
BANYAK perbincangan mengenai kemunculan penyelamat umat atau mujaddid abad 15 Hijrah. Umat Islam menantikan kemunculan tokoh Islam yang akan membawa penyatuan ummah ke arah kesedaran dan kebangkitan Islam.
Seorang cendekiawan Muslim Indonesia, Quraish Shihab dalam bukunya ‘1001 soal keislaman yang patut anda ketahui’ berpendapat, tugas mujaddid sebagai pembaharu diperlukan bagi mengingatkan perjalanan sejarah yang boleh jadi dilupakan atau disalah faham dalam ajaran agama.
Oleh itu mujaddid berperanan menghidupkan ajaran agama. Meskipun demikian tidak mudah untuk menetapkan siapa orangnya pada setiap abad itu.
Dalam Islam, mujaddid membawa maksud seorang pembaharu yang akan memperbaiki kerosakan dan mengembalikan umat Islam ke jalan yang benar.
Penantian kemunculan tokoh atau ulama Islam yang mujaddid ini bersandarkan kepada hadis Nabi SAW.
Hadis yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW yang menyebutkan berkaitan kemunculan mujaddid untuk umat Islam pada setiap 100 tahun sekali atau satu abad.

Hadis itu bersumber daripada Abu Hurairah RA yang meriwayatkan sabda Rasulullah SAW sebagai berikut:
إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengutuskan untuk umat ini setiap 100 tahun orang-orang yang akan memperbaharui agama ini (daripada segala penyimpangan)”
Sumber: Irsyad Al-hadith Siri Ke-16: Hadis tentang Mujaddid (Reformis) Agama. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Riwayat Abu Daud (3740) dalam Kitab al-Malahim, Bab Apa yang Disebut pada Kurun ke-100, dan al-Hakim (4:522) dalam al-Mustadrak. Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani (599) dalam Silsilah-nya.
Makna Lafaz “ مَن ” di dalam hadis ini.
Menurut laman sesawang tersebut para ulama dan ahli ilmuan berpendapat ketika menafsirkan hadis ini, lafaz “man” (من) itu adalah “isim mausul” (اسم موصول) yang membawa maksud itlaq (إطلاق) sama ada seorang atau lebih. Ini kerana, terdapat golongan yang mengatakan hanya seorang yang akan menjadi reformis setiap 100 tahun.
Pendapat yang mengatakan bahawa lafaz “man” itu menunjukkan lebih daripada seorang disokong oleh beberapa ulama hadis yang terkenal, antaranya ialah:
- Ibn Hajar: Tidak semestinya setiap seratus tahun itu akan muncul seorang sahaja reformis, kemungkinan perkara tersebut dilakukan secara berkumpulan. [Fath al-Bari, 13:295]
- Ibnu Kathir: Hadis ini meliputi setiap individu pada masa kini yang melaksanakan fardhu kifayah iaitu dengan menunaikan amanah ilmu. [al-Bidayah wa al-Nihayah, 9:303]
- Al-Zahabi: Aku berpendapat lafaz “man” di dalam hadis tersebut menunjukkan jama’ dan bukannya mufrad”. [Tarikh al-Islam, 7:99]
Dengan kata lain, seorang mujaddid yang disebutkan dalam hadis ini bukan terbatas kepada individu dan boleh juga sesebuah kelompok atau organisasi.
Persoalannya adakah Hamas dan kumpulan pejuang Palestin lain merupakan kumpulan mujaddid yang dinantikan. Adakah mereka merupakan penyelamat umat ini?
Hamas bukan kumpulan ulama atau pemikir agama, tetapi mereka adalah kumpulan pejuang Islam yang berjuang menyedarkan umat Islam disebabkan kelalaian sejagat.
Apakah matlamat serangan pada 7 Oktober 2023. Walaupun Briged Al Qassam – sayap bersenjata Hamas – mengetahui serangan itu akan membawa kesan dan akibat buruk kepada penduduk Palestin di Gaza tetapi rancangan serangan tetap diteruskan.
Serangan itu sebagai tindak balas bagi menentang pendudukan rejim Zionis dan pembunuhan rakyat Palestin.
Laporan Al Jazeera yang memetik laporan setebal 16 muka surat diterbitkan Hamas menjelaskan anggotanya cuma menyasarkan tentera Israel dan individu yang membawa senjata.
Dalam laporan bertajuk ‘Naratif Kami’, Hamas yang mentadbir Gaza berkata pihaknya mahu menjelaskan latar belakang dan kedinamikan serangan mengejut yang dipanggil ‘Operasi Taufan Al-Aqsa’.
Ia adalah strategi untuk menekan pihak berkuasa Israel supaya membebaskan ribuan rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel.
Dalam hubungan ini serangan 7 Oktober ingin menyedarkan umat Islam mengenai kempen pembinaan penempatan Israel dan pencerobohan berterusan rejim Zionis ke atas tanah Palestin di Tebing Barat serta Baitulmaqdis yang diduduki.
Hamas dan pejuang Palestin adalah kumpulan kecil yang menentang sebuah negara haram yang tersusun daripada persenjataan, pertahanan, ketenteraan dan kuasa nuklear.

