Oleh Rohana Mah Selatan Thailand

SETIAP kali cuti am atau umum, pastinya berduyun-duyun pelancong dari Malaysia, khususnya mereka yang tinggal di negeri-negeri bersempadan dengan Thailand, akan berkunjung ke Negara Gajah Putih, bersama rakan atau keluarga.

Ada yang menaiki kenderaan persendirian, pengangkutan awam, khususnya kereta api, dan ada pula yang mendapatkan perkhidmatan ejen pelancongan, sama ada di Malaysia atau Thailand.

Tawaran hebat agensi pelancongan dari Thailand, selain tempat menarik untuk dikunjungi seisi keluarga dan makan yang sedap-sedap belaka, menjadi tarikan utama.

Pegawai Hak Asasi Kemanusiaan di Jabatan Keadilan Wilayah Narathiwat, Hussein Haji Husin.

Menurut Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Sudawan Wangsuphakijkosol rakyat Malaysia mendahului senarai pelawat antarabangsa ke negara itu pada 2023, dengan seramai 4.56 juta orang.

Thailand yang dikenali sebagai ‘The Land of Smiles,’ menerima 28 juta pelawat antarabangsa tahun lalu, dan membelanjakan lebih kurang 1.2 trilion baht iaitu kira-kira RM161.52 bilion.

Lima warga asing utama yang melawat Thailand terdiri daripada rakyat Malaysia (4.56 juta); China (3.51 juta); Korea Selatan (1.65 juta); India (1.62 juta); dan Ruasia (1.48 juta).

Namun, adakah semua pelancong asing itu menyedari bahawa Thailand bukan saja menawarkan tempat pelancongan menarik, tetapi juga memberi perlindungan kepada rakyat asing sekiranya berlaku insiden – sama ada melibatkan kecederaan atau kematian.

Menurut Pegawai Hak Asasi Kemanusiaan di Jabatan Keadilan Wilayah Narathiwat, Hussein Haji Husin, semua pelancong asing, termasuk dari Malaysia diberi perlindungan khas jika berlaku sesuatu terhadap mereka.

“Pelancong, termasuk dari Malaysia, yang ditimpa masalah, seperti terlibat dengan kemalangan jalan raya, sakit atau meninggal dunia disebabkan kes jenayah di Thailand akan mendapat perlindungan.

“Dengan syarat pelancong terlibat tidak bersalah, memiliki semua dokumen kemasukan yang lengkap, seperti pasport dan surat berkaitan kenderaan, jika kereta sendiri, termasuk insurans.

“Laporan polis berkaitan kejadian juga penting bagi membolehkan Jabatan Keadilan memberi bantuan,” katanya kepada apakhabartv.com.

Menurutnya jenis dan kadar perlindungan iaitu bayaran wang ganti rugi kepada mereka yang terbabit mempunyai lima peringkat.

  1. Sakit yang tidak parah selama lima hari akan dibayar 5,000 baht bersamaan RM669.90;
  2. Sakit yang melebihi tujuh hari akan dibayar sebanyak 10,000 baht (RM1,339.79);
  3. Lebih 20 hari – 20,000 baht (RM2,679.59);
  4. Lebih 30 hari – 40,000 baht (RM5,359.18); dan
  5. Empat puluh hari dan ke atas – 50,000 baht (RM6,698.97).
Pegawai Hak Asasi Kemanusiaan di Jabatan Keadilan Wilayah Narathiwat, Hussein Haji Husin.

Hussein berkata Jabatan Keadilan juga akan membayar kira-kira 100,000 baht (RM13,397.95) bagi mangsa yang mengalami kecacatan akibat kecederaan.

“Bayaran pertama adalah sebanyak 50,000 baht (RM6,698.97). Bayaran berikutnya dibuat setiap hari selama setahun,” katanya lagi.

Hussein sekali lagi menjelaskan bahawa semua pelancong, termasuk dari Malaysia mendapat perlindungan daripada Kerajaan Thailand jika berlaku sebarang insiden dan kecelakaan ketika mereka berada di negara itu.

“Tapi yang penting ialah tidak bersalah, mempunyai semua dokumen yang lengkap dan laporan polis,” katanya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading