuji di kancah Piala Dunia pada 2002 – kedua-duanya di Kuala Lumpur.
Bagi Sarjit, dia dijangka akan berdepan dengan kesulitan mencari pemain remaja terbaik kerana rata-rata persembahan mereka dalam JWC 2023 agak mengecewakan dengan aksi terumbang ambing.
Tapi, kita percaya pengendali baru itu dapat melihat beberapa pemain muda yang boleh diadunkan dengan pemain senior kali ini. Ini kerana Sarjit tidak boleh menaruh harapan 100 peratus ke atas pemain senior bagi misi masa depan skuad negara.
Kita kerap menyaksikan pasukan handalan dunia dari Eropah seperti Jerman, Belanda, Belgium atau Sepanyol akan sering menyelitkan barisan muda berpotensi selang beberapa tahun bertujuan mengekalkan keseimbangan pasukan bagi menyambung persembahan konsisten masing-masing.
Lagipun, ramai pemain skuad Speedy Tigers sudah mencecah atau melebihi usia 30 tahun. Kita kena tanya mereka sama ada mahu teruskan cabaran membantu pasukan atau memilih haluan masing-masing. Pemain juga harus menjawab secara ikhlas.
Selain itu, ada beberapa pemain yang beraksi dalam Liga Hoki Malaysia yang sedang berlangsung sekarang juga mungkin dipanggil untuk latihan pusat nanti, termasuk penyerang kelab Nurinsafi Sporting, Nur Rahull Hrsikesa Thatchana Muruthi yang sudah menyumbat 18 gol setakat ini.
Kita amat mengharapkan kehadiran Sarjit boleh mengubah nasib pasukan negara selepas ini dan apa diperlukan adalah persembahan kualiti termasuk tahap kecergasan dan disiplin tinggi daripada setiap pelatih negara.
Kita sebagai pemerhati dan peminat harus memberi sokongan moral kepada Sarjit dalam usahanya pada dua tahun berikut ini bagi memulihkan maruah pasukan negara yang tercalar ketika ini.
Ingat, kejayaan pasukan negara selepas ini bukan hanya bergantung kepada keringat ketua jurulatih sahaja malah gandingan padu daripada semua semua pihak sekelilingnya. Dia perlukan tenaga positif sekitar pasukan dan bekerja sebagai satu pasukan.
Majulah sukan untuk negara!






Leave a Reply