Hamas umpama tentera Islam seramai 313 orang berhadapan dengan 1,000 tentera musyrikin Makkah yang lengkap bersenjata. Dianggap sebagai satu peperangan luar biasa, apabila tentera Islam yang sedikit jumlahnya dan kekurangan dari sudut kelengkapan senjata apatah lagi berpuasa berjaya mengalahkan tentera kafir Quraish.
Hamas dan pejuang Palestin juga berada dalam suasana Al Qadisyah berperang dengan sebuah kuasa besar Parsi.
Kekuatan tentera Islam yang menyertai peperangan ini dianggarkan seramai sekitar 30,000 sehingga 36,000 orang, yang mana 300 lebih daripada mereka adalah sahabat Nabi SAW, 70 lebih daripada mereka adalah di kalangan ahli Badar, dan sejumlah 700 orang anak-anak para Sahabat RadhiyaAllahu ‘anhum. Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah (9/616), Tarikh at-Tobari (3/487).
Tentera Parsi yang terlibat dalam peperangan ini adalah dalam sekitar 80,000 orang. Riwayat lain mengatakan tentera Parsi adalah seramai 120,000 orang berserta 33 ekor gajah. Al-Kafi #1262: Iktibar; Pengajaran daripada Peperangan Al_Qadisiyyah, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan).
Daripada tujuan dan objektif serangan 7 Oktober memperlihatkan bahawa negara-negara Islam tidak dapat melakukan sebarang usaha berkesan menyelamat penduduk Palestin baik di di Tebing Barat mahukan di Gaza. Malah negara-negara Arab berebut-rebut mengadakan normalisasi dengan regim pengganas Israel.
Arab Saudi, negara penjaga kota suci Makkah dan Madinah dikhabarkan sedang dalam proses memuktamadkan rundingan normalisasi dengan negara haram Israel.
Hamas dikira menangguhkan proses rundingan daripada ditamatkan.
Empat negara Arab telah merasmikan hubungan dengan Israel dalam pakatan yang dikenali sebagai Perjanjian Abraham iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi.
Walaupun negara-negara ini meletakkan syarat mahu konflik di Gaza ditamatkan dengan wujudnya laluan jelas ke arah penubuhan negara Palestin tetapi ia adalah penghias yang mengaburi pandangan umat Islam.
Serangan Hamas pada 7 Oktober ingin menyedarkan pemimpin negara Islam yang berselimut supaya bangkit dan menyelamatkan umat Islam Palestin yang akan dilupakan setelah perjanjian normalisasi dengan regim haram dimeterai.
Walaupun para ulama dan pemikir Islam tidak bersetuju dengan pandangan ini tetapi bagi saya, Hamas adalah kumpulan mujaddid abad ke-15 Hijrah, penyelamat yang ditunggu umat Islam dengan kedatangan setiap 100 tahun. Hamas adalah pembuka jalan kepada kesedaran tentang apa yang berlaku kepada dunia Islam sekarang.
Hamas telah membongkarkan betapa Barat khusunya Amerika Syarikat (AS), Britain dan Peranchis adalah khadam kepada negara haram. Mereka akan bermati-matian membantu regim Zionis walaupun genosid, pembersihan etnik dan ancaman kebuluran sedang berlaku di depan mata ke atas penduduk Palestin di Gaza.
Ini bukan sahaja isu agama tetapi isu kemanusiaan sejagat.
Hamas dan kumpulan pejuang Islam lain ingin menunjukkan betapa lemahnya negara Islam dan dunia antarabangsa yang kaku dan layu tidak dapat berbuat apa-apa menyelamatkan penduduk Palestin daripada disembelih, berhadapan dengan genosid, pembersihan etnik, menjadikan Gaza padang jarak padang terkukur dan mereka membiarkan penduduk Palestin mati kelaparan dalam keadaan kebuluran.
Negara-negara Islam khusus negara Arab diugut dan mudah dibuli serta ditindas oleh kuasa utama Barat dan regim haram Israel.
Bahkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pun tidak dapat menyelamatkan penduduk Palestin di Gaza. Regim haram tahu bahawa tiada siapa pun di muka bumi pada waktu ini dapat menghentikan serangan genosid yang sedang mereka lakukan.

Terkini
Negara-negara Islam di Asia Barat juga harus dipersalahkan kerana mereka tidak boleh bersatu padu untuk membina kekuatan Islam di sana. Amat tidak masuk akal bagi sebuah negara kecil seperti Israel dapat bermaharajalela dengan menindas hak-hak rakyat Palestin selama hampir 70 tahun.
Hamas membongkarkan di mana kepentingan para pemimpin dunia Islam selama ini, menjaga kepentingan mereka dengan mengetepikan kepentingan persaudaraan umat Islam.
Hamas dan penduduk Palestin telah dipilih Allah sebagai penyelamat umat. Berjihad dengan mengorbankan diri, nyawa dan harta mereka dalam membangkitkan kesedaran umat supaya membela dunia Islam. Hamas mahukan umat Islam kembali kepada ajaran Islam berpandukan al-Quran, hadis dan sunnah Nabi SAW.
Di manakah ulama dan tokoh Islam yang dinantikan itu?
Penulis adalah pensyarah dan kolumnis.





Leave a Reply