HARI bertukar ceria buat kem badminton negara apabila tujuh wakil kita, termasuk jaguh beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengorak langkah mara ke pusingan kedua, Kejohanan Terbuka Malaysia-PETRONAS pada Rabu (10 Januari).

Namun, malang pula menimpa pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong yang sebelum ini dianggap prospek untuk mara jauh pada kejohanan edisi kali ini di Axiata Arena, Bukit Jalil selepas rakan senegaranya, Lee Zii Jia tersingkir awal.

Pemain ranking ke-15 dunia itu terpaksa menarik diri pada kedudukan 8-12 di set pertama, pusingan pertama selepas mengalami kesakitan bahagian belakang sebaik melonjak melakukan pukulan ‘smash’ ketika menentang pemain Jepun, Koki Watanabe.

Pasangan muda negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei akan membuat perhitungan dengan rakan senegara, Aaron-Wooi Yik dalam pusingan kedua pada Khamis (11 Januari).

“Saya amat terasa sakit sebaik melakukan smash dan terasa sakit sehingga sekarang. Saya terasa kejang dan tidak dapat bergerak selepas itu,” kata Tze Yong ketika ditemui pemberita sejurus selepas tamat perlawanan.

Pemain peseorangan kedua negara itu dijangka bertembung dengan Watanabe sekali lagi dalam pusingan pertama, Terbuka India, minggu depan.

Apapun, tiket ke suku akhir sudah pasti milik negara apabila Aaron-Wooi Yik bertemu rakan senegara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dalam pusingan kedua pada Khamis (11 Januari).

Ini berikutan kemenangan Aaron-Wooi Yik ke atas pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 20-22, 21-13,21-13 manakala Izzuddin-Sze Fei mengesahkan slot ke kelompok 16 terakhir selepas menumpaskan Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dari Thailand, 21-17, 22-20.

“Kami gembira dapat lepasi halangan selepas bangkit daripada kekalahan di set pertama. Perlawanan berikut pasti satu lagi halangan sukar menentang rakan sepasukan. Kami berlatih setiap hari dan tahu kelemahan dan kekuatan masing-masing.

“Siapa menang akan layak mewakili negara ke suku akhir. Kami pasti mahu berjuang habis-habisan dan memberi yang terbaik nanti,” kata Aaron pada sesi temu ramah.

Aksi pasangan beregu campuran Chan Peng Soon-Cheah Yee See ketika menentang Chang Ko-Chi-Lee Chih Chendari Taiwan dalam kejohanan Terbuka Malaysia pada Khamis (10 Januari 2024. – Gambar ihsan Facebook Persatuan Badminton Malaysia.

Wooi Yik pula amat kagum dengan sokongan padu penyokong tempatan yang tidak dinafikan berjaya menyuntik semangat untuk bekas juara dunia itu bangkit dan menang di laman sendiri.

“Kami lega dapat menang dan menghargai sokongan peminat yang cukup hebat dalam membantu kemaraan kami,” katanya dengan wajah yang ceria.

“Saya minta sokongan sama akan diberi esok (Khamis) dan apa yang pasti saya dan Aaron akan menyambung usaha baik ini untuk menjaga maruah negara di kejohanan ini.”

Satu lagi pasangan lelaki negara yang turut mara adalah Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang dijangka berdepan ranjau sukar apabila berdepan pasangan tersohor dari Denmark, Kim Astrup-Anders Rasmussen untuk mengintai slot ke suku akhir.

Sementara itu, beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ei Wei yang menukar warna rambut kepada oren, pada tahun baharu turut memperagakan aksi terpuji selepas mengetepikan pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-17, 21-18.

Menunggu mereka pada halangan kedua nanti ialah pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito.

Dua lagi rakan senegara yang turut mara ke acara sama adalah Goh Soon Huat- Lai Shevon Jemei yang akan turun menentang bekas juara dari Thaland, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai manakala Chan Peng Soon-Cheah Yee See berdepan pilihan kelima dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Goh Jin Wei bertekad mahu melangkah jauh dalam acara perseorangan wanita di Kejohanan Terbuka Malaysia pada edisi kali ini.

Satu lagi detik gembira adalah apabila perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei turut gah melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan dari Taiwan, Sung Shuo Yun 21-18 , 21-11.

Halangan berikut bagi bekas juara remaja dunia itu adalah pilihan ke-7, Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia yang terdahulu bergelut sebelum dapat menumpaskan Natsuki Nidaira dari Jepun, 20-22, 21-18, 21-14.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading