1. PADA Rabu 27 Disember 2023, di atas kesinambungan Semangat Juang Melayu Bumiputera di masa penubuhan Institut Teknologi Mara (ITM) di era awal 70-an, dan oleh kerana terlalu sayangkan institusi itu yang kini dikenali sebagai UiTM, maka sebuah jawatan kuasa bebas dikenali sebagai BUMIPUTERA BERTINDAK dibentuk bagi menangani beberapa isu membabitkan soal pengoperasian, dakwaan salah laku, pelanggaran tadbir urus korporat dan pembaziran yang menjadi buah mulut masyarakat khususnya warga UiTM dan para alumninya.
  2. Antaranya, isu kerugian UiTM Holdings dan beberapa pelakuan pelanggaran dan kelemahan tatakelola yang mencurigakan seperti yang dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.
  3. Jawatan kuasa ini akan berfungsi sebagai pemantau dan pemberi maklumat (whistleblower) bagi memastikan institusi menara gading keramat Bumiputera itu menjadi Bersih; Berintegriti; Telus dan Dihormati oleh semua warga dan pemegang taruhnya.
  4. Jawatan kuasa BUMIPUTERA BERTINDAK ini pada peringkat permulaan akan digerakkan oleh mantan-mantan pemimpin pelajar dan alumni universiti itu.

Mereka terdiri daripada:

  • Datuk Dr. Ibrahim Ali (mantan pemimpin pelajar ITM, mantan Ali Lembaga Pengarah UiTM)
  • Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed (mantan pemimpin pelajar ITM, mantan Presiden Alumni UiTM Malaysia, mantan Ahli Lembaga Pengarah UiTM, mantan Menteri Kabinet)
  • Prof Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah (mantan pemimpin pelajar ITM, mantan Naib Canselor UiTM, mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM)
  • Datuk Mohd Zaini Hassan (mantan Presiden Alumni UiTM Malaysia, mantan Ahli Lembaga Pengarah UiTM)
  • Datuk Seri (Dr) Mohamed Azahari Mohamed Kamil (Mantan Ahli Lembaga Pengarah UiTM, alumni UiTM)
  • Datuk Dr Ruhanie Ahmad (mantan pemimpin pelajar ITM, mantan Ahli Parlimen)
    Dr Azmi Abd Hamid (mantan Prof Madya UiTM dan mantan Pengarah Unit Risiko, UiTM, alumni UiTM)
  • Noor Hazril Norizan (Penolong Setiausaha BUMIPUTERA BERTINDAK)
  1. Dalam mesyuarat itu, beberapa tindakan telah disusun bagi memastikan siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap institusi itu dapat dilaksanakan secara tuntas.
  2. Jawatan kuasa BUMIPUTERA BERTINDAK mahu memastikan kes-kes yang disiasat oleh SPRM tidak lagi diletak di bawah status NFA atau No Further Action atau Tiada Tindakan.
  3. Jika ini berlaku, ia memberi gambaran bahawa ada campur tangan pihak-pihak tertentu bagi memastikan kes-kes itu tidak diperlanjutkan.
  4. Jawatan kuasa ini mendapati tindakan itu telah menyebabkan berlakunya “kehakisan kepercayaan” terhadap integriti institusi tersebut.
  5. Sehubungan itu, kami mahu SPRM mempercepatkan siasatan agar mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana UiTM dapat dibawa ke muka pengadilan.
  6. Tindakan ini akan menjadi teladan dan sempadan kepada UiTM Holdings (dan pegawai-pegawai UiTM khususnya) agar lebih berhati-hati dalam urus niaga yang dibuat pada masa hadapan, apatah lagi mengambil kesempatan dan menyalahguna kuasa untuk kepentingan diri.
  7. Diharapkan ia juga akan menjadi peringatan kepada matlamat penubuhan UiTM Holdings itu sendiri, iaitu untuk menjadi “Investment Arm” yang boleh membawa keuntungan kepada UiTM; dan bukannya merugikan UiTM.
  8. Justeru, jawatan kuasa bebas ini berharap semua Alumni UiTM, yang dianggarkan berjumlah hampir satu juta dan masyarakat awam dapat memberi sokongan dalam usaha murni ini.
  9. Oleh itu, jawatan kuasa ini merancang mengadakan taklimat terbuka dengan Alumni UiTM berhubung beberapa isu umum membabitkan UiTM, pada penghujung Januari 2024. Susulan itu juga beberapa pertemuan peringkat tertinggi dengan beberapa pihak akan diatur.
  10. Jawatan kuasa mendapati, tiada masa lagi untuk kita melindungi dan menyembunyi (brush under the carpet) sebarang salah-laku dalam soal tatakelola dan tadbir urus di dalam institusi itu atau di mana-mana institusi sekali pun.

Sekian, terima kasih.

Datuk Dr Ibrahim Ali
(012 2118004) atau
Datuk Mohd Zaini Hassan (0192815601)
Jumaat, 29 Disember 2023

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading