Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir Sazali Harun.

LEMBAGA Lebuhraya Malaysia (LLM) menyambut baik pengumuman Kerajaan melaksanakan inisiatif tol percuma bagi kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja pada 8 Februari 2024 jam 12.01 tengah malam sehingga 9 Februari 2024 jam 11.59 malam di semua plaza tol, sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada Sabtu, 10 Februari 2024.

Bagaimanapun, inisiatif itu tidak melibatkan Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir Sazali Harun berkata, LLM menjangkakan akan berlaku peningkatan jumlah trafik yang menggunakan lebuh raya menuju ke arah Pantai Timur, Utara dan Selatan seawal Khamis, 8 Februari 2024.

Menurutnya, LLM menjangkakan sebanyak 2.4 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya pada hari-hari puncak sempena perayaan itu. Daripada jumlah ini, sebanyak 1.5 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

“Manakala, masing-masing 199,000, 106,000 dan 61,000 kenderaan dijangka akan menggunakan Lebuhraya KL–Karak, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (7 Februari 2024).

Bagi mendepani peningkatan trafik, LLM telah mengarahkan kesemua Syarikat Konsesi Lebuh Raya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya adalah selamat dan lancar sepanjang tempoh berkenaan.

Antara langkah – langkah yang diambil adalah:

  • Syarikat Konsesi lebuh raya tidak dibenarkan melaksanakan sebarang penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula pada 5 Februari 2024 hingga 14 Februari 2024;
  • Mengaktifkan laluan ‘smart lane’ di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti di Lebuhraya PLUS dan laluan ‘tidal flow’ di Lebuhraya KL-Karak;
  • Sentiasa memastikan pengoperasian lebuh raya dalam keadaan baik dan semua kemudahan dapat berfungsi sepanjang tempoh tersebut terutamanya di Kawasan Rehat & Rawat serta Hentian Sebelah demi keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya;
  • Memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain penambahan lorong tol sementara di beberapa plaza tol yang dikenalpasti mempunyai trafik yang tinggi;
  • Menyediakan kemudahan tambahan bagi tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa Kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1; dan
  • Meningkatkan bilangan petugas untuk memastikan kebersihan tandas dan memastikan kecukupan bekalan air serta bekalan minyak di stesen-stesen minyak dengan mendapatkan kerjasama daripada pengusaha stesen dan syarikat pembekal minyak demi keselesaan penguna lebuh raya;

Pihak LLM juga ingin menasihatkan pengguna agar:

  • Merancang perjalanan dengan merujuk kepada aplikasi MyPLUS-TTA oleh pihak PLUS Berhad bagi perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan dan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) oleh pihak Anih Berhad bagi Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1;
  • Memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan;
  • Memastikan baki kad touch and go dan e-wallet adalah mencukupi;
  • Mengaktifkan ‘pay wave’ di kad debit atau kredit sekiranya menggunakan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) di lebuh raya terpilih;
  • Pengguna yang melalui jajaran yang terlibat dengan pengaktifan ‘smart lane’ boleh menggunakan bahu jalan sebagai laluan alternatif ketika berlaku kesesakan dan dinasihatkan mematuhi papan tanda lalu lintas yang disediakan; dan
  • Bagi penunggang motosikal, dinasihatkan supaya berteduh di tempat berteduh penunggang motosikal (motorcycle shelter) yang telah disediakan semasa cuaca buruk.

Untuk kemudahan pengguna lebuh raya, Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi selama 24 jam mulai 8 Februari 2024 hingga 13 Februari 2024, jelas beliau lagi.

Pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia di talian 1 – 800 – 88 – 7752 untuk mendapatkan maklumat keadaan trafik atau mendapatkan bantuan.

Status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya juga boleh diperoleh menerusi laman Facebook: Lembaga Lebuhraya Malaysia, Aplikasi X @LLMtrafik atau di TikTok @llmtrafik.

Selamat Tahun Baharu Cina diucapkan kepada semua pengguna lebuh raya yang berbangsa Cina. Gong Xi Fa Cai.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading