PADA saat ini, jelas sekali skuad hoki remaja negara amat memerlukan sokongan padu penyokong di laman sendiri sebagai bekalan perjuangan apabila turun berentap Pakistan dalam perlawanan terakhir kumpulan Piala Sultan Johor (SOJC), malam ini (Selasa).

Sorakan bergema di Stadium Hoki Taman Daya di Johor Bahru boleh mengubah senario saingan ini selepas anak didik Muhamad Amin Rahim dipalit kecewa tewas dua perlawanan berturut-turut sebelum ini.

Apapun, keputusan saingan Kumpulan B ini tidak lagi bermakna kerana tiket ke separuh akhir sudah pun terlepas gara-gara tumpas kepada New Zealand 2-3 dan India 1-3 tempoh hari.

Andai kemenangan mampu dilakar atau seri ke atas Pakistan, malam ini, setidak-tidaknya ia boleh membantu skuad negara mencari tempat lebih baik dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-5 hingga 8 nanti.

Pemain skuad Young Tigers tiada pilihan kecuali bangkit mencari penawar duka dengan mengilhamkan keputusan positif yang boleh ‘menyuntik tonik baru’ menjelang cabaran lebih besar di kancah Piala Dunia Remaja (JWC) di Kuala Lumpur, Disember ini.

Di sini, setiap pemain harus menjelmakan perwatakan baik bagi menarik keyakinan peminat tempatan dan bukan mudah mengalah.

Sebagai tuan rumah kita tidak boleh undur begitu sahaja. Ini bukan caranya, melainkan tampil memberi cabaran sengit kepada lawan dengan fokus penuh sepanjang 60 minit permainan.

Erti gentar tidak harus wujud dalam minda pemain kerana tiada banyak bezanya antara kita dengan Pakistan dari segi kekuatan masing-masing. Cuma bekas jaguh Asia itu agak licik dalam permainan dan bijak menghidu peluang jaringan.

Perlawanan ini juga boleh dianggap satu misi membalas dendam selepas kita tewas 2-6 kepada Pakistan dalam Piala Remaja Asia di Oman, Mei lalu.

Pemain harus mengaut peluang terbaik ini untuk memulihkan maruah selepas menanggung keperitan dalam dua saingan kumpulan sebelum ini.

Biarlah kita melangkah ke Piala Dunia Remaja 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dengan penyudah terbaik di SOJC. Penyokong akan pasti bersama mengiringi cabaran pemain.

Ketua jurulatih, Muhamad Amin Rahim percaya pemain remaja negara boleh cipta kejutan tewaskan Pakistan, malam ini.

Amin Rahim selaku ketua jurulatih tidak melihat dua kekalahan awal harus menyentap cabaran pasukan mengilhamkan kemenangan atau pun sekurang-kurangnya keputusan seri.

Mesej ini jelas memberi gambaran betapa lakaran yang dibuat untuk perlawanan ini adalah untuk memburu kemenangan walaupun akur Pakistan bermain baik ketika ini.

Dia percaya satu persembahan mantap boleh mengubah situasi permainan untuk memihak cabaran Young Tigers.

“Saya puji sikap dan semangat pemain pada dua perlawanan lalu.

“Kami terima hakikat Pakistan sebuah pasukan kuat tetapi apa saja boleh berlaku. Saya mahu menang atau pun sekurang-kurangnya dapat merampas satu mata,” kata Amin.

Pengendali itu yang juga bekas pakar pukulan sudut penalti skuad senior negara berkata kecederaan pada ketua pasukan, Faris Harizan dan tonggak pertahanan, Wan Najmie Ahmad Dzaib ketika menentang India sudah menjejaskan rentak permainan pada suku terakhir permainan.

Dia berharap tempoh rehat dua hari ini boleh membantu pemain bersedia secara mental dan fizikal bagi menghadapi cabaran Pakistan.

“Kita harus bersikap optimistik pada setiap perlawanan. Di sini kami harus lebih banyak mencari elemen positif daripada negatif,” katanya yang pernah membimbing skuad negara muncul juara Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 di Bangkok.

Sementara itu, peminat tempatan disajikan dengan aksi klasik dua pasukan gergasi – Jerman dan Australia yang menonjolkan kekuatan masing-masing sebelum seri 2-2 dalam saingan Kumplan A.

Dua pasukan elit ini juga adalah barisan pilihan di pentas saingan Piala Dunia Remaja di Kuala Lumpur pada 5 sehingga 16 Disember ini.

Juara remaja Asia, India menunjukkan belang mereka membelasah New Zealand 6-2 untuk mengungguli Kumpulan B.

Majulah sukan untuk negara!

KEPUTUSAN

INDIA……..6 N ZEALAND… 2

JERMAN…2 AUSTRALIA…2

BRITAIN….2 AFRIKA SELATAN…1

JADUAL HARI INI (31 Oktober)

Jerman mln Britain (4.05 ptg)

Australia mln Afrika Selatan (6.05 ptg)

MALAYSIA mln Pakistan (8.35 mlm)

(Nota: semua perlawanan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru)

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading