
Liputan Media arus perdana Barat yang ternyata berat sebelah melampau dan menunjukkan kehilangan objektivitinya dalam pelaporan isu perang Palestin-Israel memerlukan kita melakukan anjakan paradigma ke arah media multipolar.
Instituisi media Dunia Islam dan khalayaknya sepatutnya arif dan sudah mengetahui akan kecondongan media arus perdana Barat yang sebahagian besar dikuasai oleh oligarki Yahudi Zionis.
Di manakah tanggungjawab kemanusiaannya media arus perdana Barat dalam liputan mereka apabila tidak sedikit pun prihatin ke atas keadaan penduduk Palestin yang sedang berhadapan dengan pembersihan etnik dan ancaman genosid oleh serangan regim pengganas Israel?
Dalam serangan regim pengganas ke atas Hospital Al Ahli sehingga mengorbankan 500 nyawa media Barat beranggapan ia sebagai tersalah tembak oleh roket Jihad Islam. Di mana ketajaman fikiran dalam menilai sumber sesebuah berita? Editor-editor sudah menjadi bodohkah?
Kenyataan lepas serangan ke atas hospital yang dibuat oleh Menteri Keselamatan Nasional, Itamar Ben Gvir yang mendakwa “Selagi Hamas tidak membebaskan tawanan perang, – salah satu cara yang untuk memasuki Gaza ialah menghantar ratusan tan letupan dari udara, tidak seinci pun bantuan kemanusiaan.”
Hanaya Naftali, salah seorang pegawai yang bekerja dengan pasukan digital Perdana Menteri Zionis Yahudi, Benjamin Netanyahu dalam hantaran berita di X berkata:
Tentera Udara Israel telah menyerang pangkalan pengganas Hamas di bawah hospital di Gaza.”
Namun hantaran itu dipadam dengan cepat selepas menyedari 500 kematian daripada serangan tersebut.
Kenapa mereka memadamnya kerana mereka tahu akan dihujani dengan jutaan kecaman, kutukan dan kritikan dalam perang propaganda yang sedang dijalankan media Barat yang mewakili mereka.
Sikap berat sebelah melampau Media Barat didedahkan apabila akhbar dan saluran televisyennya menyiarkan berita palsu bahawa pejuang Hamas memancung 40 orang kanak-kanak semasa serangan mengejut pada 7 Oktober lepas.
Dengan tidak dipastikan kesahihannya, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden telah membuat kenyataan bahawa dia telah melihat gambar tersebut.
Apabila White House menafikan, sudah terbukti bahawa Biden sanggup menipu demi Isreal dan seolah-olah dia memberikan kredibiliti kepada media Barat dalam sesebuah pelaporan yang tidak terbukti kesahihan dan beritanya.
Sesuatu kesalahan serius dalam pelaporan media arus perdana Barat di mana yang benar diberitakan sebagai palsu, yang adil sebagai tidak adil, mereka yang diganasi diberitakan sebagai pengganas, adakah ini yang diajarkan silibus kewartawanan Barat di sekolah-sekolah kewartawan di negara ini?
Bahkan korpus pengajian kawartawanan Barat harus dibuang ke longkang kerana jika penulisan berita isu kemanusiaan Palestin tidak dihiraukan dan tidak dianggap penting apalah erti pembelajaran disiplin kewartawanan yang padat dengan nilai journalistik Barat itu!
Sudah terang lagi bersuluh, media Barat kawalan dan pemilikan Zionis Israel tidak mengamal praktik kewartawanan objektif yang diajarkan kepada kita. Bahkan mereka telah sampai ke titik mengamal pemberitaan tidak beretika sehingga mengelirukan fakta dan memanipulasi berita.
Apabila media negara kita membuat sesuatu laporan mengenai dalam negara di peringkat antarabangsa, mereka akan mengatakannya berat sebelah dan tidak objektif.
Seperti yang pernah berlaku dalam serangan AS ke atas Iraq, Media Barat telah membohongi dunia dengan menyatakan alasan dan sebab musabab mereka menyerang kerana hendak memusnahkan senjata pemusnah besar-besar (WMD) yang ada di Iraq.
Selepas Iraq ditakluki dan bekas Presidennya, Saddam Iraq dibunuh, tiada berita penemuan senjata pemusnah besar-besar atau berita pencarian WMD. Apa yang berlaku ialah media telah digunakan AS dan sekutunya sebagai senjata pembohongan besar-besaran atau Weapons of Mass Deceiver juga WMD.
Apa lagi yang kita boleh percayai dalam liputan media Barat mengenai Islam, dunia Islam dan umatnya?
Media arus perdana korporat Barat terus melaporkan serangan yang berlaku dengan implikasi berbau rasis diselaputi ketuanan kulit putih yang dibancuh dengan rempahan nilai kolonial yang pekat.
Terdapat dua perkara asas yang dapat dicerakinkan dalam perang Palestin-Israel di Gaza ini yang tidak diambil peduli oleh media Barat.
Pertama, konsep penentangan. Pejuang dan penduduk Palestin sedang mempertahankan diri mereka dalam menentang tindakan kekejaman dan keganasan kerajaan haram Israel yan terdiri daripada pencerobohan kesucian Masjid Al Aqsa, hukuman kolektif, layanan tidak berperikemanusiaan ke atas tahanan Palestin, perampasan tanah di Tebing Barat, dasar apartheid, penjajahan ke kawasan penduduk Palestin, pengembangan penempatan peneroka, mengawal sumber alam, kawalan pergerakan penduduk, pemeriksaan ketat keluar masuk, mengekang pembangunan, pengepungan dengan pagar dan tembok dan tekanan ekonomi.
Kedua, sesuatu yang amat genting untuk difahami ialah regim haram terlibat dalam keganasan struktural, pembersihan etnik dan sekarang menuju ke arah genosid.
Media Barat tidak ambil peduli dan memberi perhatian pun ke atas penjajahan selama 75 tahun yang dilakukan regim haram Israel.
Ketika di ambang genosid, pemotongan bekalan air, elektrik dan penyaluran semua bantuan disekat, media Barat pro regim pengganas masih bersikap tidak acuh bahkan masih mentakrifkan naratif perang sebagai menentang “pengganas” Palestin.
Khalayak pembaca tidak perlu mengehadkan bacaan kepada liputan media Barat yang menumpukan kepada serangan yang berlaku sejak 7 Oktober sahaja sebaliknya perlu memahaminya dalam kontek yang lebih luas.
Liputan media arus perdana Barat menyifatkan Hamas, Jihad Islam, Briged Jenin dan pejuang Palestin lain sebagai pertubuhan pengganas dan segala tindakan yang dilakukan regim adalah wajar atas alasan mempertahankan diri.
Bagi menjustifikasikan serangan balas, Media Barat dalam liputannya mengandaikan perang baru bermula disebabkan oleh Hamas menyerang penempatan mereka. Adakah sebelum ini ia sebagai konflik sahaja untuk mengasingkannya sebagai isu terpencil antara Palestin dan Israel sahaja.
Bahkan liputan media Barat menyebut pejuangan warga Palestin sebagai semata-mata jahat.
Beberapa media terkenal lain merujuk mangsa yang terkorban di Gaza sebagai meninggal dunia, tetapi mengubah kepada ‘dibunuh’ apabila membabitkan kematian penduduk di Israel.
Lebih buruk lagi media Barat mengkategorikan warga Palestin sebagai bukan manusia, sebaliknya sebagai “manusia haiwan”.
Serangan 7 Oktober 2023 sudah membawa naratif baharu dalam liputan berita, penulisan sudut pandangan, editorial, lakaran grafik, penulisan rencana, karikatur dan pojok bahawa ia bukan lagi tentang penyelesaian dua negara kerana ia hanya candu untuk kenikmatan sementara tetapi naratifnya baharu yang harus ditekankan adalah perang dan perjuangan pembebasan!
