ALHAMDULILLAH, aku sampai di kampung bapa mentua di Kampung Batu 16 Padang Lumat, Guar Cempedak, Kedah, petang semalam. Rumah peninggalan bapa dan ibu mentua hanya ada adik ipar lelaki sahaja.

Macam biasa kami sembang-sembang. Kemudian datang sepupu kepada isteriku. Kami semua panggil dia Kak Jah. Dia bukan orang senang, kategori B40 juga, walaupun anak-anaknya sudah dewasa dan ada yang menjadi guru.

Kak Jah sudah lama tinggal di Pondok Tualang, Pokok Sena, Kedah – pondok orang tua-tua.

Kami sembang tajuk-tajuk biasa… orang kampung.

Hingga kemudian saya ceritakan mengenai kesusahan orang Melayu Islam di Selatan Thailand sekarang ini yang berdepan banjir paling besar sejak 50 tahun lalu, malah ada sesetengah tempat mendakwa sejak 300 tahun lalu.

Puluhan ribu rumah musnah, terutama di tiga wilayah – Pattani, Narathiwat dan Yala – puluhan ribu penduduk hilang tempat tinggal, harta benda musnah, ternakan mati. Siapa yang membantu?

Ya! Kerajaan Thailand ada juga membantu, tetapi bantuan itu tidak sama dengan yang diberikan kerajaan kita ketika banjir besar melanda beberapa negeri sebelum ini.

Agensi-agensi kerajaan kita bergerak pantas menghulurkan bantuan, demikian juga penduduk negeri yang tidak terlibat dengan banjir turut menghantar bantuan segera, terutama ke Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Mereka? – Melayu Islam Selatan Thailand yang sedang menghadapi bencana sekarang, adakah kita perlu menghantar bantuan?

Aku kata pada Kak Jah: “Ya! Kita yang kena bantu walaupun saudara-saudara kita di Kelantan, Terengganu dan Pahang juga sekarang ini menghadapi bencana banjir. Tapi tiga negeri itu lain, agensi kerajaan kita pantas bergerak menghantar bantuan”.

“Tak sama dengan orang Melayu Islam Selatan Thai sekarang. Sekarang ini, mereka hanya tolong menolong sesama sendiri.”

Kak Jah terus mendengar, sambil sesekali mengiyakan. Aku kata lagi pada Kak Jah: “Kita kena bantu mereka… saya akan usaha untuk hantar bantuan walaupun sedikit. Sekarang ini, mangsa banjir di Selatan Thai memerlukan air bersih – air mineral – untuk apa? Untuk minum, berwuduk.”

“Kerana hampir seluruh kampung di tiga wilayah itu tidak ada air bersih (air paip) macam kita. Mereka masih menggunakan air perigi. Bila banjir, perigi pun tenggelam. Itu belum lagi keperluan di surau dan masjid, khususnya sejadah.” Aku kata pada Kak Jah.

Lama juga kami sembang-sembang. Kemudian Kak Jah minta diri untuk pulang. Tapi Kak Jah hulur RM50 kepada aku. Aku tanya “duit apa?”.

Kak Jah jawab: “Hang nak pi bantu orang sana (Selatan Thai) aku pun nak sedekah juga 50 ringgit ni… hang beli la apa-apa makanan, ayaq ka, hat depa nak guna”.

Aku kata: “Kak Jah pun bukan orang senang”. Tapi Kak Jah balas “aku tak senang tapi ada orang lagi susah.”

Mendengar kata-kata itu, Kak Jah memang ikhlas nak tolong walaupun sikit. Aku ambil, sambil memerhati Kak Jah melangkah pergi. Semoga Kak Jah terus mendapat rezeki dan balasan pahala dari Allah. Insya-Allah…

Dalam hati aku kata… Kak Jah… duit Kak Jah sedekah ni akan jadi ‘ibu duit’. Bantuan akan berganda-ganda. Insya-Allah….

Tambahan:
Apa Khabar TV sedang mengutip dana untuk membantu mangsa banjir di Selatan Thailand. Maklumat lanjut sila hubungi Razali Zakaria (Tel Whatsapp: +60 12 280 5590 )

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading