
BANYAK ulasan yang telah dibuat berhubung keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ); harapan umat Islam supaya dilaksanakan gencatan senjata; dan arahan ICJ supaya rejim Zionis menghentikan genosid atau mereka dihukum kerana melakukan penghapusan penduduk Palestin, berhadapan dengan kekecewaan.
Ternyata ia tidak mudah seperti skrip dan plot dalam filem yang penonton mahukan – penjenayah akhirnya akan dihukum dan kemenangan di pihak hero atau mereka yang dizalimi.
Jika sesiapa mengharapkan seperti keputusan ICJ di Nuremberg di mana penjenayah Nazi ditangkap dan yang melarikan diri akan diburu, semua itu hanyalah mimpi di siang hari.
Proses ke arah itu akan memakan masa bertahun-tahun, apatah lagi Amerika Syarikat (AS) dan Britain kekal menjadi kuasa besar.
Namun, ini adalah langkah pertama yang diambil ICJ terhadap Israel – negara yang kebal daripada undang-undang antarabangsa bukannya mana-mana negara Selatan.
Bagaimanapun satu fakta yang menjadi realiti ialah regim pengganas Israel memang melakukan genosid. Mahkamah telah mengetepikan hujah Israel untuk menolak kes itu dan memutuskan bahawa terdapat bukti prima facie bahawa Israel melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai yang bertentangan dengan Konvensyen Genosid.
Ini bermakna Israel memang akan dibicarakan kerana pembunuhan beramai-ramai – keputusan penting yang membawa masyarakat antarabangsa menyaksikan adakah Israel, selepas ini, adakah meneruskan genosid ke atas rakyat Palestin.
Berdasarkan dapatan awal itu, mahkamah memerintahkan langkah-langkah sementara seperti berikut:
- Mencegah genosid di Gaza, selaras dengan tanggungjawabnya di bawah Konvensyen Genosid;
- Memastikan tentera Israel tidak lagi melakukan sebarang tindakan genosid;
- Mencegah dan menghukum sebarang hasutan ke arah genosid;
- Membenarkan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan untuk memasuki Gaza;
- Menghalang pemusnahan dan memastikan pemeliharaan bukti yang berkaitan dengan dakwaan genosid; dan
- Mengemukakan laporan kepada ICJ mengenai semua langkah yang diambil untuk melaksanakan perintah tersebut dalam tempoh satu bulan.
Dari sudut pandangan Afrika Selatan dan dunia, ini adalah arahan yang positif. Dalam hubungan ini Malaysia menyokong penuh keputusan ICJ supaya Israel bertanggungjawab atas kekejaman, jenayah terhadap kemanusiaan dan genosid yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, keputusan itu selaras dengan gesaan Malaysia yang berpendirian kekejaman Israel di Gaza mesti dihentikan.
Namun, bagi saya terdapat beberapa kebimbangan daripada keputusan ICJ itu. Sebagai contoh mahkamah tidak mengarahkan Israel menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai seperti yang diharapkan.
Mahkamah sekadar menyebut ‘mencegah’ perbuatan pembunuhan beramai-ramai atau genosid yang masih belum diputuskan oleh mahkamah, tetapi sedang berlaku.
Ini bermakna regim Zionis masih boleh terus membunuh pejuang Palesin dengan mengelak daripada membunuh orang awam.

Ia juga bermakna tiada keputusan muktamad daripada ICJ bahawa regim pengganas Israel melakukan genosid dan IDF harus mencegah dan mengelakkan daripada genosid.
Agak kusut keputusan ini kerana mahkamah menghendaki Israel mematuhi perintahnya, termasuk tidak membunuh orang awam, tetapi hanya dalam skop Perkara II Konvensyen Genosid yang dinyatakan di bawah:
Perkara pembunuhan beramai-ramai bermaksud mana-mana perbuatan yang berikut yang dilakukan dengan niat untuk memusnahkan, secara keseluruhan atau sebahagian, kumpulan kebangsaan, etnik, kaum atau agama, seperti:
(a) Membunuh anggota kumpulan;
(b) Menyebabkan kecederaan fizikal atau mental yang serius kepada anggota kumpulan;
(c) Sengaja menimbulkan keadaan hidup kumpulan yang dikira untuk membawa kemusnahan fizikalnya secara keseluruhan atau sebahagian;
(d) Mengenakan langkah-langkah yang bertujuan untuk mencegah kelahiran dalam kumpulan;
(e) Memindahkan anak-anak kumpulan secara paksa ke kumpulan lain.
