TANJUNG MALIM: Bangsa Melayu, selain yang berada di Malaysia, telah mendiami daerah-daerah yang luas, melibatkan lima wilayah di Selatan Thailand, Indonesia, Selatan Filipina, Vietnam, Kemboja, Sri Langka dan Afrika Selatan.
Menurut beberapa penyelidik, tamadun Melayu terbentuk oleh sekumpulan orang Melayu yang tinggal di Asia Tenggara yang dikenali dengan pelbagai nama seperti Alam Melayu, Nusantara, Tanah Jawi dan Gugusan Kepulauan Melayu.
Sejak dahulu, tamadun Melayu telah melalui pelbagai perubahan sesuai dengan perkembangan dunia. Namun, pepatah ‘takkan Melayu hilang di dunia’ mengikat dan membentuk satu lingkaran perjalanan bangsa, khususnya di Malaysia.

Sudah semestinya bangsa Melayu perlu mengekalkan elemen asas yang telah berjaya memandu dan mengawal generasi dahulu supaya tidak tergelincir.
Proses mencipta warisan adalah fenomena yang berlaku sebagai tindak balas kepada keperluan masyarakat sejak dahulu hingga sekarang.
Justeru, legasi baharu bakal tercipta apabila Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Institut Peradaban Melayu (IPM) mengambil inisiatif berani untuk merealisasikan Laman Warisan Melayu sebagai ruang pembelajaran dan pengajaran terbuka.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata langkah itu menandakan komitmen UPSI dalam mempromosi dan memperkukuhkan warisan budaya Melayu sebagai aset yang penting dalam pendidikan dan pembangunan negara.
Katanya, konsep laman istana Melayu yang kaya dengan binaan dan flora alam Melayu dipilih sebagai asas untuk pembangunan Laman Warisan Melayu ini.
Beliau berkata, dengan menggabungkan elemen-elemen tradisional Melayu seperti seni bina, seni ukir, dan landskap alam semulajadi, UPSI berharap untuk mencipta sebuah persekitaran yang memukau dan merangsang pembelajaran.
Prof Md Amin berkata, Laman Warisan Melayu juga akan diintegrasikan dengan falsafah dan konsep kehidupan Melayu yang kaya dengan nilai-nilai kearifan tempatan berteraskan estetika landskap budaya Melayu dengan menjadikan karya sastera Melayu tradisional, seperti sastera sejarah, sastera hikayat, sastera undang-undang dan ketatanegaraan serta sastera lisan sebagai sumber rujukan.
“Melalui pengajaran yang terbuka dan berteraskan nilai-nilai seperti kesopanan, keagungan, dan keharmonian, UPSI berhasrat untuk melahirkan graduan yang tidak hanya cemerlang secara akademik tetapi juga berakhlak mulia, ” katanya.
Menurut beliau keputusan UPSI untuk menggabungkan konsep Laman Warisan Melayu dengan prinsip-prinsip Pembangunan Mampan (SDG) adalah langkah yang sangat bijak.

Pengarah IPM , Prof Dr Tajul Shuhaizam Said, berkata Laman Warisan Melayu bukan sahaja menjadi tempat pembelajaran budaya Melayu tetapi juga menyumbang kepada pembangunan mampan yang seimbang dari segi ekonomi, sosial, dan alam sekitar.
“Pembangunan Laman Warisan Melayu ini turut mengetengahkan peranan penting universiti dalam memperkukuhkan identiti budaya negara, ” katanya.
Sebagai pusat pengajian tinggi, katanya, UPSI mempunyai tanggungjawab untuk memastikan warisan budaya Melayu terus dihargai, dilestarikan, dan dipromosikan kepada generasi muda.
“Dengan pelaksanaan projek bermula ini Mac depan, diharapkan Laman Warisan Melayu akan menjadi mercu tanda kebanggaan bagi UPSI dan menyumbang kepada pembangunan pendidikan serta kebudayaan negara.
Semoga inisiatif ini akan menjadi penanda aras dalam usaha memartabatkan warisan budaya Melayu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.







Leave a Reply