
SERANGAN udara Israel ke atas sebuah sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di utara Gaza membunuh sekurang-kurangnya 50 orang, dalam satu lagi serangan dahsyat rejim pengganas Zionis ke atas rakyat Palestin di semenanjung yang dikepung itu, menurut seorang pegawai kesihatan.
Rakaman grafik yang disiarkan oleh Al Jazeera pada Sabtu menunjukkan berpuluh-puluh mayat bergelimpangan susulan serangan ke atas sekolah al-Fakhoura, yang dikendalikan oleh Agensi Bantuan dan Pekerjaan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Sekolah itu sebelum dikatakan dijadikan sebagai tempat perlindungan oleh ratusan warga Palestin.
Sekolah itu, yang terletak di Kem Pelarian Jabalia, kali pertama diserang awal bulan ini, dan sebelum ini menjadi sasaran tentera Israel ketika keganasan meningkat pada 2009 dan 2014.
Satu lagi serangan Israel ke atas sebuah bangunan di kem itu membunuh 32 orang daripada keluarga yang sama, pegawai yang sama memberitahu AFP.
Kementerian Kesihatan Gaza mengeluarkan senarai 32 ahli keluarga Abu Habal yang terbunuh dalam serangan itu, 19 daripadanya adalah kanak-kanak.
Di tempat lain di utara Gaza, sekurang-kurangnya 63 rakyat Palestin terbunuh ketika tiba di Hospital Indonesia pada waktu subuh semalam, sumber perubatan memberitahu Al Jazeera.
Serangan ke atas kem Jabalia berikutan beberapa siri serangan maut yang dilakukan oleh tentera Israel di utara Semenanjung Gaza, termasuk di Beit Lahia, Beit Hanoun dan Bandar Gaza.
Tentera rejim pengganas Israel juga melancarkan serangan dahsyat di selatan Gaza, yang telah menjadi sasaran selama berminggu-minggu walaupun berulang kali Israel mengarahkan sejuta rakyat Palestin di utara melarikan diri ke kawasan itu.

Sekurang-kurangnya 26 orang maut akibat serangan udara Israel ke atas kawasan perumahan di Khan Younis pada awal pagi Sabtu. Kanak-kanak adalah antara yang terbunuh.
Pada sebelah petang, rejim Zionis menyerang sebuah rumah di barat Khan Younis, membunuh 15 orang, kata pegawai kesihatan dari Hospital Nasser Gaza.
Di tempat lain di selatan, serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di Deir al-Balah membunuh enam rakyat Palestin, menurut pegawai kesihatan.
Angka kematian rakyat Palestin yang terbunuh dalam perang Israel ke atas Gaza sejak enam minggu lalu telah melepasi 12,000, sebahagian besar daripada mereka adalah wanita dan kanak-kanak.
Ia berlaku selepas serangan mengejut Hamas ke atas rejim tu pada 7 Oktober, yang berakhir dengan kematian 1,200 orang Israel. Kira-kira 240 orang turut ditawan ke Gaza.
Di bahagian utara Gaza, majoriti pesakit di Hospital al-Shifa – kompleks perubatan terbesar di wilayah itu – telah dipaksa keluar oleh tentera rejim pengganas Israel.
Dr Munir al-Borsh, Ketua Pengarah Kesihatan Palestin, memberitahu Al Jazeera bahawa mereka yang berada di dalam hospital terpaksa mengibarkan bendera putih ketika mereka berjalan dalam barisan dengan kereta kebal dan tentera Israel di kedua-dua belah pihak.
“Ramai pesakit diletakkan di atas kerusi roda atau katil. Ahli keluarga terpaksa membawa sendiri anak atau ibu bapa mereka yang cedera,” kata Borsh.
“Ini adalah adegan yang mengerikan dan belum pernah terjadi sebelumnya.”







Leave a Reply