
TIRAI Sukan Asia edisi ke-19 akan dilabuh, malam ini (8 Oktober 2023) dengan 289 atlit negara yang mengerah keringat memburu pengiktirafan selama 16 hari akan membuat lambaian perpisahan kepada Hangzhou.
Karate mencetus ceria pada hari terakhir saingan apabila Muhammad Arif Affifudin Ab Malik – yang menahan sakit ketika bertarung – menyumbang pingat emas berharga menerusi kategori kumite lelaki 84 kilogram.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan pungutan pingat negara kepada 6 emas, 8 perak dan 18 gangsa bagi menghuni tangga ke-14. Jumlah 32 pingat terkumpul itu juga mengatasi sasaran 27 diletakkan sebelum berlepas ke China.

Namun, angka ini gagal mengatasi pencapaian kontinjen negara pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang yang membawa pulang 7-16-16 bagi jumlah 36 secara keseluruhan.
China selaku tuan rumah mencipta satu lagi detik gemilang mengatasi rekod 199 emas dirakamkan di Sukan Asia 2010 di Guangzhou.
Malam tadi, Sabtu (7 Oktober) mereka memperoleh 200 emas dan secara rasmi sudah menjadi juara keseluruhan temasya Sukan Asia buat kali ke-11 berturut-turut.
Kedudukan pungutan pingat kontinjen mereka adalah 200-111-71 bagi jumlah keseluruhan 381.
China juga mendominasi badminton apabila tiga wakil mereka dalam acara perseorangan lelaki, beregu wanita dan beregu campuran meraih pingat emas.
Jepun berada jauh di belakang, di tempat kedua dengan 51-66-69 manakala satu lagi kuasa benua, Korea Selatan mendapat 42-59-89.
India melakar pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan mereka apabila mengutip 28-38-41 dan Uzbekistan (21-18-31) untuk berada dalam kelompok lima teratas carta pungutan pingat pada edisi kali ini.
Selepas skuasy menyumbang dua emas pada 5 Oktober menerusi aksi liat Ng Eain Yow dan S Sivasangari dalam acara perseorangan lelaki dan wanita, komitmen ditunjukkan oleh Muhammad Arif dalam acara karate turut amat dikagumi.
Ini adalah penampilan pertama di Sukan Asia bagi atlit berusia 23 tahun itu dan pantas mengukir nama susulan kejayaan menewaskan Daniyar Yuldashev dari Kazakhstan dalam aksi final di Gimnasium Pusat Sukan Linping.
Arif mengesahkan emas miliknya selepas mengatasi lawan atas perkiraan 10-4. Daniyar adalah pemenang gangsa Sukan Asia 2018.
Atlit negara yang juga pemenang gangsa Sukan SEA 2019 mengalami kesakitan bahagian belakang dan tambah perit dilaporkan matanya kena tumbuk dengan kuat oleh lawan tanpa niat sehingga perlu mengambil ubat tahan sakit untuk meneruskan cabaran.
Dalam saingan separuh akhir, Arif menewaskan lawan dari Korea Selatan, Baek Junhyeok 5-2 manakala menumpaskan atlit Indonesia, Sandi Firmansyah 4-3 di suku akhir.
Ini satu lagi atlit yang harus menjadi contoh dengan mentaliti kuat serta sifat kesungguhan tidak mengaku kalah – perwatakan sama dijelmakan oleh Sivasangari dan Eain Yow yang bergelut mencari rentak sebelum berjaya melepasi halangan sukar mengutip emas acara skuasy tempoh hari.
Semalam, Jalur Gemilang juga dinaikkan tiga kali pada majlis penyampaian pingat di Hangzhou. Ini sebagai pengiktirafan kepada atlit negara yang berdiri atas podium selaku pemenang emas, perak dan gangsa menerusi acara karate, regu sepak takraw dan badminton beregu lelaki.
Apa pun, skuad sepak takraw gagal mengikut jejak langkah Muhammad Arif pada hari yang sama. Barisan negara diwakili Amirul Zazwan, Azlan Alias dan Muhammad Zarif Marican tewas kepada regu lelaki Thailand 21-15, 21-19 dalam final untuk meraih perak.
Regu Malaysia adalah juara bertahan Sukan Asia 2018 di Jakarta. Kebetulan lawan dan musuh tradisi mereka difahamkan tidak menyertai acara itu pada edisi berkenaan.
Pasangan beregu utama badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga naik ke podium selaku pemenang gangsa selepas gagal menghalang kemaraan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam aksi separuh akhir pada malam 6 Oktober.
Dalam final Rankireddy-Chirag melakar sejarah selaku pasangan pertama dari India untuk menang emas selepas menewaskan lawan dari Korea Selatan, Choi Sol-gyu 21-18,21-16 di Gimnasium Binjiang.
An Seyoung dari Korea Selatan mengukuhkan status selaku pemain wanita nombor satu dunia apabila tampil garang untuk menafikan emas untuk tuan rumah dengan kemenangan 21-18, 17-21, 21-8 ke atas Chen Yufei.
Ada beberapa perkara yang mungkin sudah dipelajari oleh atlit negara daripada lawan mereka mengenai erti nilai emas. Ia tidak menyusul mudah tapi melalui latihan keras dan aksi konsisten sepanjang tahun berbekal semangat dan mentaliti yakin menang.
Majulah sukan untuk negara!






Leave a Reply