Oleh Syed Zulkifli Syed Masir

LA LUNA merupakan sebuah filem yang saya anggap mempunyai struktur yang kukuh. Filem ini menggabungkan pelbagai benang cerita dengan konsisten secara bertema daripada awal hingga akhir.

Hal ini adalah sesuatu yang jarang terdapat dalam filem Melayu, tetapi dalam La Luna dan Tiger Stripes, struktur ini jelas kelihatan.

Kebiasaannya kita melihat mesej-mesej ditampal merata-rata tanpa ada benang yang mengikat secara berterusan. Kalau sudah muncul di depan mungkin tidak muncul lagi di belakang kerana ada banyak mesej lain yang ingin mereka sampaikan.

La Luna tidak begitu, mesej dipayung terikat antara satu sama lain, saling menyokong menghantar satu suara yang sama dan diteliti supaya tidak terkeluar daripada tema.

Yang saya tak setuju pula ialah maklumatnya.

Bagi saya, antagonis dalam filem ini mempunyai pilihan. Apa yang dilakukan oleh antagonis seperti Comte de Reynaud dalam filem Chocolat, hampir sama dengan apa yang dilakukan oleh Tok Hassan.

Mereka mengubah teks khutbah, Comte mengutuk Vianne yang membuka kedai kek, Tok Hassan mengutuk Hanie yang membuka kedai pakaian dalam.

Orang yang menonton kedua-dua filem ini pasti akur betapa dekatnya Chocolat dan La Luna.

Bezanya, Comte menghalang Vianne daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan ‘sunnah’ Jesus ketika bulan Lent. Masyarakat Kristian disunnahkan untuk menahan diri daripada godaan terutamanya coklat ketika bulan Lent. Vianne datang untuk mengubah ‘sunnah’ Jesus, pastilah Comte berang.

Penganut Kristian yang mengamalkan ajaran Lent akan memahami kemarahan Comte, walaupun mungkin ada yang tidak bersetuju dengan tindakannya.

Cuba kita buat perbandingan ringkas dengan mengambil kira banyak persamaan kedua-dua filem ini. Kedua-duanya mengenai pertembungan aktiviti perniagaan yang membawa manfaat kepada kesejahteraan penduduk, tetapi aktiviti itu bertentangan amalan beragama.

Bezanya hanya dunia cerita, ‘World of Story’. Satu Kristian dan satu lagi Islam.

Kita perhatikan titik persamaan. Premis La Luna dan Chocolat sama maka sebab pertembungan juga seharusnya sama. Jika Vianne protagonis Chocolat membawa sesuatu yang menentang sunnah maka Hanie protagonis La Luna sepatutnya menentang sunnah juga. Apa ya?

Sunnah sesuatu yang dituntut tetapi bukan wajib, sepertimana menahan diri daripada coklat ketika Lent untuk Kristian, kata lah, untuk tujuan perbincangan, solat harian berjemaah untuk Islam. Hanie sepatutnya (berdasarkan adaptasi filem yang diambil daripada cerita tersebut), membangunkan perniagaan yang boleh menjauhkan orang Islam daripada berjemaah.

Hanya cara ini orang akan faham mengapa Tok Hassan marah. Tetapi dalam La Luna, orang Islam mungkin tidak memahami mengapa ketua yang ingin mempertahankan agama Islam di kampung Beras Basah marah.

Apa yang telah dilakukan oleh filem ini! La Luna menggambarkan Tok Hassan seorang agamawan yang curang (tidak salah kerana memang ada) tetapi menentang aktiviti yang tidak ditegah oleh Islam (ini fitnah kepada Islam).

Berniaga pakaian dalam untuk wanita Islam yang dipakai tersembunyi dan hanya boleh dilihat oleh orang yang halal melihatnya, sangat-sangat tidak salah dalam Islam. Ini lah perbezaan nyata dengan Chocolat.

Antagonis Chocolat mempertahankan ‘sunnah’ Jesus, manakala antagonis La Luna tidak mempertahankan sunnah, tetapi mempertahankan pandangannya sendiri yang filem ini seolah-olah sandarkan kepada agama Islam.

Fikirkan, adakah ini satu keadaan yang adil kepada agama yang keistimewaannya diletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan!

Bolehkah La Luna keluar daripada acuan Chocolat dan menggambarkan itu sebenarnya ketergilaan Tok Hassan sendiri. Boleh, malah sangat digalakkan untuk filem yang ingin menyemai keaslian tetapi buatlah karakter itu relatable dan diberi sebab untuk menjadi believable dan tanam kuat bahawa itu adalah ketergilaan dia sendiri.

Bahaya bermain di tepi pantai persepsi.

Tanam kuat seperti keinginan keadilan Ra’s al Ghul dalam Batman Return serta Magneto dalam X Man, pengekalan tradisi Commodus dalam Gladiator, keseimbangan universe Thanos dalam Avengers atau kesan psikologi kompleks Hannibal Lecter (Silence of The Lamb), Joker (The Dark Knight), Walter White (Breaking Bad) atau Norman Bates dalam Psycho.

Kalau terasa karakter tersebut terlalu besar untuk kita ikut, kita ada Hang Jebat dalam Tuah dan Nyonya Mansur dalam Ibu Mertuaku, sekadar menyebut beberapa tajuk.

Mereka sama ada villain atau antagonis yang mempunyai sebab yang kuat berjuang mengabsahkan idealogi yang penonton boleh yakin dan percaya juga, cuma tidak memihak kepada mereka.

Ketika saya menonton La Luna di pawagam untuk pertama kali, saya fikir filem ini seperti menyambung kesan yang disebarkan Hollywood. Apabila sesuatu filem Barat dimulakan dengan azan kita tahu bahawa dalam cerita itu, Islam hampir setiap masa akan digambarkan negatif.

Dalam seni bercerita, kita diajar untuk ‘Show don’t tell’. Apa yang ingin di’show’? Maklumat! Maklumat itulah yang La Luna hantar, supaya mereka boleh berlepas tangan apabila dituduh membina persepsi yang dituduh ramai sebagai tidak adil.

Mereka hanya ‘show’ oleh itu bolehlah berkata, “Saya tidak pernah berkata (tell) begitu, anda sahaja menafsirkan sedemikian.”

Leave a Reply

Trending