
TANGGAL 7 Oktober 2023, pagar antara Gaza dan kekejaman rejim Zionis sejak 1948 roboh.
Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) bangkit membara pada pagi Sabtu itu sehingga melancarkan 5,000 hingga 7,000 roket ke atas wilayah selatan rejim haram dan menguasai pos kawalan serta tiga kawasan penempatan pendatang Yahudi.
Pagar yang memisahkan Semenanjung Gaza dari Israel menjadi tumpuan kepada konflik berpanjangan antara kedua pihak ini.

Di sepanjang pagar inilah 60 penduduk Palestin dibunuh dan ratusan cedera pada Mei 2018. Mereka mengadakan bantahan ke atas pagar yang dibina oleh pengganas Israel ini sehingga menjadikan Gaza bagaikan penjara.
Dalam demonstrasi itu, penduduk berkumpul di tepi pagar sebagai tanda protes, sesetengah membaling batu atau bom buatan sendiri. Bagi mengatasi masalah, tentera rejim haram menembak mereka dengan peluru hidup.
Pagar pertama Gaza-Israel dibina pada 1994 sebagai usaha mengawal pergerakan penduduk Palestin selepas menandatangi Perjanjian Olso – perjanjian yang bertujuan menamatkan konflik Israel-Palestin dengan matlamat kononnya mewujudkan sebuah negara bagi Palestin.
Walaupun kemudiannya rejim haram mengundurkan diri dari Gaza pada 2005, meninggalkan semua kawasan yang diduduki, tetapi mereka masih menguasai sempadan di utara dan timur Gaza – manakala Mesir menguasai Rafah yang bersempadan dengan Gaza dan rejim haram menguasai kawasan udara dan laut.
Semua penghantaran bahan makanan dan barang keperluan asas seperti minyak dan bantuan asing harus melepasi kawasan pemeriksaan Isreal.
Saya pernah ke Gaza pada 2014 dan melihat pagar itu dari jauh kerana faktor keselamatan dinasihat untuk tidak mendekatinya.
Tertanya juga mengenai kisah pagar ini yang memisahkan Gaza sepanjang 40 meter jauh, lapan kilometer lebar di sepanjang pantai Mediterranean di mana lebih 2 juta penduduk Palestin tinggal.
Saya tertanya ketika itu adakah pembinaan pagar ini sah di sisi undang-undang dan diperakui sebagai sempadan antarabangsa antara Gaza dan rejim haram Israel. Dan bagaimanakah Israel menjustifikasikannya dengan menembak sesuka hati penduduk Palestin yang mendekati pagar tersebut?
Apabila saya bertanya salah seorang penduduk di situ, dia menceritakan terdapat dua jenis pagar yang dibina rejim pengganas ini.
Satu pagar dengan kawat duri di sekitar Gaza dan satu lagi ‘pagar pintar’ setinggi 3 meter tinggi bersama pengimbas pemantau di sepanjang laluan pemisah Israel dan Gaza.
Di samping itu terdapat zon penampan selebar 27 meter jarak di antaranya. Pihak rejim akan memberi amaran mana-mana penduduk Palestin tanpa pengesahan yang berada dalam zon itu akan ditembak.
Bukan sahaja pihak rejim, dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerajaan Mesir juga telah membataskan pergerakan barangan dan penduduk masuk dan keluar Gaza.
Kedua-dua negara telah mengenakan sekatan yang lebih ketat ke atas Gaza selepas Hamas memenangi pilihan raya Gaza lebih sedekad yang lalu.
Dengan pagar yang mengelilingi Gaza dan segala jenis sekatan dan batasan, tidakkan Gaza ini bagaikan sebuah penjara terbuka?
Pagar ini dilengkapi rangkaian kamera, sistem radar dan bilik-bilik kawalan yang canggih. Bayangkan sejumlah 140,000 tan besi dan keluli digunakan dalam pembinaan tembok bawah tanahnya yang mengambil masa tiga setengah tahun untuk disiapkan melibatkan kos AS$1.1 bilion.
Jika tidak silap saya inilah pertama kali rejim haram mengatakan mereka berada dalam situasi berperang atau ‘we are in a state of war’ dan mengisytiharkan perang ke atas Gaza. Jika tidak mereka sekadar melakukan serangan balas tanpa membuat perisytiharan perang.
Dunia harus ingat rejim haram ini telah menjalankan kekejaman dan kezaliman selama 70 tahun ke atas penduduk Palestin dan boleh dikatakan tanpa sehari pun tidak menghentikannya, apatah lagi dengan pagar dan tembok yang mengelilinginya, memenjarakan lebih dua juta penduduk Palestin di Gaza.
Tanggal 7 Oktober ini harus diingati sebagai robohnya pagar kezaliman dan kesengsaraan yang dialami penduduk Palestin.
Al-Qasam bukan sahaja meroboh pagar tersebut, tetapi menguasai pos kawalan di situ dan menawan tiga penempatan peneroka dan menahan sejumlah tentera dan orang awam.

Serangan Hamas juga merobohkan pagar kebongkakan Israel. Bagaimana Briged Al-Qassam dengan senjata Kalashnikov tanpa helmet perang atau jaket tentera kalis peluru dapat masuk ke wilayah Israel yang dikawal oleh sebuah negara keempat atau kelima terkuat di dunia dari persenjataan.
Ia adalah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan akan kelemahan dan kegagalan senjata penangkis Israel selain rejim Zionis itu dikatakan mempunyai pasukan perisikan paling cekap di dunia.
Di manakah dron dan kamera pemantauan Israel semasa serangan berlaku.
Seolah-olah semuanya lumpuh. Pagar Israel yang dikatakan dilengkapi rangkaian komunikasi pengintipan ke atas Gaza tentu mengetahui lebih awal jika berlaku sebarang rancangan serangan dan boleh mengelakkannya?
Serangan mengejutkan ini menunjukkan Hamas – organisasi yang mentadbir sebuah kerajaan di Gaza – tentunya mempunyai persenjataan tahap tinggi dan perancangan yang tersusun dalam mengatur serangan ke atas rejim haram Israel.
Memang cukup memalukan bagi Israel apabila Briged Al-Qasam melancarkan serangan darat, laut dan udara. Serangan Hamas ini membongkarkan kegagalan perisikan dan pertahanan ketenteraan Israel, sesuatu yang memalukan!
Keangkuhan rejim pengganas jatuh ke bumi dimalukan kerana seolah-olah tidak mampu mengawal nasib sendiri apabila negara haram itu dihujani ribuan roket yang dilancarkan dari Semenanjung Gaza.
Keupayaan Brigen Al-Qassam melanggar pagar tersebut dan mencabar mitos prasarana ketenteraan Israel yang kebal itu merupakan suatu kemenangan psikologi dan mental.
Tidak keterlaluan untuk dikatakan Operasi Banjir al-Aqsa, yang dilancarkan Hamas dalam serangan mengejut itu umpama tamparan hebat kepada Israel kerana skala pertempuran terbaharu itu tidak pernah disaksikan sejak 1948.
Dalam hubungan ini adakah sesiapa masih ingat dua tahun lalu seorang daripada enam pejuang Palestin yang berjaya melepaskan diri daripada penjara rejim haram dengan mengorek menggunakan sudu berkata:
“Kami ingin memberitahu dunia bahawa tiada apa yang dikatakan raksaksa ia hanyalah suatu ilusi bagaikan debu.”
Walaupun kita tahu rejim pengganas akan menyerang dengan muntahan bom bagaikan kedatangan ribut dan taufan, turunnya hujan peluru berpandunya ke atas Semenanjung Gaza yang kini mengalami serangan paling teruk dalam tempoh 15 tahun.
Serangan udara Israel ke atas Gaza bermula sejurus selepas serangan Hamas dan berterusan semalaman hingga sekarang, memusnahkan pejabat dan kem latihan kumpulan itu, bersama dengan rumah dan bangunan lain.
Serangan itu membunuh hampir 300 rakyat Palestin dalam masa 24 jam sahaja dan akan bertambah ketika artikel ini ditulis.

Rejim pengganas ini ibarat harimau luka mengamuk semahunya. Kisah pagar ini akan terus menghantui si Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sehingga ke akhir hayat.
Dunia harus ingat tarikh 7 Oktober. Ia menandakan titik bersejarah dalam naratif baharu Timur Tengah. Tidak keterlaluan untuk dikatakan era ketundukan, penyerahan dan normalisasi sudah berlalu dan segala kekuatan rejim pengganas hanya suatu delusi dan
mitos yang telah dirobohkan Hamas!
Penulis adalah pembaca Apa Khabar TV






Leave a Reply