

WARGA Palestin semakin bimbang kemungkinan rejim Zionis Israel akan melancarkan operasi ketenteraan terhadap Hospital Indonesia, sama seperti yang dilakukan beberapa hari lalu ke atas Hospital al-Shifa, kompleks perubatan terbesar di Semenanjung Gaza.
Hospital Indonesia sebelum ini berdepan pengeboman tentera rejim pengganas itu pada pagi Isnin, manakala kereta kebal rejim dilihat berdekatan. Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh di dalam hospital, dan dua doktor telah cedera.
Rakaman video yang dikongsi oleh saluran berita menunjukkan beberapa kereta kebal Israel berlegar di sekitar Hospital Indonesia, yang telah menghadapi pengeboman berat Israel sejak beberapa jam lalu.
Kumpulan hak asasi manusia gesa negara-negara Arab tarik diri daripada Abraham Accords
Kumpulan hak asasi manusia Democracy for the Arab World Now (DAWN) menggesa kerajaan Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Sudan, dan Maghribi, menarik diri daripada perjanjian normalisasi yang diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS) dengan Israel susulan kempen ketenteraan rejim Zionis di Semenanjung Gaza.
“UAE dan negara lain harus bertanggungjawab dengan keberanian Israel untuk mempercayai bahawa mereka boleh mengebom dan membunuh rakyat Palestin sewenang-wenang tanpa sebarang akibat terhadap kedudukannya di rantau ini,” kata Pengarah Eksekutif DAWN, Sarah Leah Whitson dalam satu kenyataan.
“Pematuhan berterusan kepada Abraham Accords memberi isyarat bahawa UAE dan penandatangan lain masih menyokong Israel dan memberi ganjaran kepada Israel dengan komitmen untuk pembangunan ekonomi dan perdagangan dan, yang paling mengejutkan ialah penyelarasan ketenteraan.”
Kumpulan hak asasi manusia juga menggesa negara-negara terbabit, sebagai tambahan kepada Mesir dan Jordan yang menormalkan hubungan dengan Israel sebelum perjanjian normalisasi 2020, untuk menamatkan semua penyelarasan ketenteraan dengan Israel.
DAWN telah menyeru semua negara Arab yang menjadi tuan rumah kepada pangkalan tentera AS untuk “mengisytiharkan secara terbuka bahawa tidak akan membenarkan AS menggunakan pangkalan berkenaan untuk membekalkan senjata atau memberi perlindungan kepada tentera Israel” di tengah-tengah perang di Gaza.
Sementara itu, menteri-menteri dari beberapa negara majoriti Islam dan Arab pada Isnin berkumpul di ibu negara China, Beijing, di mana mereka mengadakan pertemuan dengan diplomat tertinggi negara itu dan menggesa gencatan senjata segera di Gaza.
Para pegawai yang mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China Wang Yi adalah dari Arab Saudi, Jordan, Mesir, Indonesia, Palestin, serta Pertubuhan Kerjasama Islam.
Kunjungan ke Beijing adalah lawatan diplomatik pertama oleh gabungan itu untuk mendesak perang Israel ke atas Gaza ditamatkan dan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke kawasan itu.
Delegasi itu ditetapkan untuk bertemu dengan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.
Pertemuan di Beijing juga diadakan selepas sidang kemuncak bersama Muslim-Arab di Riyadh bulan ini, di mana negara-negara itu menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menyiasat “jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang Israel lakukan” di wilayah Palestin.
Dalam laporan lain, mayat lebih 30 rakyat Palestin yang terbunuh oleh pengeboman Israel di kem pelarian Nuseirat dan Bureij tiba di al-Aqsa Martyrs Hospital di tengah Semenanjung Gaza pada pagi Isnin, menurut beberapa saluran berita Palestin.
Gaza telah menghadapi pengeboman hebat pada awal pagi Isnin, dengan berpuluh-puluh dilaporkan terkorban di seluruh kawasan yang dikepung.
Pada masa ini, tentera Israel telah mengepung Hospital Indonesia di utara Gaza, mencetuskan kebimbangan bahawa rejim pengganas itu akan melancarkan operasi sama seperti yang dilakukan di Hospital al-Shifa beberapa hari lalu.







Leave a Reply