Oleh Nurul Afiqah binti Muhamad Shukri
SEBELUM kedatangan Islam ke Andalusia dikatakan telah berlakunya persengketaan antara Witiza, Raja Visigoth dan Raja Roderick.
Andalusia pada ketika itu berada di bawah pemerintahan raja yang zalim iaitu Roderick yang merupakan seorang raja yang tamak dan sukakan hiburan. Demikian itu, Raja Roderick dibenci oleh rakyatnya kerana beliau telah mengenakan cukai yang sangat tinggi, sedangkan rakyatnya tidak mampu.
Beliau juga turut memperkosa wanita cantik yang berada di Andalusia sehingga ramai yang berasa kehormatan mereka terancam. Raja Roderick ini juga turut menguasai keseluruhan kekayaan negara, sedangkan rakyat beliau hidup dalam keadaan kemiskinan yang sangat parah.
Ternyata bahawa kerajaan Andalusia sebelum kedatangan Islam telah berlaku kekecohan. Kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh pembesar-pembesar Andalus sangat tidak disukai oleh rakyatnya.
Rakyat Andalusia yang diwakili oleh Julian, Count of Ceuta meminta bantuan daripada umat Islam dan beliau telah berjumpa dengan Musa bin Nusayr yang merupakan seorang gabenor Afrika Utara di bawah Kerajaan Bani Umayyah.
Hal ini kerana, Benua Afrika Utara adalah daerah yang terpenting dalam kedatangan Islam ke Andalusia. Pada mulanya, Musa meragui akan Count Julian yang mungkin mempunyai muslihat lain di sebalik permintaanya.
Namun Count Julian dapat meyakinkan Musa dengan menyatakan bahawa rakyat Andalusia sendiri yang mengalu-alukan kedatangan umat Islam ke Andalusia. Setelah itu, Musa memerintahkan Thariq bin Ziyad yang merupakan panglima Berber untuk menjayakan misi menakluk Andalusia.
Thariq mulai memasuki Andalusia pada Ramadan 92 Hijrah iaitu sekitar tahun 711 Masihi melalui Maghribi dan mendarat di satu kawasan yang bergunung.
Gunung berkenaan kemudian telah dinamakan sebagai Jabal Thariq iaitu Gibraltar, Sepanyol.
Pasukan Islam ketika itu hanya berjumlah 7,000 orang, di mana mereka perlu berdepan dengan tentera Visigoth seramai 100,000 orang yang lengkap bersenjata.
Setelah melihat kekuatan tentera Visigoth, Thariq mengarahkan semua kapal perang yang membawa mereka dibakar, bertujuan menaikkan semangat jihad pasukan tentera Islam untuk menakluk Andalusia. Kemudian beliau dengan lantang menyampaikan satu pidato:
“Wahai pasukan kaum Muslimin! Kemanakah kalian akan pergi? Lautan di belakang kalian dan musuh di hadapan kalian? Demi Allah, kalian tidak mempunyai pilihan lain kecuali bersungguh-sungguh penuh keikhlasan dan kesabaran!”
Justeru, peperangan yang berlaku selama seminggu telah menyaksikan kekalahan Kristian Eropah dan Raja Roderick mati dibunuh.
Thariq bukan hanya dapat mengalahkan penguasa-penguasa zalim di Eropah, malah beliau berjaya menakluk hati masyarakat Eropah sehingga mereka memeluk Islam. Melalui dakwah, beliau turut berjaya menyampaikan pesanan kepada masyarakat bahawa Islam adalah agama mulia dan memuliakan sekalian manusia.
Kemenangan tentera pimpinan Thariq telah menjadikan Islam bertapak di Andalusia selama 800 tahun. Islam juga turut memajukan tamadun ilmu di Andalusia, terutamanya di Cardova sehingga dapat mengubah keseluruhan Eropah untuk keluar daripada Zaman Kegelapan.
Langkah Thariq telah membawa Islam tersebar dengan begitu luas sehingga kini dan telah dikenali dengan negara Sepanyol, Portugal dan Selatan Perancis. Penaklukan yang dibawa oleh Thariq juga memberi satu impak yang begitu besar kepada Andalusia dan ianya dilihat sebagai satu pemerintahan yang mementingkan kecemerlangan ketamadunan khususnya dari sudut ilmu, teknologi dan sosiologi.
Dapat dilihat bahawa ramai para ilmuwan yang hebat telah lahir di Andalusia seperti Ibn Hazm yang mengarang kitab al-Muhalla, Imam al-Qurtubi yang mengarang kitab Tafsir al-Qurtubi, dan Ibn Rusyd (kitab Bidayatul Mujtahid wa Nihayatul Muqtasid).
Andalus juga telah berkembang sehingga menghasilkan banyak penulisan dalam bahasa Arab yang merangkumi semua bidang ilmu pada zaman pertengahan. Pada kurun ke-9 Masihi, pengislaman di Semenanjung Iberia telah menyebabkan kemajuan dalam kalangan masyarakat bandar yang terdiri daripada rakyat berbangsa Yahudi dan Kristian.
Dari aspek teknologi pula, Abbas Ibn Firnas merupakan orang pertama yang mengasaskan ilmu penerbangan, kompas, perparitan dan sebagainya.
Perkembangan dari sudut sosiologi pula dapat dilihat ketika umat Islam, Kristian dan Yahudi hidup dalam keadaan yang begitu aman yang dikenali dengan istilah La convivencia iaitu pelbagai agama hidup di bawah satu negara yang aman.
Perjuangan Thariq dan tentera-tentera Islam pada ketika itu turut membawa perubahan yang sangat hebat kepada masyarakat serta bertukar menjadi sebuah benua yang moden pada hari ini.
Menelusuri sejarah kejayaan penaklukan Islam di Andalusia, banyak ibrah yang dapat kita pelajari dan teladani di mana Andalusia telah membuktikan kepada masyarakat untuk bersikap terbuka terhadap pemikiran kreatif dan mempunyai idea-idea yang inovatif dalam usaha memajukan diri.
Dalam konteks lainnya, ia turut menuntut agar dapat melahirkan cendekiawan Muslim yang mahir dalam pelbagai bidang ilmu yang mampu untuk meninggalkan manfaat yang tersendiri kepada dunia apabila telah lahirnya ramai ilmuwan di Andalusia.
Hal ini kerana, generasi yang berilmu akan memberi banyak manfaat kepada masa depan negara. Justeru, kepelbagaian bangsa dan agama juga bukan suatu penghalang dalam mewujudkan suasana keilmuan yang baik dan kesefahaman dalam kalangan rakyat demi mencapai kemajuan.






Leave a Reply