SOALAN:
KEBELAKANGAN ini, berlaku kepelbagaian inovasi terhadap susu ibu untuk dijadikan produk-produk seperti perhiasan, kosmetik, sabun serta produk makanan yang mengandungi komponen daripada susu ibu.
Contohnya, sumber kultur probiotik daripada susu ibu untuk dijadikan sebagai salah satu bahan dalam produk makanan. Mohon pencerahan SS Datuk Mufti tentang penggunaan susu ibu secara meluas dalam produk-produk seperti ini.
RINGKASAN JAWAPAN:
Penggunaan komponen atau kandungan daripada susu ibu sebagai bahan dalam makanan seperti sumber probiotik, bagi setiap peringkat umur adalah dilarang berdasarkan faktor-faktor berikut:
- Susu ibu tidak boleh diperlakukan seperti harta untuk diperdagangkan dan dieksploitasi memandangkan pensyariatannya hanya untuk bayi serta kebaikannya secara langsung untuk bayi;
- Lebihan susu ibu yang diambil lebih penting untuk diberikan kepada bayi susuan secara langsung (breastfeeding) kerana keperluannya yang sangat getir bagi proses tumbesaran bayi berbanding dengan kegunaaan produk yang bakal dikomersialkan;
- Langkah berjaga-jaga terhadap kekeliruan percampuran nasab. Produk berasaskan susu ibu untuk kategori bayi berkemungkinan boleh berlaku pensabitan nasab bayi apabila produk diberikan secara berkala. Ia berdasarkan maqasid al-syar’iyyah iaitu hifz al-nasl (menjaga keturunan);
- Keperluan kepada produk yang bersumberkan probiotik susu ibu bukan pada tahap daruriyyat (keperluan mendesak). Ia hanya bersifat alternatif dan kategori tahsiniyyat (pelengkap); dan
- Memilih pandangan yang tidak membenarkan menjual apa-apa juzuk anggota manusia termasuk susu ibu.
Sehubungan itu, pandangan yang tidak membenarkan penjualan susu adalah lebih sesuai pada zaman kini dan dianggap sebagai langkah berjaga-jaga agar manfaat susu ibu tidak dieksploitasi untuk tujuan pemasaran.
Malahan, sekiranya berlaku lebihan susu ibu untuk keperluan bayi, maka sebaiknya diberikan kepada bayi lain yang memerlukan untuk dijadikan bayi susuan.
Allah SWT mensyariatkan hukum penyusuan kepada bayi dalam tempoh masa dua tahun, sepertimana firman-Nya:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; – Surah al-Baqarah (233)
Ibn Kathir mensyarahkan ayat ini bahawa, majoriti ulama berpandangan hukum penyusuan bagi tempoh selepas bayi berusia lebih daripada dua tahun hijri tidak termasuk dalam hukum penyusuan menjadi mahram.
Keperluan susu pada bayi adalah sangat getir ketika mana syarak membenarkan bayi mendapatkan susu daripada wanita lain . Sebagai contoh, apabila ibu kepada bayi tersebut meninggal dunia atau menghidap penyakit yang menghalang penyusuan, maka perempuan lain harus menyusuinya demi kelangsungan hidup anak tersebut. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu.” – Surah al-Baqarah (233)
Jelas menerusi dalil di atas bahawa pensabitan anak susuan hanya bagi bayi yang menyusu bawah dua tahun. Tidak dapat disangkal lagi akan kepentingan penyusuan melalui firman Allah SWT yang menggalakkan para ibu untuk menyusukan anak-anak mereka.
Namun, kebaikan, nutrien dan khasiat ini hanya tertumpu kepada bayi berumur dua tahun dan ke bawah kerana ia dapat memberi kesan yang positif terhadap perkembangan dan tumbesarannya.
Klik untuk membaca artikel penuh.






Leave a Reply