ADA ramai peminat hoki tanah air agak terkejut, baru-baru ini apabila mendengar perkhabaran ketua jurulatih, Wallace Tan memilih untuk tidak menerima gaji membimbing skuad negara yang muncul naib juara Kejohanan 5s Piala Dunia 2024 di Oman.

Di sini, kita tidak perlu membandingkan beliau dengan jurulatih lain – baik hoki atau pun acara sukan lain di peringkat antarabangsa, termasuk badminton atau pun bola sepak, umpamanya.

Mungkin Wallace ada sebab tersendiri kenapa dia memilih untuk melepaskan bayaran bagus. Kita semua harus menghormati pendirian beliau tanpa membuat sebarang andaian yang bukan-bukan.

Alasan beliau enggan menerima pembayaran bagi khidmat itu difahamkan kerana dia mahu membalas jasa kepada negara yang pernah membantunya menjadi pemain kebangsaan dan jurulatih.

Mesejnya adalah dia mahu memberi khidmat percuma secara ikhlas.

Memang ini satu ayat cukup ringkas dan penuh bermakna. Terpulang kepada individu menghargai persatuan sukan kebangsaan masing-masing yang pernah membimbing dan menggilap mereka menjadi antara bintang dalam pasukan kebangsaan.

Tambah membanggakan, Wallace juga membimbing skuad negara yang memenangi emas Hoki 5s Olimpik Remaja di Buenos Aires pada 2018.

Skuad hoki negara lakar sejarah apabila muncul naib juara Kejohanan 5s Piala Dunia 2024 di Muscat, Oman pada Rabu lalu.

Enggan mengalah, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tidak membiarkan dia pergi ke Muscat dengan tangan kosong saja, malah memberi dia elaun makanan sebagai satu penghargaan.

“Kami minta dia sekurang-kurangnya terima elaun makanan. Dia setuju akhirnya,” kata Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal dalam satu sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada sidang media pada 31 Januari.

Penulis juga mengenali Wallace sejak dia menjadi jurulatih dalam liga kebangsaan dan kemudian dinaik taraf kepada pengendali skuad senior negara pada 2004 sehingga 2006. Dia memang bersifat pendiam dan ada kalanya pemalu sedikit. Ada juga sesekali dia suka mengusik secara peramah.

Perwatakan bersikap merendah diri itu sudah dapat dilihat sejak dia menjadi pemain dan jurulatih. Dia lebih fokus kepada kerjayanya dan memikul tugasan diberikan dengan komitmen 100 peratus di atas padang.

Dia juga antara personaliti hoki yang kurang mendapat perhatian di kalangan media dan mungkin sikap itu membutirkan hasil pada hari ini – melakar kejayaan membantu Malaysia memenangi pingat perak di peringkat dunia.

Ini boleh dilabel satu lagi detik kemasyhuran – selepas kejayaan skuad hoki padang negara mendapat tempat keempat di Piala Dunia 1975 di Kuala Lumpur.

Wallace menghambur pujian kepada pemain negara yang memberikan segala terbaik dalam final ketika tewas kepada Belanda 2-5 dalam final pada 31 Januari lalu di Muscat.

Tapi, dia akur lawan mereka lebih baik yang hadir ke kejohanan dengan status selaku juara Eropah. Skuad wanita Belanda juga gah muncul juara wanita manakala skuad wanita negara kita menghuni tangga keenam.

Wallace Tan (tengah) menyambut kejayaan anak didiknya layak ke final bersama ketua pasukan, Mohamad Akhirmullah Anuar Esook (No.10) ketika menewaskan Poland dalam separuh akhir.

“Pada tahap Piala Dunia, ini adalah pencapaian terbaik dan tertinggi bagi hoki Malaysia. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua warga Malaysia di atas sokongan padu mengiringi cabaran kami di kejohanan,” katanya dalam satu klip video yang dikongsi oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dengan media.

Wallace berharap sokongan ini akan berterusan untuk menyemarakkan semangat anak didiknya walaupun terkandas dalam halangan terakhir pada kejohanan edisi pertama di Oman.

Skuad negara kita juga bangga dengan satu lagi pencapaian apabila ketua pasukan, Mohamad Akhirmullah Anuar Esook yang menjaringkan 10 gol dinobatkan selaku Pemain Terbaik kejohanan.

Malaysia memulakan kempen dalam Kumpulan D dengan seri 3-3 menentang tuan rumah, Oman sebelum menumpaskan Amerika Syarikat 3-2 dan membelasah Fiji 8-3 untuk layak ke suku akhir.

Selaku naib juara kumpulan, skuad negara menewaskan juara Kumpulan C, Trinidad & Tobago 5-4 dalam kelompok lapan terakhir sebelum mara ke final menewaskan Poland 4-3 dalam saingan separuh akhir.

Langkah selepas ini adalah untuk membentuk barisan lebih mantap bagi edisi 2028 dan seperti kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh perancangan harus bermula hari ini.
Beliau memberi peringatan Piala Dunia 5s ini sudah mula menarik perhatian pasukan lain dan MHC tidak boleh menunggu sehingga 2026 atau 2027 untuk memulakan persiapan.

“Saya percaya cabarannya akan bertambah pada 2028 dengan jangkaan lebih ramai pasukan negara bakal bertanding. Pasukan negara akan diberikan bantuan lebih padu bagi kejohanan berikut,” katanya ketika menyambut kepulangan pasukan negara pada pagi Jumaat (2 Februari).

Majulah sukan untuk negara!

INFO
Kedudukan terakhir

Belanda, 2. Malaysia, 3. Oman, 4. Poland, 5. India, 6. Mesir, 7. Kenya, 8. Trinidad and Tobago, 9. Pakistan, 10. Switzerland, 11. Australia, 12. New Zealand, 13. AS, 14. Nigeria, 15. Fiji, 16. Jamaica

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading