Oleh Dr Mohd Shahid Mohd Noh

KONFLIK peperangan adalah berita utama yang selalu mengisi ruang-ruang utama media-media massa sama ada yang berbentuk elektrok atau bercetak.

Sejak zaman pasca pandemik, konflik Nagorno-Karabakh yang hangat semula selepas beberapa dekad menjadi rebutan antara Azerbaijan dan Armenia, peperangan Russia-Ukraine yang telah berlanjutan lebih dari setahun dan tidak menunjukkan tanda-tanda perdamaian serta yang terkini konflik Palestin (Hamas)-Israel yang kembali panas pada 7 Oktober yang lepas dan masih belum menunjukkan tanda-tanda reda setakat ini.

Kos dan kerugian peperangan adalah perkara yang tertakluk di bawah urusan kerahsiaan bagi sesebuah negara yang terlibat dalam peperangan. Kebisaannya, negara-negara terlibat akan melaporkan jumlah kerugian dan kematian yang lebih sedikit bagi menutup kelemahan taktikal serta menjaga moral tentera serta rakyat.

Ia juga bertujuan bagi mengelakkan kritikan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap keputusan kerajaan untuk meneruskan kempen peperangan tersebut.

Sebagai contoh, menurut Institut Watson untuk Hubungan Awam dan Antarabangsa, Universiti Brown kerajaan Amerika telah menghabiskan sebanyak AS$S2.3 trilion bagi kempen peperangan di Afghanistan bermula tahun 2001 hingga 2022 yang menyaksikan negara Uncle Sam tersebut telah pergi meninggalkan kesemua aset ketenteraannya begitu sahaja.

Kos tersebut melebihi daripada bajet bagi tahun 2023 Amerika yang hanya berjumlah AS$1.7 trilion. Jumlah tersebut adalah terlalu besar untuk dihabiskan bagi satu projek atau kempen yang tidak mendatangkan sebarang keuntungan dan kebaikan kepada Amerika bahkan ia disifatkan gagal bagi Catherine Lutz, pengarah bagi kajian kos peperangan dari Universiti Brown.

Ringkasnya, sesuatu peperangan yang berlanjutan itu sememangnya menelan belanja yang besar yang sewajarnya boleh digunakan kepada pembangunan atau pengurusan yang lebih produktif.

Palestin: Perjuangan hak yang berterusan

Sejak pengumuman penubuhan negara haram Israel pada 14 Mei 1948, wilayah tersebut telah menyaksikan puluhan bahkan ratusan konflik dan pertempuran berdarah yang menjadikan penduduk Palestin sebagai mangsa dalam tempoh yang panjang.

Peristiwa buruk ini bukanlah satu perkara baharu sebaliknya ia merupakan antara berita yang sentiasa mendapat liputan dan perhatian utama dari segenap dunia.

Mengikut data yang dikeluarkan oleh OCHA, pertempuran antara Israel dan Palestin ini telah mengorbankan seramai 6,159 warga Palestin berbanding hanya 94 warga Israel pada tahun 2022.

Perbezaan besar angka-angka mangsa yang terkorban antara kedua-dua negara ini merupakan satu indikator yang menunjukkan betapa besarnya impak peperangan yang dihadapi oleh negara Palestin dari segi kehilangan rakyat. Malah, jika dianalisis lagi, pertempuran ini juga mengakibatkan sejumlah 2,211 kecederaan kepada warga Palestin dan 439 warga Israel.

Melihat kepada angka-angka ini menunjukkan bahawa keganasan dan kerakusan yang dilakukan oleh negara Israel dalam merampas dan menawan tanah air negara Palestin sejak 75 tahun yang lalu telah memberi banyak impak negatif dari segi kehilangan nyawa, harta dan negara.

Laporan-laporan dari media Barat yang bertindak berat sebelah dalam mengecam tindakan negara Palestin mempertahankan negara mereka merupakan satu perkara yang tidak sewajarnya melihat kepada kesan yang dialami dan data-data yang dikeluarkan oleh OCHA.

Oleh itu, peperangan yang berlanjutan sehingga sekarang ini dijangka akan meragut lebih banyak nyawa manusia yang tidak berdosa jika tidak dihentikan dengan segera.

Agama dan tanah air lebih mahal berbanding harta dan nyawa

Konflik Hamas dan Zionis telah masul minggu yang kedua. Konflik peperangan dan kemanusiaan semakin memuncak di mana bukan sahaja nyawa rakyat Palestin di kalangan kanak-kanak, orang tua dan wanita telah terkorban, kesinambungan hidup mereka yang dipaksa untuk meninggalkan kampung mereka juga terancam.

Di kala ini juga pihak Zionis juga telah menyekat dan memutuskan bekalan air dan elektrik dari disalurkan ke bahagian Gaza sekali gus menjadikan hampir 2 juta rakyat di Semenanjung Gaza berada dalam kesempitan peperangan dan kehidupan.

Dalam keadaan yang begitu getir ini, pelbagai senario dan situasi boleh berlaku. Pengeboman, krisis air dan tenaga, kerana makanan, kekurangan kemudahan kesihatan dan lainnya. Merujuk kepada ucapan Pesuruhjaya Tinggi Bantuan dan Agensi Kerja bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengatakan Gaza sedang berada di ambang krisis air dan krisis kemanusiaan.

Sejak bermulanya konflik pada 7 Oktober yang lepas, hampir 3,000 nyawa penduduk Palestin telah terkorban serta lebih 10,000 lain telah pun cedera akibat serangan Zionis yang sememang menyasarkan penempatan awam, hospital, masjid dan lainnya.

Sekali imbas, pasti peristiwa ini bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada rakyatnya dari segi emosi, juga ekonomi dan keamanan juga akan tergugat.

Bagaimanapun, sebagai rakyat yang sememangnya dilahirkan dalam suasana konflik bersama puak ZIonis, rakyat Palestin dilihat lebih bersemangat, tidak luntur keyakinan mereka kepada Allah SWT serta bersangka baik dengan bantua Allah SWT akan tiba pada masa yang dijanjikan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah:

Ketahuilah bahawa kemenangan Allah SWT itu amatlah hampir”.

Sekalipun dihujani peluru dan bom, dikelilingi dengan ratapan dan tangisan kematian orang yang tersayang ternyata cinta mereka terhadap Islam dan tanah air lebih mahal berbanding nyawa dan harta benda.

Di kala konflik dalaman berlaku di kalangan rakyat Israel dan pemimpin mereka yang menampilkan sifat penakut mereka yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah al-Hasyr ayat 14:

… permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka)…

Di manakah slogan hak asasi manusia yang diperjuangkan Barat?

Serangan berdarah atau siri pembantaian terhadap rakyat Palestin bukanlah perkara baharu dalam senario politik dunia.

Setiap kali rakyat Palestin diperlakukan secara kejam oleh Zionis, ia akan disambut dengan nada bersahaja terutama negara-negara Barat seperti Amerika, Perancis dan England.

Bukankah negara-negara itulah yang banyak memperjuangkan hak asasi manusia, perlindungan kepada haiwan, pemeliharaan alam sekitar sehinggakan kepada kempen kesamaan jantian.

Tetapi apabila umat Islam Palestin diperlakukan diratah dan dihalang hak asasi mereka untuk mempertahankan tanah air mereka, mendapat tenaga dan air yang sempurna, mereka senyap seribu bahasa.

Adakah ini kemajuan yang diagungkan oleh mereka serta yang diikuti oleh negara-negara menbangun yang lain?

Fenomena seperti ini adalah permainan biasa bagi negara-negara Barat yang banyak mendominasi keputusan besar dalam mencorak gerakan dan trend politik dunia.

Namun, adakah umat Islam yang mewakili hampir 25 peratus penduduk dunia hanya melihat kesemua kisah duka yang dialami oleh penduduk Palestin yang telah bermula sejak tahun 1948 lagi?

Di manakah fungsi dan peranan Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islamn (OIC) dan juga Liga Arab yang sewajarnya lebih berani dan proaktif dalam hal yang melibatkan keamanan sejagat.

Mudah-mudahan Allah SWT akan memberikan kemenangan dan bantuan kepada rakyat Palestin dalam perjuangan mereka sekaligus membebaskan bumi al-Quds yang mulia daripada kekotoran penjenayah dan penjajahan Zionis.

Penulis merupakan Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di shahid82@um.edu.my

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading