TANJUNG MALIM: Pengorbanan pelakon Fendy Bakry atau “Mr. Grey” sangat dihargai isterinya, Afnizar Samsir Alam Syah hingga akhirnya berjaya menggengam segulung ijazah, sempena majlis Istiadat Konvokseyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-25 Sesi kedua Khamis lalu.

Afnizar Samsir atau lebih mesra dengan panggilan Ayu menerima Ijazah Sarjana Pengajian Seni Persembahan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan sambil menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan berjuang di sebuah universiti pendidikan yang tersohor.
“Saya bertuah mendapat sokongan penuh daripada suami tercinta meskipun melalui detik sukar yang terpaksa ditempuhi sepanjang pengajian. Namun, sokongan penuh darinya membuatkan saya terus bersemangat untuk berusaha menggenggam sarjana, ” katanya.
.
“Kami saling mengingati antara satu sama lain tentang tanggungjawab masing-masing. Kalau ada tugasan yang perlu dihantar, suami yang selalu ingatkan saya untuk menyelesaikannya,” katanya.
Menurut Ayu, sokongan yang diberikan bukan sahaja dari segi nasihat dan kata-kata semangat, malah Fendy juga sanggup menghadiri persembahan Projek Akhir Tahun di UPSI walaupun dia sendiri dalam proses penyembuhan kerana baharu sahaja menjalani pembedahan.
Ayu berkata antara kenangan yang paling tidak akan dilupakan sepanjang tempoh pengajian, suaminya sanggup menunggu lapan jam di dalam kereta demi menemaninya menghadiri kelas.
Ayu juga berkata, beliau menyambung pengajian bukan kerana untuk mengejar pangkat, namun dirinya memang suka belajar.
“Saya juga memasang impian untuk menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah, tetapi bukan dalam masa terdekat kerana ingin fokus kepada keluarga.” katanya.
Fendy yang juga pelakon “Mr Grey”, “Kerna Syurga Bukan Percuma” dan “Tak Sempurna Mencintaimu” berbangga dengan ketekunan isterinya menyambung pengajian di universiti pendidikan itu dan turut mendapat bimbingan pensyarah kanan, Dr Lena Farida Hussain Chin.
Seramai 7,616 graduan menerima skrol masing-masing pada majlis Konvokesyen UPSI ke-25 ini yang berlangsung selama lapan hari sehingga Rabu depan.





Leave a Reply