SERBA salah rasanya andai mahu membuat satu rumusan terbaik, sama ada kontinjen negara ke Sukan Asia, baru-baru ini berjaya atau gagal.

Mungkin kedua-dua perkataan besar ini juga tidak tepat. Bolehkah kita sebut tuaian 6 pingat emas, 8 perak dan 18 gangsa di Hangzhou tidak menghampakan rakyat?

Apa yang jelas, peminat sukan tanah air tidak menunjukkan emosi – terlalu gembira atau pun terlalu sedih – sepanjang 16 hari menonton aksi 288 atlit kita bersaing dalam 20 acara sukan sejak 23 September lalu.

Pemain skuasy negara muncul penyumbang besar untuk kontinjen negara dengan 3 emas 1 perak dan 1 gangsa.

Mereka sudah lebih awal menerima hakikat bahawa sekitar itulah tahap kemampuan kontinjen negara.

Peminat atau pengkritik sudah membaca trend pencapaian pingat sejak 2010 (Guangzhou), 2014 (Incheon) dan 2018 (Jakarta-Palembang) yang hampir sama sahaja sekian lama.

Jangkaan sama juga tidak akan berubah apabila Jepun menjadi tuan rumah Sukan Asia 2026 di Nagoya- Aichi.

Apa pun, kita ucapkan tahniah ke atas sumbangan emas menerusi skuasy, pelayaran, karate dan ekuestrian pada edisi ke-19 di Hangzhou.

Mereka menempuh cabaran di temasya sukan terbesar benua dengan mencurahkan segala keringat serta pengorbanan besar. Ia perlu dihargai. Begitu juga pemenang 8 perak dan 18 gangsa yang bangga dapat naik ke podium melihat Jalur Gemilang.

Syabas kepada sifat yakin serta mentaliti kuat milik S Sivasangari, Ng Eain Yow dan pasukan wanita (Aifa Azman, Aira Azman, Rachel Arnold dan Sivasangari) yang membutirkan 3 emas untuk kontinjen.

Tiga lagi gah menyusul daripada atlit veteran, Qabil Ambak dalam acara dressage (ekuestrian), Nur Shazrin Latif (pelayaran) dan Muhammad Arif Afifuddin Ab Malek (karate).

Qabil, Shazrin dan Muhammad Arif juga boleh dipertimbangkan untuk Program Road To Glory (RTG) bagi misi Sukan Olimpik 2024.

Sukan Asia disebut mini Olimpik dan hakikatnya ketiga-tiga pemenang emas ini boleh layak atas merit untuk menerima bantuan latihan dan kewangan bagi meningkatkan prestasi tertinggi ke Paris.

Mungkin mereka boleh diberi slot menggantikan atlit atau pasukan yang gagal di Hangzhou?

Skuasy terlepas peluang ini kerana acara ini belum lagi dipertandingkan di Olimpik.

Kepada atlit yang gagal memenangi sebarang pingat, ini bukan saat untuk kecewa tapi bangkit membuktikan nilai masing-masing untuk mengejar impian peribadi.

Cuma, penulis terpanggil untuk bertanya kenapa pegawai atasan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Chong Kim Fatt perlu memberi penjelasan atau pun kenyataan yang agak kurang relevan.

Alasan seperti diutarakan pada edisi kali ini tidak perlu lagi kerana hakikatnya dalam sukan antarabangsa apa yang amat penting adalah keputusan dirakamkan di atas gelanggang – bukan macam-macam statistik atau angka diberikan untuk mempertahankan kegagalan.

Umpamanya, Pengarah Bahagian Atlit MSN, Jefri Ngadirin masih mengulangi pungutan pingat mampu ditambah tetapi katanya, kita sudah kehilangan 12 daripadanya kerana acara silat, bowling tidak dipertandingkan kali ini.

Fakta ini pernah diutarakan sebelum kontinjen berlepas ke China. Mungkin dia mahu mengingatkan rakyat Malaysia. Tapi, apakah kenyataan seumpama itu akan diulangi andai pungutan kita melebihi 10 emas?

Qabil Ambak menang emas acara dressage dalam sukan  ekuestrian.

Beliau juga berkata kita kurang satu emas berbanding tujuh di Jakarta-Palembang, lima tahun lalu. Ia mungkin merujuk kepada ketiadaan jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang tercedera dan menarik diri.

Beberapa kegagalan meraih pingat juga ditampung dengan fakta 13 sukan menyumbang pingat di Hangzhou berbanding 12 di Jakarta-Palembang. Katanya, ia satu kemajuan baik.

Lagipun, peminat sukan sudah lebih memahami situasinya tanpa memerlukan penjelasan. Ada kalanya beberapa fakta dan statistik dijelaskan juga kurang difahami atau mengelirukan.

Ketua Kontinjen, Datuk Chong pula cuba membandingkan saiz kontinjen di Hangzhou dengan Jakarta-Palembang bagi memberikan satu gambaran baik walaupun kita kurang satu emas kali ini.

Katanya bagi edisi 2023, sejumlah 288 atlit beraksi dalam 22 sukan daripada jumlah 40 manakala pada 2018 Malaysia menghantar 417 atlit bertanding dalam 28 sukan.

Angka dan statistik seperti ini tidak dapat bantu apa-apa kerana peminat sebagai pembayar cukai lebih gemar mahu melihat kemajuan dalam mengejar emas untuk menandingi negara lain dari segi carta kedudukan pingat.

Sementara itu, pada tanggapan penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli, setiap kali penyertaan kita di Asiad bukan mengukur prestasi atau keupayaan kontinjen negara.

Sebaliknya pentas berkenaan adalah bagi tujuan menguji atlit negara dan melihat pada tahap mana mereka berada di kalangan negara serantau seperti Thailand, Indonesia atau Vietnam. Begitu juga di Asia untuk memantau prestasi mereka bagi persiapan ke Sukan Olimpik.

“Pencapaian serta tahap atlit di Asiad dapat memberi petanda mereka sudah bersedia dan boleh diharapkan untuk memburu pingat di Olimpik.

“Indikatornya mudah iaitu jika di Sukan Asia pun mereka gagal menjelmakan aksi terbaik atau pun tidak menang pingat ia bererti macam mana mereka mahu naik ke podium di Sukan Olimpik,” kata Pekan ketika ditemubual oleh Apa Khabar TV, semalam.

Jaguh baru karate negara, Muhamad Arif bersama keluarga ketika pulang dari Hangzhou, semalam.

Beliau menambah kita juga sibuk membicarakan mengenai pencapaian kontinjen secara keseluruhan dengan pelbagai alasan dan mekanisma pengukur pencapaian yang digunakan.

Pada penilaiannya sejak empat temasya lalu di Guangzhou (2010), Incheon (2014), Jakarta-Palembang (2018) dan terkini di Hangzhou, pencapaian kita sama sahaja.

“Penyelamat kita masih lagi pada sukan skuasy yang mampu menyumbang 2 atau 3 emas. Sesekali bowling menjadi penyumbang besar seperti di Palembang.

“Bayangkan tanpa kedua-dua sukan ini. Kita pasti bergelut dan hanya pulang dengan kutipan pingat emas kejutan dari acara luar jangkaan. Tambah perit, kita mungkin pulang hanya dengan satu, dua atau tiga emas saja.

“Pencapaian kita di Hangzhou nampak biasa-biasa saja dan tiada apa perlu dibanggakan sangat dengan pelbagai fakta mengenai mekanisma baru atau nisbah jumlah pingat dengan jumlah kontinjen, umpamanya. Mungkin pencapaian ini secara kebetulan saja,” katanya.

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli.

Peminat pun dah mula muak dengan penyampaian jalan cerita kegagalan atlit di pentas antarabangsa oleh pegawai kontinjen atau pun MSN.

Bukankah awal-awal lagi kontinjen sudah meletakan sasaran 27 pingat dan bukan jumlah emas di Hangzhou. Emas diperoleh di sini boleh dianggap satu bonus besar.

Di Nagoya dan Sukan Olimpik 2024 di Paris pendekatan sama bakal diamalkan kerana terbukti atlit negara difahamkan tidak lagi menggalas tekanan berlebihan pada edisi kali ini.

Ia sudah pun disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang beranggapan formula baru ini dapat mengurangkan tekanan ke atas atlit negara di temasya sukan besar.

Tapi bagi Sukan SEA, kita belum dengar pendekatan sama akan diguna pakai. Harap-harap tidak kerana atlit harus belajar erti tekanan bermula dari temasya serantau ini sebelum melangkah ke pentas Asia atau dunia.

Biarlah kita sebagai keluarga sukan di tanah air kembali ke alam realiti dan buat apa yang terbaik untuk negara secara kolektif. Jika gagal mengaku sahajalah dan belajar daripada pengalaman perit itu untuk bangkit berjaya semula.

Majulah sukan untuk negara!

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading