
MALAYSIA ….3 KOREA SELATAN…3
KATA-KATA semangat dilontarkan oleh Kim Pan Gon kepada anak didiknya sebelum perlawanan menentang Korea Selatan di Doha, malam tadi, jelas tidak menghampakan.
Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya itu meminta kesebelasan negara “usah takut dan berjuang dengan sifat berani’ menentang lawan tersohor itu.
Penyudahannya, Malaysia merakamkan satu keputusan penuh emosi dan dramatik apabila mengikat jagoan benua itu, 3-3 dalam saingan terakhir Kumpulan E, Piala Asia 2023 di Stadium Al-Janoub untuk pulang bangga dapat mengutip satu mata berharga.
Pencapaian terpuji ini memperbaiki pencapaian terburuk kita pada edisi 2007 apabila gagal mengutip sebarang mata selaku tuan rumah.
Tapi, kita boleh melupakan sahaja episod lama itu kerana apa lebih penting adalah keputusan pada malam Khamis yang menceritakan kemampuan Malaysia – sebuah skuad kerdil yang berada pada ranking ke-130 dunia – berjaya mengikat lawan lebih perkasa yang gah menghuni tangga ke-23.

Ini sekadar mencetus satu hakikat kita juga mampu mengorak langkah dan berdiri sama tinggi dengan pasukan berstatus elit seperti Korea Selatan jika memiliki sifat berani. Ini mungkin satu permulaan baru.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang hadir menyaksikan perlawanan siaran langsung itu di skrin gergasi, Stadium Nasional, Bukit Jalil bersama penyokong Harimau Malaya kagum dengan keputuan seri dicatat skuad negara bimbingan Pan Gon.
“Harimau Malaya memahat nama di pentas Asia. Kita mempunyai banyak lagi tugas di hadapan. Esok tugas bermula semula.
“Malaysia akan kembali ke Piala Asia akan datang! Keputusan seri menentang Korea Selatan adalah hadiah terbesar kepada penyokong Harimau Malaya di Qatar dan seluruh Malaysia.
“Apabila kita meletakkan hati dan jiwa ke dalam semua yang kita lakukan, dunia akan melihatnya,” katanya menerusi hantaran di akaun media sosial miliknya seperti dipetik oleh Berita Harian.
Pasukan lawan bimbingan Jurgen Klinsmann yang berada dalam ranking ke-23 dunia mungkin terasa tercalar reputasi mereka, namun pencapaian itu tetap melonjakkan mereka selaku naib juara kumpulan dan kemungkinan bakal bertemu pendahulu Kumpulan F, Arab Saudi.
Bahrain muncul juara kumpulan selepas menewaskan Jordan 1-0 dalam satu lagi perlawanan kumpulan sama.
Titisan air mata penyokong kita yang mengiringi cabaran Harimau Malaya di Doha memberi segala gambaran betapa mereka terhibur dengan persembahan anak didik Pan Gon itu yang menjelmakan aksi tidak dijangkakan selepas masih dibelenggu detik kecewa tewas tipis 0-1 kepada Bahrain pada 20 Januari lalu.
Korea Selatan mendahului 1-0 hasil jaringan Jeong Woo Yeong pada awal babak pertama, namun pasukan negara bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol bijak Faizal Halim yang tampil memperdayakan pemain pertahanan lawan yang mewakili Bayern Munich, Kam Min Jae dan juga penjaga gol, Jo Jyeon Woo daripada satu sudut sukar selang enam minit babak kedua dimulakan.
Ia juga gol pertama skuad negara dalam kejohanan kali ini.
Sifat gigih pemain negara berbalas apabila membuat kejutan mendahului 2-1 hasil jaringan sepakan penalti yang disempurnakan baik oleh Arif Aiman Hanapi – sekaligus mencipta sorakan oleh penyokong kecil Malaysia.
Tersentak, pihak lawan bangkit lebih garang dengan gempuran padu dan berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma disempurnakan baik oleh Lee Kang-In pada minit ke-83 dan selang 10 minit kemudian kapten pasukan dan bintang Tottenhan Hotspurs, Son Heung Min menyudahkan sepakan penalti untuk kedudukan 3-2 memihak mereka.
Anak didik Klinsmann seperti sudah terasa kemenangan memihak mereka tetapi hampa apabila dipalit derita gara-gara jaringan penyamaan pemain negara, Romel Morales pada minit ke-105 masa tambahan.

Pan Gon menyifatkan pencapaian pada perlawanan terakhir kumpulan sebagai satu keputusan menakjubkan kerana akur Korea Selatan memiliki kualiti dan mantap dalam penguasaan bola.
“Apa yang penting kita sudah dapat merasakan bola sepak tahap tertinggi. Kami memanfaatkan pendedahan berguna dan ada banyak lagi ruang kemajuan untuk melangkah ke halangan berikut,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Ketua jurulatih Korea Selatan, Klinsmann turut menghambur kata-kata pujian ke atas skuad negara kita yang tidak mengenal erti kalah.
“Malaysia bertahan dengan baik, bekerja keras sepanjang tempoh permainan. Mereka bermain dengan sifat berani dan harus memberi pujian kepada persembahan mereka. Namun, saya percaya kami seharusnya memenangi perlawanan ini,” katanya seperti mana dipetik oleh akhbar The Straits Times, Singapura.
Malaysia mungkin sudah tersingkir daripada cabaran Piala Asia pada edisi kali ini tetapi mereka berjaya menyimpan tenaga untuk memberikan satu persembahan klasik pada hari terakhir mereka di Doha sebagai satu kenangan.
Majulah sukan untuk negara!






Leave a Reply