Oleh Dr Nurul Aini Mehat
EKOSISTEM tasik sensitif dengan cuaca tempatan, terutama kepada keadaan ekstrem seperti ribut dan gelombang panas, sekali gus memberi kesan jangka pendek dan lebih panjang pada keadaan fizikal tasik, kimia dan biologi.
Banyak jurang pengetahuan masih wujud, terutama berkaitan kesan ke atas pelepasan gas rumah hijau dari tasik, perubahan jangka pendek dalam dinamik nutrien tasik, dan kesan ke atas komuniti biologi tasik.
Ekosistem tasik turut memberi peluang kepada kita untuk memahami evolusi dan penyesuaian mikro organisme kepada keadaan yang melampau dan menemui strain mikrob baharu yang berguna untuk aplikasi bioteknologi.
Atas kesedaran itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melaksanakan Program Kelestarian Ekosistem Tasik yang diketuai oleh Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta (JPPHB), sempena penganjuran Karnival Alam Sekitar UPSI 2023 pada 27-28 Oktober lalu.
Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Prof Madya Ts Dr Nor Kalsum Mohd Isa berkata program itu berjaya dilaksanakan pada 27 Oktober 2023 di Tasik Marina, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Beliau berkata program seumpama ini dipacu sebagai satu platform pendidikan kepada masyarakat, khususnya warga UPSI agar dapat memberikan kesedaran akan kepentingan pemuliharaan semula tasik.
Langkah itu juga dapat mengekalkan kelestarian tasik dalam tempoh masa yang panjang, sekali gus memulihara sumber alam supaya kemampanannya dapat terus kekal.
“Seiring dengan aspirasi matlamat pembangunan mampan (SDGs) dalam mewujudkan pembangunan negara yang mesra alam, aspek pemeliharaan dan pemuliharaan sumber alam menjadi elemen utama dalam memperkasakan agenda ini,” katanya.
Beliau berkata semua masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk melindungi planet ini daripada terus diganggu dan mengalami kemerosotan, termasuk melalui penggunaan dan pengeluaran yang mampan, mengurus sumber aslinya secara mampan dan mengambil tindakan segera terhadap perubahan iklim, supaya ia dapat menyokong keperluan generasi sekarang dan akan datang.
Matlamat agenda ini juga bagi memastikan semua manusia dapat menikmati kehidupan yang sihat dan sejahtera selaras dengan kelestarian alam semula jadi.

Menyedari akan kepentingan memulihara ekosistem tasik UPSI, usaha kerjasama pihak FSK dan JPPHB bergabung untuk memacu transformasi bagi kawasan tasik UPSI.
Sebanyak 5,500 ekor bekalan benih anak ikan dari spesis Terbul dan 500 benih anak ikan keli hasil sumbangan oleh pihak Jabatan Perikanan Daerah Batang Padang telah dilepaskan ke dalam Tasik UPSI, dan sebanyak 75 batang anak pokok mangga ditanam sekitar tasik.
Pokok-pokok ini akan dinamakan atas nama pesara UPSI sempena Majlis Jasamu Dikenang. Usaha ini melambangkan komitmen UPSI terhadap kelestarian alam sekitar dan matlamat kelestarian global.
Program ini telah disempurnakan oleh Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura bin Abdul Rahman.
“Ucapan tahniah dan syabas atas inisiatif FSK dan juga JPPHB atas penganjuran program pelepasan benih anak ikan serta penanaman pokok ini” katanya berucap merasmikan Program Kelestarian Ekosistem Tasik UPSI.
Jabatan Perikanan Daerah Batang Padang, Tapah, Perak, menyumbang 5,500 benih anak ikan yang dilepaskan ke dalam tasik.
Menurut beliau program seumpama ini akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon kepada UPSI, seterusnya hasrat UPSI untuk menjadi universiti rendah karbon akan tercapai.
Katanya, melalui program seumpama ini ianya dapat membuktikan sokongan dan sumbangan UPSI dalam agenda mengurangkan pelepasan karbon negara sehingga 45 peratus pada tahun 2030 dan neutral karbon pada 2050.
Selain itu, rata-rata warga UPSI yang hadir amat berbangga dengan program yang diadakan demi melihat UPSI untuk terus mempertahankan kelestarian alam semula jadi di bumi Tanjung Malim sejajar dengan misi global pembangunan mampan yang digariskan dalam SDG.







Leave a Reply