Oleh Mohd Rino Mohd Johari
SAYA merupakan seorang guru Matematik di kelas 5PKB Sukses, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Masalah Pembelajaran, SK Bukit Beruntung. Murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) di dalam kelas ini terdiri daripada 11 orang.
Pada minggu pertama sesi persekolahan, MBPK menduduki ujian diagnostik yang bertujuan untuk mengenal pasti kemahiran Matematik yang masih belum dikuasai bagi membolehkan guru mata pelajaran merancang strategi dan intervensi yang sesuai.
Berdasarkan ujian diagnostik yang telah dilaksanakan, didapati bahawa 8 orang MBPK kefungsian rendah masih belum memahami dan menguasai konsep operasi asas Matematik. Kegagalan MBPK memahami dan menguasai konsep operasi asas Matematik adalah kerana :
i) Beranggapan mata pelajaran Matematik sukar dan membosankan.
ii) Kurang menumpukan perhatian semasa sesi PdPc.
iii) Kurang bahan bantu mengajar (BBM) untuk empat operasi asas Matematik di pasaran yang sesuai dengan MBPK kefungsian rendah.
Di samping itu, beberapa refleksi terhadap penambahbaikan strategi PdPc turut dikenalpasti iaitu:
i) Kurang menggunakan BBM yang dapat menarik minat belajar.
ii) Kurang mempraktikkan strategi PdPc berkonsepkan ansur maju dan didik hibur.
iii) Kurang mempraktikkan strategi PdPc konstruktivisme dengan mengetengahkan elemen main peranan.
iv) Kurang menggunakan elemen visual dalam menerangkan konsep asas Matematik.
Berdasarkan daripada masalah tersebut, MBPK kefungsian rendah di kelas 5PKB Sukses akan terus ketinggalan dalam memahami dan menguasai konsep asas operasi Matematik jika tiada tindakan intervensi diambil.
Oleh yang demikian, sebuah BBM dikenali sebagaI Inovasi Kit Operasi Asas Matematik (I-KOAM) dicipta yang diinovasikan daripada permainan tradisional congkak. Melalui I-KOAM, empat operasi asas Matematik dalam lingkungan 100 dapat diaplikasikan untuk mengajar konsep asas.
Klik di bawah untuk membaca tulisan selajutnya yang dibentangkan dalam Seminar Kajian Tindakan dan Amalan Terbaik Pendidikan Khas (SMART) 2023, anjuran Unit Pendidikan Khas, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Selangor dengan kerjasama Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung di Kampus Sultan Azlan Shah Khamis lalu (9 November 2023).

Penulis adalah guru Matematik Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Masalah Pembelajaran, Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung.






Leave a Reply