DUA pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi muncul penyelamat kem badminton negara apabila gah mengesahkan tiket ke saingan suku akhir Terbuka Malaysia-PETRONAS pada Khamis (11 Januari).

Kemaraan mereka itu memberi sedikit penawar duka ketika lima lagi wakil negara, termasuk beregu campuran utama, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tersingkir tanpa banyak memberi cabaran bermakna di laman sendiri.

Apa pun, Yew Sin-Ee Yi jelas mencuri tumpuan pada hari ketiga dengan menjelmakan aksi bertaraf lima bintang di Axiata Arena, Bukit Jalil untuk menumpaskan pilihan kelima dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, 21-10,11-21,24-22 dalam pertarungan 61 minit yang cukup menghiburkan tontonan.

Saat gembira buat Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang membuat kejutan besar menewaskan pasangan tersohor dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam saingan pusingan kedua pada Khamis untuk mara ke suku akhir Terbuka Malaysia.,

Selepas itu, ribuan peminat tempatan – yang menjadi pencetus semangat pemain negara sejak hari pertama – tambah ceria menyambut kejayaan bekas juara dunia, Aaron-Wooi Yik yang turut mara ke slot lapan terakhir menewaskan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani 21-15, 21-16.

Dalam saingan suku akhir pada Jumaat (12 Januari), Yew Sin-Ee Yi akan menentang pilihan ke-7 dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi manakala Aaron-Wooi Yik berdepan juara dunia 2023 dari Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Seo Seung Jae untuk mengintai peluang ke slot empat terakhir.

Andai Yew Sin-Ee Yi dapat mengulangi aksi mantap yang sama, hari ini (12 Januari), tidak mustahil mereka dapat melakar satu lagi kejayaan bersejarah di bumi sendiri untuk hadir dalam saingan separuh akhir.

“Kami perlu akur sokongan padu peminat menjadi antara faktor utama kemenangan dan harap mereka akan hadir lagi esok untuk mengapikan semangat perjuangan kami.

“Kami ubah corak permainan, khususnya pada set ketiga dan jelas tindakan ini menampakkan hasil untuk melepasi halangan sukar ini,” kata pasangan berkenaan.

Sementara itu, Aaron-Wooi Yik akur berdepan ujian getir menentang Min-hyuk-Seung Jae tapi tidak melihat ia satu halangan kepada impian mereka.

“Saya dan Aaron sudah berdepan situasi sama beberapa kali sebelum ini dan kami amat fokus untuk perlawanan esok (Jumaat). Tidak dinafikan ia satu tugasan berat dan kami perlu memberi yang terbaik di hadapan penyokong kita.

“Kami amat harapkan sokongan padu peminat yang akan memainkan peranan besar. Mereka pasti akan menyemarakan semangat kami,” kata Wooi Yik kepada petugas media dalam sesi temu ramah sejurus selepas tamat perlawanan di Gelanggang 1.

Pasangan beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengecewakan peminat negara apabila tersingkir di saingan pusingan kedua pada Khamis.

Berpandu kepada statistik, Aaron-Wooi Yik tewas kepada Min-hyuk-Seung Jae dalam pertemuan pertama mereka di Kejohanan Dunia pada Ogos, tahun lalu tapi pakar beregu kita itu kembali menebus dendam kekalahan mereka dalam Terbuka China 2023, selang sebulan kemudian.

Pencapaian terbaik beregu No.1 negara itu di Terbuka Malaysia adalah layak ke separuh akhir pada 2019 dan tersingkir pada pusingan kedua, tahun lalu.

Namun, paling menghampakan pada hari ketiga kejohanan adalah kegagalan beregu campuran, Tang Jie- Ee Wei yang hadir selaku pilihan ke-8 pada edisi kali ini.

Ketika dijangka dapat mengatasi halangan pada pusingan kedua, mereka anehnya memberikan persembahan hambar dan tunduk kepada lawan dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, 24-22, 21-14.

“Kami akur persembahan kami tidak cukup untuk mengatasi halangan pada hari ini (Khamis). “Kami melakukan sesuatu yang berbeza tetapi lawan sentiasa nampak lebih mantap.

“Mereka ubah corak permainan dan memberi persembahan lebih baik. Kami perlu menilai semula persembahan kami dalam segala aspek,” kata Ee Wei.

Dua lagi beregu campuran negara yang turut terkandas dalam saingan sama adalah Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See.

Soon Huat-Shevon tewas 21-15, 21-12 kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai manakala Peng Soon-Yee See kecundang kepada lawan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 21-14, 21-14.

Aaron-Wooi Yik berdepan ujian getir menentang juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Seo Seung Jae untuk mengintai peluang ke slot empat terakhir pada Jumaat (12 Januari).

Sementara itu, dalam aksi perseorangan wanita, wakil negara yang juga juara dunia remaja dua kali, Goh Jin Wei gagal menjelmakan persembahan sama ketika memenangi pusingan pertama pada Rabu lalu.

Dia turut tersingkir selepas tewas kepada pemain utama Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung 21-15, 24-22.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading