JAGOAN beregu badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pasti tidak dapat melelapkan mata, malam tadi (Jumaat) selepas tersingkir daripada cabaran Terbuka Malaysia-PETRONAS ketika peluang mahu layak ke separuh akhir terlepas daripada genggaman mereka.

Segala-galanya terarah kepada kealpaan sendiri gara-gara bersifat ghairah mahu menang yang menyebabkan mereka hilang fokus pada dua set terakhir.

Gelagat ini jelas membawa padah tewas kepada juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Seo Seung Jae 16,21, 21-18, 21-13 dalam saingan suku akhir di Axiata Arena.

Ini adalah kekalahan kedua bagi pilihan ketiga ini kepada lawan itu daripada jumlah empat pertemuan.

Terdahulu, satu lagi pasangan negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut menempah nasib sama apabila ‘hilang arah’ dalam permainan mereka sebelum tumpas kepada pilihan ke-7 dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 15-21, 9-21 dalam perlawanan peringkat sama.

Kedua-dua kekalahan memeritkan ini sekali gus melenyapkan impian kita untuk mengintai peluang kejuaraan di laman sendiri. Kemarau gelaran kem negara masih berpanjangan sejak 2018 yang kali terakhir dimenangi Datuk Lee Chong Wei.

“Kami memulakan cabaran hari ini dengan baik apabila menang set pertama. Namun pada set berikut kami membiarkan rasa ghairah menguasai minda kerana pada ketika itu kami mahu menang. Ini menjejaskan fokus kami dalam permainan,” kata Aaron di sidang media sejurus selepas tamat permainan.

Namun, dia berkata masih awal untuk membuat sebarang andaian akan kemampuan mereka untuk musim 2024 kerana ini adalah kejohanan Jelajah Dunia yang pertama.

“Sasaran kami tetap kekal sama iaitu untuk memuncak prestasi di Sukan Olimpik,” tambahnya.

Aaron-Wooi Yik akan mengalih tumpuan ke New Delhi sebagai destinasi berikut untuk menyahut cabaran dalam Terbuka India, minggu depan dan mereka akan menentang pasangan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito dalam perlawanan pembukaan.

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi ‘hilang arah’ dalam permainan mereka apabila tewas kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 15-21, 9-21 dalam perlawanan suku akhir di Axiata Arena, pada Jumaat.

Sementara itu, wajah muram pasangan No.2 negara, Yew Sin-Ee Yi selepas tamat saingan jelas memberi segala gambaran betapa detik kekecewaan terpaksa dilalui mereka pada Jumaat (12 Januari).

Hanya kira-kira 24 jam lalu mereka melakar kejutan besar di kejohanan apabila menyingkirkan pilihan ke-4, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark dalam pusingan kelompok 16 terakhir.

Bagi ribuan penyokong yang hadir memberi sokongan gemuruh kepada idola mereka itu, keputusan seumpama ini pastinya menghampakan.

Jelas segala sifat garang dan corak permainan pantas gagal dijelmakan mereka sekali lagi apabila tunduk mudah kepada Hoki-Kobayashi yang lebih tersusun permainan mereka berbanding pasangan tuan rumah yang tidak dapat mencari jawapan untuk bangkit dalam saingan agak berat sebelah itu.

“Bagi saya persembahan kami tidak cukup padu, hari ini (Jumaat). Ia amat mengecewakan kerana hajat kami adalah untuk melangkah jauh dalam kejohanan di tempat sendiri,” kata Ee Yi yang akur mereka terperangkap dengan ketajaman pihak lawan yang lebih kemas dalam servis dan juga kecekapan mengembalikan hantaran lawan serta pukulan ketiga yang padu.

Kedua-dua pasangan ini akan bertemu lagi di Terbuka India.

“Kami akan berdepan mereka sekali lagi di New Delhi, minggu depan. Ini memberi kami satu lagi peluang untuk menebus kehampaan pada hari ini (Jumaat),” kata Yew Sin.

Sementara itu, juara bertahan, Viktor Axelsen terus agah apabila layak ke separuh akhir dalam acara perseorangan lelaki selepas bangkit menewaskan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long 16-21, 21-18, 21-9.

Bintang berusia 30 tahun dari Denmark ini akan menentang pemain China, Shi Yu Qi yang menewaskan rakan senegara, Lu Guang Zu 8-21, 21-11, 21-10.

Dalam saingan lain, peringkat sama, pemenang pingat emas Sukan Asia, Li Shi Feng tewas mengejut kepada pemain Taiwan, Lin Chun Yi 21-12, 21-18.

Chun Yi akan menentang pemain Denmark, Anders Antonsen yang terdahulu menumpaskan pemain pilihan kedua dari Jepun, Kodai Naraoka 16-21, 21-12, 21-7.

Viktor Axelsen terus gah apabila layak ke separuh akhir dalam acara perseorangan lelaki dalam usaha mempertahankan mahkota kejuaraan.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading