
KERAJAAN Thailand di bawah pimpinan Perdana Menteri, Srettha Thavisin memberi jaminan beberapa masalah yang membelenggu lima wilayah di selatan negara itu akan diberi perhatian utama untuk diselesaikan.
Ini termasuk isu-isu keselamatan, keamanan, pembangunan dan ekonomi penduduk di wilayah Yala, Narathiwat, Pattani, Songkhla dan Satun.
Menjawab soalan daripada apakhabartv.com berhubung pembangunan di Selatan Thailand, Srettha menjelaskan dalam tempoh tiga tahun ini, beliau akan berusaha membawa pembangunan ke tiga wilayah – Yala, Pattani dan Narathiwat.
“Sudah tentu kami mempunyai projek pembangunan yang akan dilaksanakan di Selatan Thailand, terutama wilayah yang bersempadan dengan Malaysia, untuk kebaikan penduduk.
“Ini termasuk dalam sektor pelancongan, serta kemudahan lain seperti pelebaran jalan, dan kemudahan di pintu sempadan Thailand-Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan rasmi tiga hari ke wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat. Lawatan itu berakhir dengan kunjungan ke Muzium Al-Quran dan Warisan Budaya Islam terbesar di Asia Tenggara yang terletak di Pondok Wakaf Anak Ayam, Yi Ngo, Narathiwat, hari ini (29 Februari 2024).

Mengulas lanjut, Srettha juga memberi jaminan dari segi keamanan dan kemakmuran, terutama menjelang Ramadan tidak beberapa hari lagi.
“Ramadan adalah bulan kesabaran. Saya berdoa kepada semua supaya mencapai kebahagian. Kerajaan akan mengutamakan isu kesaksamaan dengan menjadikan ketiga-tiga wilayah ini lebih aman dan makmur.
“Keamanan dan kemakmuran adalah misi besar yang mesti dilakukan bersama kerajaan bersedia dan rakyat,” katanya yang berharap penduduk di ketiga-tiga wilayah itu akan turut memberi kerjasama menjaga keamanan.
Beliau turut bangga kerana selama tiga hari lawatan ke Selatan Thailand, beliau mendapat sambutan baik dan mengagumkan daripada penduduk.
“Anda boleh melihatnya daripada mata semua orang yang datang menyambut saya. Mereka mahu melihat peluang yang akan dibawa oleh kerajaan dan memahami garis panduan di mana kita akan cuba melakukan yang terbaik
“Perkara yang baik yang masih belum dilakukan selama ini mesti dilaksanakan di tiga wilayah ini,” katanya yang yakin pergolakan jangka panjang dan masalah ekonomi akan dapat diselesaikan.






Leave a Reply