SUKAN tanah air kerap kali dikaitkan dengan pembangunaan pada peringkat akar umbi. Elemen ini ditakrif penting kerana di sinilah segala-galanya bermula untuk melihat bintang bertaraf dunia dari Malaysia dilahirkan.

Jika program dilakar itu berfungsi dengan satu pendekatan sistematik dan dibuat secara kolektif, kejayaan bakal menyusul, begitu juga kesabaran daripada semua pihak terbabit perlu wujud sebelum dapat melihat hasil dituai itu.

Baru-baru ini, penulis hadir menyaksikan satu pertandingan hoki bawah 12 tahun peringkat kebangsaan sekolah Tamil membabitkan 16 pasukan dari tujuh negeri dalam kategori lelaki dan perempuan.

Bintang masa depan. N. Santhosh (kiri) yang menjaringkan 19 gol untuk Selangor bergambar bersama rakan sepasukan, S Shamalan selepas menjuarai kategori lelaki B-12, Kejohanan Kebangsaan Sekolah-sekolah Tamil.

Kejohanan selama dua hari itu di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil turut menarik perhatian ibu bapa, guru dan juga Konfederasi Hoki Malaysia (MHC). Tidak dinafikan pentas saingan itu berjaya mencungkil bakat baru dan menjadi satu landasan yang sempurna bagi anak-anak muda ini memperagakan kemahiran masing-masing.

Apa yang dapat disaksikan adalah kualiti ditunjukkan pemain kerana sebelum itu mereka juga bertanding dalam kejohanan peringkat daerah di negeri masing-masing. Apabila mereka hadir di Bukit Jalil, hanya barisan terbaik dipilih oleh pengurusan pasukan negeri.

Pujian juga harus diberikan kepada Kelab Hockey Impact dari Johor yang menjadi penganjur bagi edisi ke-2 kali ini. Inisiatif mereka itu menceritakan betapa penting bakat seumpama ini digilap pada peringkat akar umbi yang lazimnya agak kurang diberikan perhatian.

Senario pertandingan juga meriah di bawah bahang cuaca panas ketika murid dari Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SKJT) ini tidak menunjukkan wajah keletihan seperti orang lain yang sudah berusia.

Beberapa pegawai pertandingan berkata kejohanan seumpama memberi mereka kesempatan menemui segenggam bakat yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi di kejohanan negeri atau pun kebangsaan satu hari nanti.

Ibu bapa dan guru serta jurulatih turut bernada sama dan menilai kejohanan ini berjaya mencapai matlamat untuk ‘mencungkil mutiara baru’.

Keputusan daripada kejohanan ini juga memberi satu gambaran jelas. Berapa pegawai pertandingan berkata mereka menemui ramai bakat yang boleh diketengahkan dan dibimbing lagi apabila mereka melangkah masuk ke Tingkatan Satu, tahun depan.

Ketua kontinjen dari Negeri Sembilan, R Yoga Lingam yang juga guru besar SKJ (T) Kuala Pilah beranggapan kejohanan seperti ini perlu diteruskan pada setiap tahun berpandu kepada kejayaan yang sudah dapat dilihat kali ini.

Yoga Lingam melihat kejohanan ini pentas terbaik melahirkan bakat hoki untuk negara dan mahu penganjur meneruskan kejohanan ini setiap tahun.

“Sepanjang 25 tahun saya menjadi guru, ini adalah kali pertama saya berpeluang melihat satu kejohanan yang besar ertinya kepada anak-anak muda kita. Di sini mereka dapat menunjukkan kemahiran yang tersembunyi di stadium yang bertaraf dunia ini,” katanya.

“Saya minta kejohanan ini dapat diadakan setiap tahun. Saingan ini bagus untuk murid sekolah yang pulang dengan mendapatkan pendedahan dan pengalaman baru yang amat berguna.”

Sementara itu, Setiausaha Kejohanan Kebangsaan Sekolah-sekolah Tamil 2024, Pravin Kumar Ravandern berkata satu kejohanan bawah 13 tahun akan juga diadakan untuk memastikan ada satu kesinambungan dalam kerjaya hoki anak muda ini yang akan berusia 13 tahun dan tidak lagi layak beraksi dalam kejohanan B-12 ini.

“Kebanyakan pemain ini yang bakal memasuki Tingkatan Satu tidak perlu bimbang. Kami akan menganjurkan kejohanan kebangsaan B-13 bagi memberikan mereka peluang yang sama. Kami sudah melihat hala tuju kita daripada kejohanan ini. Apa yang kami perlu buat adalah mengorak langkah ke hadapan,” katanya.

Pada kejohanan di Bukit Jalil, Selangor – gergasi hoki dalam kancah hoki tanah air pada peringkat remaja dan senior sejak beberapa dekad lalu – sekali lagi membuktikan kemampuan mereka apabila kedua-dua pasukan lelaki dan perempuan B-12 mereka gah muncul juara.

Edisi ke-2 ini juga melahirkan seorang bintang kecil, N Santosh yang dilabel memiliki segala ramuan untuk digilap menjadi pemain kebangsaan satu hari nanti.

Pemain bertubuh kecil dari SKJT Ladang Rinching, Semenyih itu yang mendapat jolokan ‘Wonder Rocket’ jelas menjadi igauan kepada pasukan lawan. Kemahirannya mengawal bola dan kelincahan kerap memerangkap benteng lawan yang mudah menjadi kucar kacir apabila dia memecah masuk ke dalam kawasan D.

Skuad perempuan B-12 Johor antara pasukan yang memberikan persembahan bermutu pada edisi kali ini.

Santosh bukan sahaja menjadi penjaring terbanyak dengan 19 gol malah diumumkan pemain terbaik kejohanan bagi edisi kali ini yang turut menambat perhatian pegawai MHC.

Lelaki Selangor muncul juara selepas bersahaja menewaskan Pulau Pinang Pumas 3-0 yang juga ulangan kepada perlawanan akhir pada tahun lalu, kebetulan dengan angka jaringan sama di Johor Bahru.

Dalam kategori perempuan, bintang Selangor, R Harshini menyerlah termasuk menjaringkan gol penentuan menerusi sudden death ketika menewaskan Negeri Sembilan, NS Whizz 3-2 dalam final. Dia juga adalah pemain Selangor yang beraksi dalam kejohanan hoki B-12, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), tahun lalu.

Kejohanan ini membabitkan lebih 500 peserta dalam format pertandingan sembilan sepasukan dan tempoh permainan 20 minit setiap perlawanan. Suasana kejohanan juga meriah dengan sorakan ibu bapa, guru dan juga penonton yang menyuntik semangat perjuangan pemain muda.

Majulah sukan untuk negara!

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading