BINTANG baharu Denmark, Anders Antonsen, beregu lelaki No.1 dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dan jaguh perseorangan wanita, An Se Young tampil gah mencuri tumpuan pada hari terakhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia-PETRONAS selepas masing-masing ditabal selaku juara baru.

Antonsen – pemain ranking No.9 dunia – menyambung rekod cemerlang negaranya di kejohanan pertama siri Jelajah Dunia, tahun ini selepas menewaskan lawan liat dari China, Shi Yu Qi 21-14, 21-13 di Axiata Arena.

Pada 2022 dan 2023, rakan senegaranya dan juga pemain No.1 dunia, Viktor Axelsen adalah juara perseorangan dan kejayaan terkini ini membantu Denmark merakamkan kejuaraan hatrik pada edisi kali ini.

Pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang menyambut kejayaan selaku juara selepas menumpaskan Rankireddy-Chirag dalam final beregu lelaki.

Habuan bagi keringat Antonsen di Bukit Jalil adalah hadiah kemenangan AS$91,000 (RM423,000). Dia rebah atas lantai sebaik mengutip mata kemenangan dengan wajah yang penuh kejutan sebelum menyambut kejayaan bersama segelintir penyokong Denmark yang hadir membawa bendera negara ke gelanggang.

“Saya rasa terlalu emosi dan saya anggap kejayaan ini satu saat terbesar dalam hidup saya,” kata pemain berusia 27 tahun yang juga bekas juara Eropah.

Ini adalah kemenangan Super 1000 pertama bagi dirinya dan kejayaan ini harus memberi satu rangsangan besar bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2024 selaku antara pemain pilihan untuk naik ke podium di Paris, Julai ini.

Rentak garang pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pula berakhir dengan nota sedih selepas terperangkap dengan kebangkitan Wei Keng-Wang Chang. Pasangan China itu bertindak hebat pada set ketiga untuk menang 9-21, 21-18, 21-17 dalam perlawanan yang menghiburkan ribuan penyokong.

Beregu No.1 dunia itu menunjukkan apa makna sebenar untuk bangkit kembali dan menjuarai gelaran di sini.

An Se Young melambai ke arah penonton selepas ditabal selaku juara perseorangan wanita yang pertama dari Korea Selatan dengan menewaskan Tai Tzu Ying dari Taiwan.

Lebih perit, mereka ketinggalan 3-10 pada set ketiga dan tampak pasangan India, yang beraksi cemerlang di kejohanan setakat ini, akan pulang dengan mahkota kejuaraan dari Malaysia.

Tanpa mengenal erti kalah, mereka berjaya mengilhamkan kemenangan untuk mengatasi pasangan No.2 dunia itu yang bagai hilang arah, tambahan dengan melakukan beberapa kesilapan, termasuk servis dan pukulan kedua yang sangkut dijaring.

Apa yang menarik, kira-kira 24 jam lalu, Rankireddy-Chirag juga membuat kejutaan apabila bangkit secara dramatik dengan enam mata berturut-turut pada set kedua sebelum mengatasi juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-18, 22-20.

“Kali ini, giliran kami untuk bangkit kembali dan menang,” kata Wei Keng dengan nada yang bangga kepada wartawan dalam sesi temu rumah sejurus selepas tamat perlawanan.

Kemenangan terdahulu Wei Keng-Wang Chang dalam Super 1000 adalah ketika menjuarai Terbuka China, tahun lalu.

Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China muncul juara beregu wanita selepas menumpaskan rakan senegara, Zhang Shu Xian-Zheng Yu.

Sementara itu, Se Young yang muncul pemain wanita pertama dari Korea Selatan untuk memenangi gelaran Terbuka Malaysia menumpaskan pemain Taiwan,Tai Tzu Ying 10-21, 21-10, 21-18.

“Saya gembira dapat mencipta sejarah. Ia satu permulaan baik untuk Tahun Baru,” kata pemenang pingat emas acara perseorangan Sukan Asia di Hangzhou, China, tahun lalu.

Kejayaan di sini juga menceritakan betapa dia dilabel selaku pilihan untuk memenangi emas Olimpik di Paris nanti.

Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun (kanan) mengatasi pasangan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun untuk mengungguli acara beregu campuran.

KEPUTUSAN

Final

Perseorangan lelaki: Anders Antonsen (Den) mn Shi Yu Qi (Chn) 21-14, 21-13.

Beregu lelaki: Liang Wei Keng-Wang Chang (Chn) mn Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (Ind) 9-21, 21-18, 21-17.

Perseorangan wanita: An Se Young (Kor) mn Tai Tzu Ying (Tai) 10-21, 21-10, 21-18.

Beregu wanita: Liu Sheng Shu-Tan Ning (Chn) mn Zhang Shu Xian-Zheng Yu (Chn) 21-18, 21-18.

Beregu campuran: Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jep) mn Kim Won Ho-Jeong Na Eun (Kor) 21-18, 21-15.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading