
DI mana kesilapannya? Gagal mengulangi taktik mantap atau akur betapa lawan bijak mendominasi permainan.

Semalam (6 Oktober), pasangan No.5 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tersungkur dalam halangan separuh akhir beregu lelaki – sekali gus meranapkan impian memburu pingat emas pertama untuk pasukan negara sejak 2006.
Sebaliknya, pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty nampak ‘lebih berselera’ dengan corak serangan pantas dan pukulan smash padu untuk merakamkan kemenangan 21-17, 21-12 dalam tempoh 46 minit di Gimnasium Binjiang, Hanzhou.

Apa pun, penawar duka buat Aaron-Wooi Yik adalah dapat memenangi pingat gangsa untuk kontinjen negara pada edisi kali ini. Mereka juga menjadi penyelamat maruah menebus kehampaan pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang apabila kita pulang tanpa meraih sebarang pingat (0-0-0).
Rankireddy-Chirag kini tampil melakar sejarah muncul pasangan pertama dari India mara ke final Sukan Asia. Pasangan No-3 dunia itu bakal berentap dengan Choi Soi Gyu-Kim Won Ho dari Korea Selatan untuk menentukan pemenang pingat emas, hari ini (7 Oktober).
Terdahulu, pasangan Korea Selatan itu menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan 21-12, 21-10 dalam satu lagi saingan separuh akhir.
Apa dapat disaksikan pada persembahan agak hambar Aaron-Wooi Yik adalah mereka gagal mengulangi rentak cukup bertenaga serta penyudahan tajam ketika menewaskan pasangan tuan rumah, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 21-18,19-21, 21-18 dalam saingan suku akhir pada 6 Oktober.
Kali ini, mereka hilang arah dan kerap terjebak dalam situasi tertekan, khasnya pada set kedua ketika aspek pertahanan kemas dan serangan tajam ditunjukkan pihak lawan sukar dibendung pemain kita.
Pasangan negara juga mati langkah ketika lawan yang tinggi lampai itu sentiasa menerpa ke hadapan dengan yakin menghalang mereka mencari ruang bagi mengimbangi semula permainan.
Pemain kita juga kurang melakukan hantaran paras rendah yang melepasi jaring seperti lazimnya, sebaliknya memilih untuk membuat pukulan padu – sama seperti apa dilakukan Rankireddy-Chirag.
Menghampakan, hampir setiap pukulan tajam pasangan Malaysia berjaya dikawal baik lawan sebelum melepaskan smash tajam secara berulang mengejar mata demi mata untuk mengesahkan tiket ke final.
Aaron enggan memberi sebarang alasan di atas kekalahan mereka, sebaliknya akur mereka tertekan dengan gandingan mantap pasangan India yang jarang menunjukkan kelemahan mereka.
“Ia amat teknikal tetapi sebagai pemain kami tahu betapa pentingnya ketika menerima servis.
“Gandingan India memiliki kelebihan dengan memberi tekanan ke atas kami. Kami juga kerap melakukan kesilapan,” kata Aaron seperti dipetik oleh portal berita BH.
Wooi Yik yang kerap menunjukkan wajah gelisah pada set kedua, percaya mereka sudah melakukan yang terbaik di Sukan Asia kali ini dan membuktikan beregu lelaki tidak pernah menghampakan di kejohanan besar.
“Saya percaya kami sudah menunjukkan yang terbaik di sini. Kami hadir untuk menimba pengalaman Sukan Asia. Kekalahan ini tidak akan mengubah apa-apa.
“Tumpuan kami adalah Sukan Olimpik 2024 di Paris. Memang kecewa dengan keputusan di sini, tetapi kami akan menggandakan usaha,” kata Wooi Yik.
Kali terakhir kita menang emas Sukan Asia adalah menerusi keringat Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di Doha pada 2006.
Mereka dan Datuk Lee Chong Wei juga adalah wakil terakhir Malaysia layak ke fina lpada 2010 apabila China menjadi tuan rumah di Guangzhou.
Majulah sukan untuk negara!




Leave a Reply