Oleh Nurin Aina binti Othman
ISLAM telah menapak di bumi sakura sejak dahulu lagi. Walaupun Negara Matahari Terbit ini mempunyai rakyat yang majoriti beragama Shinto, populasi masyarakat muslim juga dilihat semakin meningkat di samping mempunyai banyak fasiliti dan kemudahan bagi masyarakat muslim.
Bagaimanakah kedatangan Islam di Jepun dan populasi Islam masa kini di Jepun?
Terdapat beberapa pengkaji masa kini yang telah mengkaji berkaitan kedatangan Islam di Jepun. Misalnya, Odiljon Ernazarov seorang Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Agama dan Kajian Perbandingan UNESCO Agama Dunia, Akademi Islam Antarabangsa Uzbekistan dan mempunyai PhD dalam bidang sejarah.
Selain itu, Farhan Azhar Destiawan yang merupakan seorang pelajar dari Fakulti Tarbiyah dan Latihan Mengajar Universiti Islam Negeri Sumatra Utara, juga menulis berkaitan tajuk Islam di Jepun
Melalui kajian yang mereka jalankan, dapat disimpulkan bahawa kedatangan Islam di Jepun mempunyai cerita yang tersendiri – mengikut rekod tertentu yang berjaya dijumpai.
Sejarah awal dapat dilihat pada rekod pensejarahan zaman pertengahan, Dinasti Yuan dan Ming. Selain itu, kita juga boleh melihat kepada rekod pensejarahan pada awal abad ke 20 dan selepas perang dunia kedua.
Kedatangan Islam di Jepun pada awal abad ke 20.
Selepas Revolusi Oktober, ramai pelarian Islam Turko-Tatar dari Asia Tengah dan Russia telah diberi hak suaka atau berlindung di Jepun yang akhirnya membentuk komuniti kecil.
Beberapa orang Jepun memeluk Islam melalui hubungan dengan orang Islam. Ahli sejarah Caeser E Farah merekodkan bahawa pada tahun 1909 penulis kelahiran Russia, Abdurreshid Ibrahim (1857–1944), adalah orang Islam pertama yang berjaya mengislamkan etnik Jepun pertama iaitu Kotaro Yamaoka pada tahun 1909 di Bombay.
Bunpachiro Ariga juga telah menjadi muslim di bawah pengaruh orang Islam tempatan apabila beliau pergi ke India untuk tujuan komersial.
Pada tahun 1935 Masjid Kobe telah dibina dengan bantuan pedagang Turki-Tatar di Jepun. Masjid ini dibina hasil wang umat Islam sendiri dan berjaya disiapkan pada tahun 1938.
Bukti-bukti ini jelas menunjukkan bahawa Islam telah bertapak di Jepun pada awal abad ke 20 dan pihak Kerajaan cuba untuk mengukuhkan hubungan dengan dunia Islam.
Islam di Jepun selepas perang dunia kedua
Pencerobohan Jepun ke atas negara Asia Tenggara telah memberi kesan kepada hubungannya dengan Islam. Terdapat rakyat Jepun ketika itu yang memeluk agama Islam dan kemudian kembali ke negara asal mereka itu.
Pada tahun 1953, pertubuhan muslim Jepun yang pertama berjaya ditubuhkan. Persatuan Muslim Jepun ini berjaya mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Jepun pada tahun 1968.
Tambahan pula, ketika berlakunya krisis minyak pada tahun 1973, ia mendorong media Jepun untuk menyebarkan maklumat tentang dunia Islam kerana pada ketika itu kawasan Timur Tengah mempunyai rizab minyak yang luas dan penting kepada ekonomi di Jepun. Oleh itu, budaya seperti “meminati agama Islam” semakin tersebar.
Populasi Islam di Jepun pada masa kini
Jepun merupakan negara minoriti Islam. Namun, pertumbuhan umat Islam penduduk semasa dilihat semakin meningkat. Berdasarkan data 2016, terdapat kira-kira 120,000 orang Islam dari negara lain dan 10,000 orang Islam Jepun tinggal di Jepun.
Terkini, hasil kajian seorang profesor dari Universiti Waseda terdapat 230,000 muslim di Jepun termasuk 50,000 merupakan rakyat tempatan. Kebanyakan orang Islam di Jepun tinggal di tiga kawasan metropolitan utama seperti Greater Tokyo Area, Chukyo dan Wilayah Kinki,
Hakikatnya Islam tidak pernah berhenti berkembang ke seluruh pelosok Jepun. Di samping itu, Jepun juga menyediakan fasiliti kemudahan bagi masyarakat muslim.
Misalnya, di kala kemajuan Tokyo sebagai kawasan pelancongan, terdapat juga masjid, tempat untuk bersolat dan restoran halal untuk umat Islam.
Selain itu, antara kawasan yang dikenali sebagai ‘Mesra Muslim’ adalah seperti di Osaka, Kobe dan Chiba. Yang lebih mengejutkan adalah terdapat bidang khas bagi pengajian Islam dan Timur Tengah di universiti di Jepun.
Tamsilnya, Universiti Kyoto mempunyai Pusat Pengajian Kawasan Islam, Universiti Sophia dan Universiti Waseda.
Islam yang menapak di Jepun jelasnya telah bermula sejak sebelum perang dunia kedua lagi.
Namun, selepas kejadian pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki pada 6 Ogos dan 9 Ogos 1945, banyak negara Islam membantu membina semula semua infrastruktur Jepun,
seperti Pakistan, Arab Saudi dan banyak lagi.
Perhubungan ini pastinya memberi kesan kepada tersebarnya Islam di Negara Matahari Terbit itu.







Leave a Reply