

PEMBUNUHAN penuh kebuasan ke atas orang awam Palestin di Semenanjung Gaza dengan tidak sedikit pun tersimpan rasa kemanusiaan dalam sanubari Barat, bahkan bantuan dana dan ketenteraan kepada regim pengganas Israel semakin bertambah menunjukkan situasi kritikal psikologi Barat itu sendiri.
Negara yang dikatakan perjuang hak asasi sejagat iaitu Amerika Syarikat (AS) – daripada presiden, para pemimpin sehingga kepada presiden Universiti Harvard – sudah obses atau kemaruk dengan genosidal yang dilakukan regim haram Israel.
Dunia terkejut dengan apa yang sedang berlaku di Gaza. Orang tua, bayi, kanak-kanak, ibu, wanita dan perempuan, golongan muda, belia semuanya dibom rejim Zionis Israel sama ada telah dibunuh, tercedera atau mencari tempat perlindungan dan terpaksa meninggal kampung halaman dalam situasi serba kekurangan dan daif akibat serangan genosidal.
Dunia menggesa kepada perdamaian dan gencatan senjata, BBC melaporkan Presiden Peranchis meminta supaya dihentikan pembunuhan ke atas bayi, orang tua dan wanita, tetapi tidak diendahkan, Israel masih meneruskan genosid.
Terkini (semasa artikel ini ditulis) pertempuran meningkat antara askar Israel dan pejuang Hamas menyebabkan beribu-ribu orang terperangkap dalam hospital di Gaza dengan petugas kesihatan dan bantuan memberi amaran bahawa pesakit berisiko mati akibat kekurangan kemudahan.

Laporan berita AFP/Agensi menyebut hospital terbesar di Semenanjung Gaza, Hospital Al-Shifa dikepung sepenuhnya ketika pengeboman berlaku berdekatan dengan kemudahan itu.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Munir Al-Bursh berkata, lebih 400 pesakit dirawat di Hospital Al-Shifa manakala 20,000 orang berlindung di kompleks hospital tersebut.
Tiga bayi pramatang dilaporkan meninggal dunia di hospital tersebut akibat tidak mempunyai bekalan oksigen ketika ia tidak beroperasi di tengah-tengah pertempuran sengit, demikian menurut Kementerian Kesihatan di Gaza seperti dilaporkan saluran berita CNN.
Dalam hubungan ini, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggesa operasi tentera Israel di Gaza dihentikan serta-merta.
Sidang Kemuncak Tergempar OIC memutuskan untuk menolak alasan Israel yang mereka bertindak kejam terhadap rakyat Palestin sebagai mempertahan diri.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan di sini, negara OIC mahu Mahkamah Jenayah Antarabangsa menyiasat jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang Israel lakukan di wilayah Palestin.
Arab Saudi berusaha untuk menekan AS dan Israel untuk menamatkan permusuhan di Gaza.
Persidangan itu dihadiri puluhan pemimpin termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Iran, Ebrahim Raisi; Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan; Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani; dan Presiden Syria, Bashar al-Assad, yang kembali ke Liga Arab tahun ini.
Malaysia tidak mahu mesyuarat dan pertemuan-pertemuan dalam OIC berkenaan Palestin sekadar berakhir dengan kenyataan mengutuk tanpa mengemuka langkah konkrit untuk bergerak ke hadapan.
Sebaliknya, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata perlu ada penegasan daripada negara-negara anggota OIC supaya gencatan senjata disegerakan dan pembunuhan yang sedang berlaku di Palestin ketika ini, dihentikan.
Dapatkah OIC memberikan tekanan kepada regim pengganas Isreal ataupun dapatkah OIC meminta AS menggesa kepada gencatan senjata?

