
Selatan Thailand – Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Satun – menjadi destinasi utama rakyat Malaysia untuk beriadah bersama keluarga atau rakan, terutama pasa musim cuti sekolah atau cuti umum.
Tidak ketinggalan ada yang melakukan perjalanan, terutama dengan memandu sendiri kereta atau motosikal, untuk bertugas di sekitar lima wilayah berkenaan.
Perjalanan dengan kenderaan persendirian di Thailand memberikan anda kebebasan bergerak yang luar biasa. Berbanding dengan lawatan menggunakan pengangkutan awam, walaupun kosnya lebih murah berbanding harga satu liter minyak petrol di Negara Gajah Putih itu.
Demikian juga penulis yang memandu Proton Exora Turbo Bold di sekitar tiga wilayah di Selatan Thailand, khususnya di Narathiwat, Yala dan Pattani.
Namun, penulis mengalami satu pengalaman baharu ketika di Selatan Thailand baru-baru ini.





Komponen turbo alami kerosakan teruk dan perlu diganti satu set – batang kipas kecil dalam komponen turbo patah. Ketika kejadian, penulis berada di atas bas untuk ke Bangkok dari Narathiwat – 1,158.3 kilometer (km).
Kereta, penulis tinggalkan kepada salah seorang anak saudara sepupu di Narathiwat setelah dia menghantar penulis ke stesen bas Narathiwat untuk ke Bangkok.
Kira-kira 30 minit bas bergerak, penulis diberitahu kereta alami kerosakan di tepi jalan. Enjin mati tiba-tiba, tak boleh dihidupkan dan terpaksa ditarik ke bengkel berdekatan.
Terdapat banyak mekanik dan pusat servis kereta di Thailand. Namun, ada dua isu yang menjadi masalah utama bagi kenderaan buatan Malaysia, khususnya jenama Proton.
- Kebanyakan mekanik di Thailand tidak popular dengan Proton; dan
- Kesukaran mendapatkan alat ganti.
Penulis berasa bertuah kerana diberitahu bahawa mekanik di bengkel berkenaan mempunyai pengetahuan berkaitan kereta Proton.
Setelah pemeriksaan dilakukan, penulis diberitahu bahawa batang kipas kecil dalam komponen turbo telah patah dan perlu diganti – bukan ganti batang dan kipas, sebaliknya satu set komponen turbo.
Buat sementara, penulis tidak dapat melakukan apa-apa kerana dalam perjalanan melakukan tugasan di Nakhorn Ratchasima (Korat) kira-kira 259 kilometer dari Bangkok – di timur laut Thailand.
Namun, penulis masih boleh berhubung dengan mekanik Proton di Shah Alam, Selangor, untuk bertanyakan mengenai kerosakan yang dialami, dan dia mengesahkan masalah terhadap komponen turbo dan perlu diganti.
Dipendekkan cerita, sekembali dari Nakhorn Ratchasima satu lagi masalah timbul.
Penulis diberitahu bahawa tidak ada komponen turbo Proton Exora dijual di sekitar Narathiwat, Yala atau Pattani, kecuali di Hat Yai (220.2km atau 3 jam 30 minit memandu dari Narathiwat) atau di Satun (4 jam56 minit memandu dari Narathiwat atau 315.4km). Itupun harganya lebih mahal.
Wilayah Narathiwat terletak bersempadan Kelantan. Justeru, penulis berpendapat adalah lebih baik menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand untuk membeli alat ganti kenderaan.
Sambil membawa komponen turbo Exora yang rosak (berat hampir 10 kilogram), penulis keluar ke Malaysia melalui pintu sempadan Tak Bai-Pengkalan Kubur dengan menaiki bot melintasi Sungai Golok. Tambang sehala RM3.
Cop pasport Imigresen Thailand dan Malaysia sebelum melalui kastam kita. Di tempat pemeriksaan kastam, penulis menunjukkan set turbo yang rosak sambil menceritakan apa yang berlaku terhadap kereta yang kini berada di Thailand.
Penulis berbuat demikian kerana bimbang dikatakan menyeludup barang Thailand ke Malaysia. Alhamdulillah, pegawai kastam yang bertugas memahaminya.
Di pekan Pengkalan Kubur penulis bertanya beberapa orang mengenai kedai alat ganti, khususnya set turbo Exora, tetapi diberitahu bahawa komponen itu hanya ada di Kota Bharu.
Penulis menyewa sebuah teksi dengan bayaran RM60 ke Kota Bharu (kira-kira 60 kilometer) sambil pemandunya membawa ke beberapa kedai alat ganti.
Ada beberapa kedai menyatakan mereka menjual set turbo itu dengan harga kira-kira RM2,800 tetapi barang berkenaan hanya akan tiba beberapa hari lagi, kerana kebetulan berlaku mogok dalam kalangan pemandu lori di seluruh negara.
Ada beberapa kedai yang mempunyai set turbo itu, tetapi harganya melebihi RM3,300.
Penulis kemudian membelinya dan mencari hotel untuk bermalam, kerana mengikut peraturan Imigresen, mana-mana pihak tidak boleh keluar dari Malaysia sama hari dengan masuk.
Selesai semua urusan, penulis kembali ke Thailand melalui pintu sempadan Pengkalan Kubur-Tak Bai, juga dengan menaiki bot melintasi Sungai Golok.
Sehari kemudian penulis menghantar set turbo baharu itu ke bengkel Din di Buke Su Do (terletak di hadapan Sekolah Buke Su Do) di daerah Bacho, Narathiwat.

Penulis diberitahu bahawa batang kipas dalam komponen turbo itu patah disebabkan paip bersambung dengan penyejuk turbo tersumbat, menyebabkan minyak tidak dapat mengalir melaluinya.
Setelah dipasang semula, alhamdulillah, kereta penulis dapat dihidupkan dan bergerak lancar seperti biasa.
Semoga artikel ini dapat memberi manfaat kepada pembaca, khususnya pemilik Proton yang memandu di sekitar Selatan Thailand, sekiranya kenderaan mereka mengalami kerosakan.





Leave a Reply