Kebimbangan pencerobohan darat secara besar-besaran ke atas Gaza semakin meningkat apabila Israel berikrar menjadikan kawasan Palestin yang terkepung itu sebagai padang jarak padang tekukur berikutan serangan roket Hamas.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Natanyahu turut memberi bayangan seolah-olah Gaza berkemungkinan akan lenyap dari muka bumi Palestin selepas ini.
Jumlah kematian di Gaza dan wilayah Israel tidak mustahil boleh mencecah ribuan mangsa sekiranya konflik masih berterusan dan tiada gencatan senjata dipersetujui.

Sudah sampai masanya dunia dan khalayak antarabangsa menuju ke arah media multipolar dengan menyahkan media unipolar yang dikuasai negara kuasa besar Barat seperti AS, Britain dan Peranchis.
Jika dalam politik dan perhubungan antarabangsa, AS kini berhadapan dengan kuasa besar China dan Russia dalam dunia yang bergerak dari unipolar (adikuasa tunggal Amerika) kepada multipolar, begitu juga dalam media, pillihan ke arah kesimbangan panyaluran maklumat sebagai suatu kemestian, Perkembangan teknologi digital media membolehkan khalayak tidak bergantung kepada maklumat dari media Barat sahaja.
Dalam liputan luar negara instituisi media nasional tidak perlu didominasi oleh Reuters sahaja, ia perlukan diimbangi oleh rangkaian berita antarabangsa daripada kuasa media multipolar seperti negara anggota BRIC (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan serta negara anggota baharunya seperti Iran, Arab Saudi, Mesir, Ethiopia, Argentina dan Emiriah Arab Bersatu.
BRICS dan beberapa negara membangun lain seperti Malaysia, Qatar, Turkiye, dan Indonesia boleh sahaja bermesyurat merundingi pembentukan rangkaian media multipolar.
Terdapat banyak media dalam talian yang berpengaruh seperti dari China dengan Global Times dan China Global Television Network, Russia dengan Sputnik news dan Russia Today, media-media bebas seperti Middle East Monitor, Middle East Eye, The Cradle, Third World Network antara beberapanya, sudah cukup untuk mencabar kewibawaan media Barat dalam liputan mengenai perang Palestin-Israel umpamanya.
Khalayak boleh membuat pilihan dan perbandingan liputan berita dengan media Barat arus perdana seperti CNN, BBC dan Financial Times dan World Street Journal umpamanya.
Seperti inisiatif Satu Jalur Satu Jalan, Perjanjian Berbilang Hala Perdagangan Iran-Asia Tengah, inisiatif keselamatan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), Kerjasama Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) sebagai saingan dan pilihan kepada APEC (Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik), suatu persidangan inisiatif Orde pembentukan media multipolar boleh dianjurkan oleh negara anggota BRICS membicarakan kolonisasi, dominasi dan hegemoni media barat dalam pemberitaan dan visualnya.
Perkembangan teknologi digital sekarang sudah menyahpusatkan dominasi dan hegemoni media arus perdana Barat dan perang Palestin-Isreal harus memuktamadkan penguasaan ini.
Seperti A Jazeera, Agensi berita Turkiye Anadolu juga berpengaruh dalam memberikan liputan berita antarabangsa.
Malaysia boleh sahaja menjalankan kerjasama secara rasmi dengan agensi berita Anadolu dan membentuk pakatan berita Multipolar. Pada Oktober 2017, agensi berita Anadolu telah membuka pejabatnya di Kuala Lumpur.
Bahkan baru-baru ini kaukus Palestin Parlimen Malaysia menggesa supaya media tempatan tidak terikut-ikut membawa naratif pelaporan berat sebelah media barat dan media luar dalam melaporkan perkembangan krisis di Semenanjung Gaza, Palestin.
Ketua Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya mengikuti rapat perkembangan terkait keadaan keselamatan dan keamanan di Semenanjung Gaza, Palestin, yang memperlihat angka korban semakin meningkat.
“Kami ingin menggesa agar pihak media tempatan untuk tidak terikut membawa naratif berat sebelah media barat dan media luar dalam melaporkan perkembangan krisis di Gaza sekarang,” katanya.
Penulis adalah pembaca Apa Khabar TV.






Leave a Reply