
JUARA bertahan, Viktor Axelsen memberi segala yang terbaik, termasuk ‘aksi ala akrobatik’ dalam satu pertarungan penuh dengan drama dan emosi pada saingan separuh akhir ketika menentang Shi Yu Qi di Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia-PETRONAS.
Namun, keringat pemain nombor satu dunia itu belum cukup dan terpaksa akur kepada kehebatan lawan dari China itu sebelum tunduk 21-12, 19-21, 21-17 dalam perlawanan yang menyajikan segala ramuan dan lebih wajar disebut ‘perlawanan akhir’ di kejohanan Super 1000 itu, malam tadi (Sabtu).
Yu Qi akan membuat penentuan mahkota kejuaraan dalam final, hari ini (Ahad) menentang seorang lagi wakil dari Denmark, Anders Antonsen yang sebelum itu mudah menewaskan pemain Taiwan, Lin Chun Yi, 21-16, 21-7.
Axelsen kecewa tapi menerima kekalahan perit itu dengan hati terbuka dan mengakui ini bukan hari baginya.

“Dalam saingan di peringkat ini anda harus menjadi pemain terbaik untuk menang. Tapi saya akur saya bukan pemain terbaik pada hari ini. Yu Qi adalah terbaik dan berhak menang,” kata juara Olimpik dan dunia itu kepada media sejurus selepas tamat perlawanan yang berlanjutan sehingga 71 minit.
Tidak cukup dengan aksi berkualiti perseorangan lelaki itu, ribuan penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil juga terpukau dan amat terhibur dengan gelagat pasangan beregu lelaki India, Satwiksairaj Randireddy-Chirag Shetty yang bangkit dalam satu pertarungan epik ketika jauh ketinggalan 14-20 pada set kedua.
Entah, macam mana sesuatu yang agak mustahil itu berlaku di gelanggang ketika mereka mengutip lapan mata berturut-turut untuk mengesahkan kemenangan 21-18, 22-20 ke atas juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae – sekali gus layak ke final, hari ini.
Pemenang pingat emas Sukan Asia dan pilihan kedua kejohanan ini dalam siri Jelajah Dunia bakal menentang pasangan pilihan pertama dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang yang layak ke perlawanan akhir selepas menumpaskan pilihan ke-7, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun 21-12, 19-21, 21-13.
“Kemenangan ini memberi satu perasaan gembira. Kami mahu memulakan tahun baru dengan persembahan baik. Kami amat gembira dapat bermain pada tahap seperti ini. Tapi kami belum puas hati dan masih menyimpan banyak tenaga. Ada banyak lagi usaha perlu dilakukan selepas ini,” kata Satwiksairaj.
Mungkin juga pasangan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik boleh mengambil satu iktibar melihat kekuatan mental dan sifat yakin Randireddy-Chirag yang tidak mudah menyerah dalam situasi tertekan untuk menterjemahkan kekalahan yang sudah hampir pasti itu kepada satu kemenangan cukup bermakna bagi diri mereka.
Sementara itu, Yu Qi boleh muncul pemain China pertama sejak Lin Dan untuk menjulang mahkota kejuaraan Terbuka Malaysia. Lin Dan, juara dunia lima kali, memenanginya pada 2019.
“Saya gembira dapat menewaskan seorang pencabara yang cukup kuat untuk layak ke final. Saya akan terus menyambung usaha baik ini esok (Ahad). Apa yang diperlukan adalah saya harus lebih berani,” kata Yu Qi yang berusia 27 tahun dan berasal dari wilayah Nantong, Jiangsu.
Dia juga turut memuji komitmen tinggi dan sifat wira ditonjolkan Axelsen selaku pemain nombor satu dunia dan juga juara bertahan.
“Apa yang saya perlu lakukan adalah mencabarnya. Dari segi mental saya memiliki sedikit kelebihan. Namun, saya tetap berdepan halangan sukar kerana ketinggian milik pemain lawan saya. Nasib baik saya berjaya akhirnya,” katanya.

Dalam perseorangan wanita, jaguh dunia dari Korea Selatan seperti mahu memberi iyarat awal kejuaraan bakal menjadi miliknya dengan aksi terpuji dan kekuatan menyeluruh sebelum menewaskan Zhang Yi Man dari China, 21-17, 21-11 dalam peringkat separuh akhir.
Dia akan bertemu pemain Taiwan, Tai Tzu Ying yang mara ke final selepas mengejutkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Chen Yu Fei dari China 17-21, 21-15, 21-18.
KEPUTUSAN
Separuh Akhir
Perseorangan lelaki: Shi Yu Qi (Chn) mn Viktor Axelsen (Den) 21-12, 19-21, 21-17; Anders Antonsen (Den) mn Lin Chun Yi (Tai) 21-16, 21-7.
Beregu lelaki: Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (Ind) mn Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae (Kor) 21-18, 22-20; Liang Wei Keng-Wang Chang (Chn) mn Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jep) 21-12, 19-21, 21-13.
Perseorangan wanita: Tai Tzu Ying (Tai) mn Chen Yu Fei (Chn) 17-21, 21-15, 21-18; An Se Young (Kor) mn Zhang Yi Man (Chn) 21-17, 21-11
Beregu wanita: Liu Sheng Shu-Tan Ning (Chn) mn Rin Iwanaga-Kie Nakanishi (Jep) 21-11, 21-16; Zhang Shu Xian-Zheng Yu (Chn) mn Baek Ha Na-Lee So Hee (Kor) 21-17, 21-17
Beregu campuran: Kim Won Ho-Jeong Na Eun (Kor) mn Terry Hee-Jessica Tan (Sin) 21-16, 21-16; Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jep) mn Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin (Chn) 21-15, 12-21, 21-15.






Leave a Reply