Oleh Tokwan Nasir

BELIAU dikenali sebagai Tok Awang Bilal atau Pak Long Awang Bilal di kalangan penduduk kampung. Itulah pemilik nama sebenar bagi Haji Md Arif bin Ismail dilahirkan pada tahun 1938 yang kini berusia 86 tahun.

Beliau menjadi bilal Masjid Ar Rahmah, Kampung Kandai, Mukim Tajar, Alor Setar ketika usia menjengah 20 tahun pada tahun 1957.

Beliau bersara pada November 2023 atas faktor usia dan kesihatan setelah berkhidmat selama 66 tahun. Mungkin beliau adalah bilal paling lama berkhidmat di Malaysia.

Bersuara emas memanggil jemaah untuk hadir ke masjid dengan alunan azannya yang merdu lagi memukau.

Selain menjadi bilal, beliau bersama isteri mengajar Al Quran kepada anak-anak kampung. Boleh dikatakan hampir kesemua anak-anak Kampung Kandai adalah muridnya. Selain itu beliau berkebolehan mengalunkan marhaban dan berzanji.

Haji Md Arif bin Ismail atau Tok Awang Bilal.

Beliau ada seorang yang cukup dikenali dan disegani semua golongan di kampungnya.

Sebelum dibayar elaun bulanan tetap seperti sekarang, pada waktu mula-mula menjadi bilal beliau hanya diberi sagu hati sebanyak seratus ringgit setahun yang dibayar pada bulan Ramadan oleh Jabatan Agama.

Selain dari pendapatan dari hasil usaha bendang, beliau memperoleh zakat dan fitrah dari ahli-ahli kariah terutamanya yang menghantar anak mereka mengaji Al Quran dengannya.

Menjawab soalan, beliau memberitahu bahawa hampir kesemua pernikahan di Kariah Kampung Kandai, beliau adalah salah seorang saksi.

Beliau telah dua kali berkesempatan menunaikan fardhu haji.

Mempunyai lima orang anak, 15 cucu dan 18 cicit.

Atas faktor kesihatan, beliau sudah tidak dapat hadir bersolat jemaah di masjid setiap waktu selain solat Jumaat.

Pesanan beliau agar semua orang perlu mempelajari dan menghayati al-Quran selain ia adalah sumber hukum, ia juga memberi ketenangan serta memelihara pembaca dari melakukan perkara tidak elok.

Demikianlah juga dengan fardhu ain yang perlu diperkemaskan kerana itulah bekalan yang akan dibawa menemui Allah kelak.

Semoga Tok Awang Bilal diberkati dan dirahmati Allah.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading