Oleh Prof Dr Rikhsieva Gulchehra Shavkatovna dan Prof Madya Dr Nilufar Bekmuratovna
PADA masa kini, banyak peluang diwujudkan untuk wanita di Uzbekistan untuk memastikan persamaan gender antara lelaki dan perempuan dalam kalangan negara Asia Tengah.
Hal ini selaras dengan ucapan Presiden Republik Uzbekistan, Shavkat Mirziyoev yang amat menekankan berkaitan pencapaian penting dan tugas pada masa hadapan masyarakat dalam semua bidang, termasuk memastikan persamaan gender, perlindungan sosial keluarga, peranan keibubapaan dan kanak-kanak.
Mengambil peluang daripada hal tersebut, dua mahasiswa daripada Tashkent State University of Oriental Studies (TSUOS) iaitu, Utkurova Gulzoda dan Akramova Sarvinoz, telah menyertai pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM-2023) anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia yang berlangsung Universiti Sains Malaysia (USM) dan berjaya meraih gelaran johan dan naib johan.
Kedua-dua mahasiswa ialah pelajar tahun tiga dalam bidang filologi Bahasa Melayu yang telah mula mempelajari bahasa berkenaan hampir tiga tahun lalu di TSUOS.

Pengajaran bahasa Melayu di TSUOS (universiti pengkajian ketimuran negeri Tashkent) bermula pada 2004, dan sejak beberapa tahun lalu, bukan sahaja bahasa Melayu, tetapi juga sastera, sejarah, budaya, politik, ekonomi, pelancongan dan kewartawanan berkaitan Malaysia telah ditawarkan dan dipelajari di universiti ini.
Kerjasama erat antara TSUOS dan institusi pengajian tinggi Malaysia telah mewujudkan asas yang baik untuk pengembangan dan pelaksanaan kajian bidang-bidang ini secara berkesan.
Sebagai contoh, pada 2018, TSUOS telah dikunjungi oleh delegasi yang diketuai oleh Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Malaysia, Profesor Datuk Dr Muhammad Shatar Sabran.
Hasil rundingan tersebut, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara TSUOS dengan UPSI. Kerjasama ini diteruskan oleh Naib Canselor yang baharu iaitu Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Menerusi perjanjian kerjasama itu, UPSI telah menghantar Mohammad Faiz, pada tahun akademik 2017/2018 untuk mengajar bahasa Melayu selama tiga bulan.
Seterusnya, Profesor Madya Dr Zulkifli Osman pada tahun akademik 2018/2019 dan diikuti oleh Haji Abdullah Yusuf pada tahun akademik 2020/2021. Kedua-dua pensyarah itu turut mengajar di TSUOS selama tiga bulan.
Tidak ketinggalan, TSUOS turut menerima seorang lagi pensyarah dari UPSI iaitu Dr Sabariah Sulaiman pada tahun akademik 2023/2024 untuk mengajar Bahasa Melayu dan melebarkan skop kerjasama menerusi penganjuran beberapa program akademik lain.
Selain melaksanakan kuliah Bahasa Melayu secara bersemuka, TSUOS juga telah bekerjasama dengan UPSI melibatkan Program Mobiliti Inbound dalam talian secara teradun (blended learning) ketika pandemik Covid-19 iaitu pada 2021.
Mengikut klausa yang termeterai dalam MoU itu, seorang guru bahasa Melayu dari TSUOS iaitu Puan Mamatkulova Mahliyo telah menamatkan kursus pemantapan latihan pedagogi dan pemantapan bahasa Melayu di UPSI di bawah Program Mobiliti Inboud Tenaga Pengajar Bahasa Melayu Antarabangsa (Uzbekistan) pada Ogos lalu di UPSI.
Selain itu, TSUOS juga mempunyai hubungan kerjasama dengan universiti Malaysia lain iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi MoU yang ditandatangani pada 29 Mac 2022.
Di bawah memorandum persefahaman ini, seorang guru Bahasa Melayu dari TSUOS iaitu Toshpo‘latova Zarnigor telah menamatkan Kursus Ketrampilan Bahasa Melayu di UKM. Terdahulu, Bekkulov Erkin telah mengikuti kursus selama sebulan di Institut Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Melayu (IPG KBM), Kuala Lumpur bagi memantapkan kemahiran bahasa Melayu beliau.
Hari ini, di TSUOS, terdapat lebih daripada 100 pelajar dalam 10 kumpulan akademik mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa timur utama dalam bidang pendidikan seperti Filologi dan Terjemahan; Kewartawanan Antarabangsa; Pemandu Pelancong; Pengurusan Pelancongan; Ekonomi dan Kajian Antarabangsa.
Di samping itu, lebih kurang 100 pelajar yang belajar dalam beberapa bidang lain turut mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa timur kedua.
Pada acara-acara rasmi negara, persidangan ilmiah, pertandingan sukan dan mesyuarat perniagaan yang diadakan di Republik Uzbekistan, pelajar TSUOS terlibat aktif sebagai sukarelawan, khususnya sebagai penterjemah bahasa Melayu dan menerima pengiktirafan tinggi daripada tetamu asing dan penganjur acara.
Enam daripada graduan sarjana muda bidang Filologi dan Pengajaran Bahasa telah menamatkan ijazah sarjana, dan tiga daripadanya terlibat dalam aktiviti saintifik dan pedagogi di TSUOS iaitu Bekkulov Erkin, Toshpo‘latova Zarnigor dan Mamatkulova Mahliyo.
Usaha yang digerakkan oleh TSUOS dalam pelbagai bidang berkaitan pengajian Malaysia telah menunjukkan hasil dan kesannya semakin menyerlah. Sehubungan itu TSUOS berhasrat untuk mengembangkan usaha-usaha ini pada masa hadapan.
Antara lain agenda memperluaskan kerjasama dengan universiti-universiti Malaysia menerusi langkah berikut:
- Pertukaran profesor dan pelajar berbakat antara universiti untuk menggunakan pengalaman sistem pendidikan kedua-dua negara ke arah meningkatkan pencapaian dalam bidang akademik;
- Penganjuran kursus bahasa Melayu untuk pelajar Uzbekistan di universiti Malaysia dan kursus bahasa Uzbek dan Russia untuk pelajar Malaysia di TSUOS ketika cuti musim panas;
- Pewujudan peluang mencapai bahan rujukan dalam talian dari perpustakaan universiti di Malaysia bagi profesor dan guru melakukan penyelidikan saintifik dalam bidang pengajian Melayu dan pengajian negara;
- Penciptaan manual pengajaran dan buku teks dengan kerjasama universiti di Malaysia akan mengukuhkan lagi sokongan metodologi proses pendidikan;
- Penerbitan artikel dalam jurnal saintifik, menerbitkan monograf, membangun dan melaksanakan projek inovatif permulaan untuk pelajar berbakat dan pelajar sarjana dan kedoktoran di universiti Malaysia dan universiti di Uzbekistan bagi mengisi keperluan dalam bidang pengajian Malaysia dengan sumber saintifik yang baik;
- Penganjuran seminar khas dan kelas induk untuk pelajar berbakat dengan menjemput penulis dan penyair terkenal, saintis, penterjemah terkemuka, motivator terkenal dan penulis blog yang mencipta kandungan berguna untuk pelajar, dan umumnya orang popular yang menjadi trend dalam kalangan belia;
- Penganjuran kursus copywriting jangka pendek untuk pelajar yang mempelajari filologi, kewartawanan, pelancongan, penulisan teks kreatif dan kelas penulisan blog mengenai objek pelancongan bagi membantu meningkatkan potensi pelancongan Uzbekistan;
- Pengiktirafan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu untuk Penutur Asing yang ditawarkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia oleh Kementerian Pengajian Tinggi Uzbekistan bagi membantu pensyarah dan pelajar menyambung pengajian Sarjana dan Kedoktoran mereka; dan
- Sambutan hari-hari besar kebangsaan Malaysia di TSUOS dan hari-hari kebangsaan Uzbekistan di universiti-universiti Malaysia bagi mengukuhkan sikap saling menghormati antara rakyat kedua-dua negara.
Semua cadangan yang disebut amat penting dan bermanfaat dalam menentukan perspektif baharu kerjasama antara TSUOS dengan universiti di Malaysia.








Leave a Reply