Oleh Nur Fatinah Syafiqah Binti Musa

SETELAH lebih 100 hari berlakunya kemelut peperangan dan pembunuhan beramai-ramai ke atas saudara Islam kita di Palestin yang berlaku sejak 7 Oktober tahun lalu, angka kematian terus memuncak.

Semakin hari semakin rancak selagi mana peperangan ini berlaku dek kekejaman rejim Zionis dengan bilangan kematian sudah melebihi 23,000 rakyat Palestin – separuh daripadanya kanak-kanak – dan mangsa yang tercedera lebih 60,000 orang.

Usah kita berhenti setelah pelbagai usaha yang kita lakukan sebelum ini dalam membantu serba sedikit mereka yang sedang bermandi darah di sana. Usah kita lupa akan mereka dengan menikmati kehidupan di sini seolah-olah tiada apa-apa berlaku di sekeliling kita.

Usah kita berdiam diri melihat bagaimana kaum kuffar ini sewenangnya terus menerus membunuh dan mengambil hak sesukanya, mengangkat senjata lalu diacukan kepada mereka yang tidak bersalah.

Teruskan laungan slogan jihad dengan cara yang kita ada tanpa jemu. Semangat juang yang ada dalam diri saudara kita seharusnya turut mengalir dalam diri, berkobar-kobar menentang sekerasnya.

Gunakan sebaiknya media sosial yang telahpun menjadi medium penyebaran informasi dan kesedaran kepada orang sekeliling kita, khususnya juga kepada dunia amnya.

Jika tidak mampu untuk berdiri sendiri memuatnaik kiriman sendiri, cukup sekadar untuk kita siarkan semula atau “repost” kiriman yang tepat infonya agar segala yang disebarkan itu adalah perkara yang sahih melalui sumber yang dipercayai.

Usaha ini agar sebarang isu yang berlaku tidak didiamkan seterusnya mengelakkan tindakan kejam yang lebih berleluasa dilakukan tanpa kita disedari.

Usaha memboikot produk yang berkaitan dengan rejim Zionis Israel atau yang membantu menyalurkan bantuan kepada negara itu telah ditunjukkan oleh rakyat di seluruh dunia meskipun masih terlihat sebilangan mereka yang tidak mempedulikannya.

Walaupun terdapat banyak lagi jalan bantuan yang boleh disalurkan kepada rejim Zionis untuk membedil Gaza, namun usaha ini tidak boleh dinafikan dan menjadi suatu jihad kepada kita untuk menghentikan penggunaan produk-produk tersebut seterusnya menggantikannya dengan produk muslim sendiri.

Diseru agar usaha ini diteruskan dan tidak hanya ‘bermusim’ dengan menetapkan keimanan dan nilai kemanusiaan yang utuh dalam diri.

Jihad kita dalam menyuarakan tentangan terhadap pembunuhan beramai-ramai di Palestin ini bukanlah sesuatu yang sia-sia. Ini merupakan usaha dalam menyatakan bahawa kita bersama-sama rakyat Palestin dalam perjuangan ini.

Ia juga adalah sebagai wadah penyampaian maklumat pada saat terdapat ramai lagi umat Islam secara khususnya yang tidak memahami perjuangan warga Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka yang begitu memberi makna besar kepada Islam.

Ingatlah, Masjid al-Aqsa yang terletak di bumi Palestin adalah kiblat pertama umat Islam dan merupakan masjid kedua yang didirikan di dalam peradaban manusia di samping tempat berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading