
DOLAR Amerika Syarikat (AS) telah menjadi mata wang rizab dunia sejak Perang Dunia II, namun gabungan atas nama politik dan ekonomi secara perlahan-lahan menyebabkan ketuanan dolar semakin merosot.
Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), hampir 60 peratus daripada aset rizab antarabangsa dipegang dalam denominasi dolar, selain ia juga menjadi mata wang yang paling banyak digunakan untuk perdagangan.
Kemudian, sekatan yang diketuai Barat terhadap Russia susulan pencerobohan ke atas Ukraine menjadikan negara-negara lain berwaspada terhadap kemungkinan akibat bergantung kepada Washington.
Beberapa negara, seperti Brazil, Argentina, Bangladesh dan India, sedang menyediakan mata wang sandaran dan aset – seperti yuan dan bitcoin – untuk perdagangan dan pembayaran.
Walaupun persekitaran makro-geopolitik mendorong untuk mencari mata wang alternatif, kegelisahan terhadap penguasaan berlebihan dolar dalam perdagangan dan kewangan global, telah lama wujud.
Perbincangan menyahkan dolar (de-dollarization) ini telah semakin semarak sejak ianya bermula sekurang-kurangnya pada 1970-an.
Berikut adalah tiga sebab negara di seluruh dunia cuba menyusun rancangan untuk mungkin berpindah dari dunia yang dikuasai dolar.
Dasar monetari AS menguasai terlalu banyak pengaruh di seluruh dunia
AS adalah pengeluar mata wang rizab dunia, yang juga merupakan mata wang dominan dalam perdagangan antarabangsa dan sistem pembayaran.
Akibatnya, ia mempunyai pegangan luar biasa terhadap ekonomi dunia dan sering dinilai terlalu tinggi, lapor badan pemikir Wilson Center pada Mei.
Kedudukan ini telah memberikan AS apa yang Valéry Giscard d’Estaing, Presiden Perancis dari 1974 hingga 1981, panggil sebagai ‘keistimewaan yang terlalu tinggi’. Satu aspek keistimewaan ini ialah AS mungkin tidak menghadapi krisis jika ia tidak mampu membayar hutangnya apabila nilai dolar jatuh mendadak, kerana Washington boleh mengeluarkan lebih banyak wang.
Ini juga bermakna bahawa negara-negara di seluruh dunia perlu mengikut dasar ekonomi dan monetari AS dengan teliti untuk mengelakkan kesan limpahan ke atas ekonomi mereka.
Beberapa negara, termasuk India menyatakan mereka muak dan bosan dengan dasar monetari AS yang menahan mereka sebagai tebusan – sehingga mengatakan bahawa AS telah menjadi pengeluar mata wang rizab dunia yang tidak bertanggungjawab.
Sebuah kumpulan kerja di Reserve Bank of India kini mendesak menggunakan rupee India untuk perdagangan – pendirian yang selaras dengan visi Perdana Menteri India Narendra Modi untuk mata wang.
Dolar yang kukuh menjadi terlalu mahal untuk negara membangun
Dolar AS yang semakin kukuh berbanding kebanyakan mata wang di seluruh dunia menjadikan import jauh lebih mahal untuk negara sedang membangun.
Di Argentina, tekanan politik dan kemerosotan eksport menyumbang kepada kejatuhan rizab dolar AS dan menekan peso Argentina yang seterusnya mendorong inflasi.
Ini telah mendorong Argentina untuk mula membayar import China menggunakan yuan dan bukannya dolar AS, kata menteri ekonomi negara itu pada Rabu, lapor Reuters.
“Dolar yang lebih kukuh akan melemahkan peranannya sebagai mata wang rizab,” ahli ekonomi di Allianz, sebuah firma perkhidmatan kewangan antarabangsa, menulis dalam laporan 29 Jun. “Jika akses kepada dolar menjadi lebih mahal, peminjam akan mencari alternatif.”
Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva telah menjadi salah seorang penyokong paling lantang mewujudkan mata wang alternatif bagi penyelesaian perdagangan sehingga menyebabkan Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan menjauhi dolar AS.
Dagangan global dan permintaan minyak semakin pelbagai – meletakkan dolar dalam risiko
Sebab utama dolar AS menjadi mata wang rizab dunia adalah kerana negara-negara Teluk menggunakan dolar AS untuk perdagangan minyak – kerana ia sudah menjadi mata wang perdagangan yang digunakan secara meluas pada masa mereka berdagang.
Pengaturan itu bermula pada 1945 apabila negara gergasi minyak Arab Saudi dan AS mencapai perjanjian bersejarah di mana Arab Saudi akan menjual minyaknya kepada AS hanya menggunakan dolar. Sebagai balasan, Arab Saudi akan melabur semula lebihan rizab dolar ke dalam perbendaharaan dan syarikat AS. Pengaturan itu menjamin keselamatan AS untuk Arab Saudi.
Tetapi kemudian AS menjadi negara bebas tenaga dan pengeksport minyak bersih dengan kebangkitan industri ‘shale oil’.
“Perubahan struktur dalam pasaran minyak yang disebabkan oleh revolusi ‘shale oil’ secara paradoks boleh menjejaskan peranan dolar AS sebagai mata wang rizab global kerana pengeksport minyak, yang memainkan peranan penting dalam status dolar, perlu mengorientasikan semula diri mereka ke negara lain dan mata wang mereka,” lapor ahli ekonomi Allianz.
Ia bukan hanya minyak.
Hubungan antara AS dan Arab Saudi – yang telah disifatkan seperti ‘frenemies’ – juga telah diuji dalam beberapa isu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, seperti ketika Presiden Donald Trump mendakwa bahawa Arab Saudi tidak membayar AS harga yang berpatutan untuk pembelaannya, dan apabila Presiden Joe Biden mengecam Putera Mahkota Mohammed bin Salman atas pembunuhan wartawan Washington Post, Jamal Khashoggi.
Ketegangan sedemikian, dengan latar belakang revolusi ‘shale oil’, menimbulkan kemungkinan Arab Saudi boleh meninggalkan harga minyak dalam denominasi AS suatu hari nanti, Sarah Miller, editor di Energy Intelligence, firma maklumat tenaga, menulis pada November tahun lepas. – businessinsider.com







Leave a Reply