Dengan yang demikian, askar Zionis masih boleh berperang dengan pejuang Palestin, di samping membunuh orang awam yang mereka syaki tanpa melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Mahkamah seolah-olah hanya memberitahu Israel bahawa sekiranya hendak membunuh orang awam ‘sila berhati-hati’ supaya tidak melanggar Perkara II Konvensyen Geneva mengenai genosid di mana perbicaraan akan diadakan jika melanggarnya.
Saya tidak mahu memikirkan mengenai perkara itu kerana masih menerima keputusan ICJ, tetapi membayangkan seolah-olah menyamai apa yang AS beritahu kepada Israel:
“…berhati-hati cara yang anda gunakan dalam mempertahankan diri ketika berhadapan dengan pejuang Palestin.”
Sebagai sebuah negara (walaupun saya mengatakan sebagai haram kerana merampas wilayah serta membunuh dan mengusir penduduk asal Palestin), sudah tentu Israel mempunyai haknya untuk mempertahankan dirinya mengikut Perkara 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tetapi, adakah tindakan rejim Zionis Israel – dalam mengambil langkah-langkah kejam dan zalim di wilayah yang didudukinya, di mana ia mempunyai kewajipan di bawah Konvensyen Geneva untuk melindungi penduduk berkenaan – sah dari segi undang-undang kemanusiaan?
Dalam hubungan ini rejim haram seolah-olah mempunyai hak mempertahankan diri mereka daripada serangan pejuang Palestin, tetapi pejuang Paletin tidak mempunyai hak mempertahankan diri kerana mereka dianggap sebagai pengganas pula.
Sama seperti kes dalam Perang Dunia Kedua, tentera Jerman yang menduduki Perancis berhak mempertahankan daripada serangan askar penentang dalam wilayah negara mereka sendiri. Pelik jugakan.
Paparan visual juga menunjukkan ramai penduduk dunia meluahkan kegembiraan mereka dengan keputusan ICJ, tetapi cubalah lihat visual di Gaza, penduduknya masih diserang dan mereka menunjukkan kekecewaan kerana tiada keputusan gencatan senjata oleh ICJ.
Mungkin persoalan yang paling penting ialah sejauh manakah perintah mahkamah itu akan mengubah tingkah laku Israel untuk mengurangkan jumlah korban orang awam dan meningkatkan sifat kemanusiaan dengan ketara.
Israel diberikan sebulan melaporkan semula kepada ICJ.
Kebimbangan ini juga timbul dalam membenarkan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan untuk memasuki Gaza kerana dakwaan beberapa pengawai Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin (UNRWA), terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Atas dakwaan yang belum dibuktikan itu Kanada dan AS telah menangguhkan pemberian dana, sementara negara-negara Barat dan yang pro-AS dijangka akan menurutinya.
Kesimpulannya, saya mengambil apa yang dinyatakan majalah Foreign Affairs bahawa “Keputusan ICJ adalah sesuatu bersifat politik: usaha mencari “jalan tengah”, daripada satu pihak memperakui “keprihatinan dunia akan kehilangan sejumlah besar nyawa di Gaza (tambahan penulis – semakin meningkat) (protes khalayak semakin meningkat di serata dunia ketika berhadapan dengan usaha-usaah menentangnya), tetapi tanpa benar-benar mengarahkan supaya operasi ketenteraan Isreal ditamatkan yang tentunya akan ditolak Israel dan AS”.
ICJ tidak benar-benar tegas dalam keputusan menamatkan genosid dengan segera!
Penulis adalah pembaca Apa Khabar TV






Leave a Reply