Perdana Menteri Rejim Pengganas Israel, Benjamin Netanyahu membuat ugutan terhadap pemimpin Arab agar mengambil pendirian berdiam diri berhubung tragedi kemanusiaan di Gaza.
Netanyahu berkata, kepentingan pemimpin Arab akan dijaga jika mereka terus mengambil pendirian berdiam diri.
Bayangkanlah AS, Britain dan sekutu Baratnya tidak melakukan apa-apa atau memberikan kata dua mahupun amaran supaya Israel menghentikan pembunuhan genosidal, pembersihan etnik mahukan gencatan senjata. Adakah mereka juga takut dengan ugutan Netanyahu?
Bahkan Netanyahu dengan bongkaknya menolak sebarang pemintaan mahupun tekanan. Katanya kepada CNN, jika Isreal tidak menghentikan Hamas, ia akan datang ke Paris dan New York.
Dalam temubual terbaharu dengan wartawan CNN, Netanyahu memberitahu Dana Bash bahawa Israel melakukan sesuatu yang menyamai penentangan ke atas Nazi di Perancis dan Jerman, sudah tentu orang awam akan terbunuh – wartawan Bash menerima jawapan tersebut.
Memandangkan jumlah penduduk Palestin yang terbunuh meningkat melepasi 11,000 termasuk 4,500 kanak-kanak nampaknya regim akan meneruskan serangan dan pembunuhan genosidal mereka ke atas orang awam di Gaza.
Barat terus menyokong tindakan genosid Israel itu. Dalam hubungan ini AS, Britain dan negara sekutu Barat telah melakukan genosid kemanusiaan ke atas diri mereka sendiri.
Dalam obsesi ini mereka sekadar menjadi khalayak berpeluk tubuh menonton pembununan genosid ke atas penduduk Gaza melalui wahana media sosial atau media penyiaran, mereka sepenuhnya telah melakukan genosid kemanusiaan yang mematikan kesedaran diri mereka sendiri.
Jika Barat begitu prihatin dengan serangan Russia ke atas Ukraine dan mengutuk pembunuhan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan tentera Russia ke atas penduduk awamnya, tetapi secara tiba-tiba nilai kemanusiaan itu telah pupus dan hilang dari dalam diri mereka apabila Israel melakukan pembunuhan kejam di Gaza.
Ternyata Barat memilih bulu mengamalkan dasar apartheid dan tidak berkata apa-apa apabila serangan pembersihan etnik dilakukan.
Apa dipaparkan sekarang adalah pentas kekejaman penuh keganasan, kebuasan, keangkuhan, kebongkakan, kebencian, kemarahan, kebengisan, ketidakacuhan dan obsesi mendalam Barat terhadap pembunuhan genosidal di Gaza.
Kemaruk Barat dengan keserakahan genosid tentera Israel yang membunuh penduduk Gaza telah menjelma menjadi sebuah ekstasi kekerasan dan kehancuran.
Tindakan ini seolah-olah berlatar belakang keserakahan mereka dalam genosid ke atas masyarakat India Merah ketika mereka menjajahi dunia baharu di benua Amerika, siri pembunuhan kejam ke atas umat Islam, penjajahan ke atas Iraq dan Afghanistan dan melalui filem-filem aksi penuh keganasan itu.
Ekstasi dapat ditakrifkan sebagai suatu keadaan mental yang mencapai situasi puncak apabila jiwa secara tiba-tiba naik menuju kemuncak yang jauh melampaui keadaan normal dalam mencapai obses, kemaruk dan keserakahan. Ini yang sedang dialami Barat terutamanya kalangan elitnya dan Israel sekarang!
Bencana ini adalah genosid kemanusiaan bagi Barat, di mana segala elemen damai, ketenangan, keamanan telah hancur dan pupus.
Bagi Barat dan rejim Zionis Israel jumlah kematian itu tidak lebih daripada angka statistikal dan dipertikaikan Presiden AS Joe Biden tentang kesahihan jumlah kematian penduduk Gaza.
Segala pembunuhan dan kematian genosid itu dianggap sebagai sesuatu yang banaliti atau kelaziman bukan sesuatu yang patut dihentikan, dosa kemanusiaan dan tanpa rasa perlu rasa bersalah.
Masihkah kita hendak berguru dengan Barat?
Penulis adalah pembaca Apa Khabar TV





Leave a Reply