Oleh Muhammad Ameer Danish bin Muhamad Zaini

TINDAKAN masyarakat memboikot barangan keluaran syarikat sesebuah negara tertentu merupakan salah satu cara untuk menyatakan reaksi terhadap isu-isu yang mereka perjuangkan.

Umat Islam menjadikan tindakan memboikot sebagai salah satu strategi bagi menyatakan bantahan terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti mereka seperti bantahan mereka terhadap insiden membakar kitab suci al-Quran di Stockholm dan keganasan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.

Sejak tercetus peperangan Palestin-Israel, media sosial dibanjiri dengan senarai jenama dan syarikat yang didakwa menyokong dan membantu Israel dengan tujuan untuk memboikot mereka.

Penulisan ini bukanlah ingin menyentuh berkenaan produk atau barangan mana yang perlu diboikot tetapi ingin menjelaskan etika yang perlu dimiliki untuk melaksanakan boikot.

Pertama, memastikan status barangan yang hendak diboikot. Adalah menjadi suatu kepentingan untuk memastikan bahawa sebarang boikot berasaskan maklumat yang sah dan benar. Memboikot sesuatu tanpa fakta yang kukuh boleh merosakkan reputasi secara tidak adil.

Langkah yang perlu dibuat adalah berusaha untuk membuktikan terlebih dulu akan salah laku pihak terbabit sebelum keputusan memboikot produk dilakukan kerana kita khuatir ia adalah fitnah bertujuan menjatuhkan pihak tertentu.

Kedua, indakan boikot yang hendak dibuat perlu diiringi dengan strategi yang sesuai dan membina. Melaksanakan boikot dengan cara terburu-buru tanpa berfikir panjang akan merugikan umat Islam dalam banyak perkara. Kita juga perlu memikirkan alternatif terhadap barangan yang diboikot.

Pertimbangkan untuk membeli produk dan barangan tempatan. Ini dapat merancakkan ekonomi tempatan dan harga yang ditawarkan lebih berpatutan.

Ketiga, memelihara tutur kata dan tingkah laku. Tindakan memboikot perlu dilaksanakan dengan bijak dan beradab.

Antara perkara yang perlu dielakkan adalah tindakan mencaci atau menghina dengan menggunakan perkataan kesat dan keji kepada pemilik produk dan para pekerja yang berkerja di syarikat berkenaan.

Janganlah melakukan tindakan keganasan atau serangan peribadi terhadap pihak yang disenaraikan dalam boikot. Tingkahlaku buruk ini hanya akan mendatangkan kemudharatan dan mencemarkan imej individu berkenaan.

Keempat, hindari menuduh orang lain bersikap selektif dalam memboikot. Sebahagian netizen memperlekehkan masyarakat apabila melihat ramai yang memilih untuk memboikot barangan seperti produk Nestle dan McD, tetapi pada masa sama memilih untuk menggunakan platform media sosial yang lain seperti Facebook.

Kita sewajarnya sedar bahawa Nestle dan McD bukanlah suatu keperluan mendesak dalam kehidupan kita manakala aplikasi Facebook dapat digunakan sebagai medium penyebaran kesedaran memboikot dan perkongsian mengenai isu-isu semasa khususnya Perang Palestin-Israel.

Tindakan memperlekeh pihak lain hanya akan mencetuskan perbalahan dan pergaduhan dalam kalangan masyarakat.

Kelima, boikotlah berdasarkan kemampuan secara berperingkat dan tidak sehingga ke tahap menyusahkan kehidupan diri. Jika kita tidak mampu untuk memboikot kesemua produk Israel dan produk yang menyokong Israel, boikot satu barang pun sudah memadai.

Dalam hal ini masing-masing memainkan peranan dalam menentang tindakan Zionis.

Kesimpulannya, tindakan memboikot mana-mana perkhidmatan atau barangan perlu diiringi dengan ilmu dan akhlak setelah menimbangtara kesan baik dan buruk jangka pendek dan jangka panjang.

Boikotlah dengan akta dan bukti, bukan emosi dan persepsi. Individu yang memilih untuk memboikot seharusnya tidak mengecam orang yang tidak memboikot. Orang yang tidak turut serta dalam memboikot sewajarnya tidak meremehkan usaha untuk memboikot.

Hormati pilihan masing-masing.

Selain itu, usahakan untuk peroleh nasihat daripada ulama, mufti atau badan yang layak mengeluarkan fatwa berhubung isu semasa terutama isu boikot.

Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Universiti Malaya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading