Fakta sejarah

Pesawat pengebom RAF B24 Liberator KL654/R berlepas dari Cocos Islands, Australia dalam misi sulit di kawasan Hutan Langkap, Kuala Pilah sebelum terhempas atas faktor yang tidak dapat dikenal pasti pada 23 Ogos 1945 dan mengorbankan kesemua enam krewnya.

Selama beberapa dekad pesawat tersebut terdampar di situ. Hingga 2009 baharu ditemui. Sukarelawan dari Malaysia dan British bekerjasama untuk mengumpul tulang, tag nama dan barang peribadi mangsa.

Kini bangkai pesawat tersebut masih berada di gunung Telapak Buruk.

Untuk ke situ kita perlu sampai ke puncak Gunung Berumbun (1,014m) dahulu. Kemudian meneruskan perjalanan ke crash site di gunung Telapak Buruk.

Intipati XPDC

Pada 7/10/2023 sekumpulan pendaki dari grup Hikers Harimau Malaya telah mengadakan aktiviti pendakian di Gunung Berumbun dan Gunung Telapak Buruk.

Antara tujuan pendakian adalah untuk sampai ke crash site bagi mereka yang belum sampai ke situ.

Bermula dari loji air SAINS, pada jam 745 pagi kami menyusuri sebatang sungai hingga ke kawasan perkelahan Lata Berembun

Pendakian seterusnya, ke Gua Kambing. Pendakian agak santai. Ada landai, ada sikit daki dan melintasi beberapa anak sungai.

Tiba di Gua Kambing suasana ketika itu sungguh meriah.

Ada yang berehat, makan dan bergambar. Malah ada yang ambil peluang tambah pendapatan dengan menjual ais krim Malaysia. Sebatang RM3.00. Seratus batang habis dijual.

Di Gua Kambing terdapat beberapa pendaki membuat keputusan patah balik. Yang lain meneruskan pendakian seterusnya. Pada tahap ini pendakian lebih mencabar.

Mendaki cerun yang agak menegak, kecondongan mungkin dalam 70 darjah. Tali nilon diikat pada pokok-pokok bagi memudahkan pendakian.

Tiba di puncak Gunung Berumbun, telah ramai pendaki berehat. Ada yang makan dan ada yang bergambar kenangan.

Tidak ramai yang meneruskan perjalanan ke crash site di Gunung Telapak Buruk. Perjalanan ke situ memakan masa satu jam setengah. Di crash site pendaki perlu menuruni lereng yang curam sebelum sampai ke bangkai pesawat.

Bahagian pesawat bertaburan di lokasi. Satu sayap tersangkut di rabong permatang, manakala satu lagi bertabur di lereng bersama dengan badan utama, enjin dan tayar.

Sekeping aluminium yang tertera senarai nama mangsa terdapat di situ. Suasana ketika itu agak sayu. Tiada permandangan cantik untuk dinikmati. Hanya besi buruk tinggalan Perang Dunia Kedua.

Dengan sampainya di situ, maka tertunailah sudah hasrat untuk ke crash site Telapak Buruk.

Perjalanan pulang akan melalui laluan yang sama ketika datang.

Saya dan seorang lagi pendaki merupakan yang terakhir keluar. Lebih kurang 15 jam diperlukan untuk mengharung perjalanan sejauh lebih kurang 18 kilometer pergi balik.

Kami ditemani seorang malim. Rais namanya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading