
KEM badminton Malaysia tambah ceria selepas empat wakil kita mara ke saingan suku akhir bagi menyalakan impian emas kontinjen negara pada edisi Sukan Asia kali ini.
Saat sama itu turut dikongsi skuad skuasy negara apabila tiga wakil kita mencipta gemilang mara ke final yang bererti tiga pingat perak sudah terjamin dalam genggaman.
Jadi, apa pula penyudahan jalan cerita kejayaan barisan badminton kita di Hangzhou ketika masih berdepan satu halangan lagi untuk mengesahkan pingat.
Andai ada di antara pemain badminton kita berjaya melangkah ke separuh akhir, bererti kita dapat menebus episod kecewa gara-gara gagal meraih sebarang pingat pada Sukan Asia 2018 di Jakarta.
Segala-galanya kini terletak di atas bahu Lee Zii Jia, Ng Tze Yong yang akan beraksi dalam acara perseorangan lelaki dan kedua-dua beregu utama negara iaitu Aaron Chai-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah.
Begitu juga harapan besar ke atas beregu campuran yang makin meningkat, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang kini hanya selangkah untuk memenangi pingat dalam penyertaan sulung mereka di Sukan Asia.
Beregu utama negara itu mara selepas menewaskan pilihan dunia ke-90 dari India, K Sai Pratheek-Tanisha Crasto 21-18,21-18.
Halangan berikut dalam kelompok lapan terakhir nanti adalah pasangan No.1 dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China.
Fokus juga pasti akan terarah kepada Zii Jia selepas pemain No.16 dunia itu membuat kejutan besar menewaskan juara dunia yang baru, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand 10-21, 21-19,21-6 di Gimnasium Binjiang (4 Oktober).

Pemain berusia 25 tahun itu dapat menggengam pingat pertama baginya di Sukan Asia jika mampu mengatasi halangan pilihan kelima dari India, H S Prannoy yang turut mara selepas menewaskan pemain Kazakhstan 21-21, 21-13 dalam saingan 16 terakhir.
Seorang lagi wakil kita, Tze Yong yang juga pilihan ke-19, turut menyertai Zii Jia memburu pingat selepas menumpaskan lawan dari Thailand, Kantaphon Wangcharoen 21-17,21-12.
Dalam penentuan lapan terakhir dia akan bertemu finalis Kejohanan Dunia, Kodai Naraoka dari Jepun.
Cerita menarik adalah pemain berasal dari Johor itu difahamkan menerima panggilan daripada legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei selepas berjaya melangkah ke suku akhir.
“Ya…Datuk Chong Wei memanggil saya. Tapi, biarlah saya menyimpan nasihat daripadanya itu dan tidak mahu dedahkan lagi kepada umum,” katanya kepada kumpulan media selepas perlawanan.
Dalam saingan pusingan pertama, dia mengejutkan bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew.
Detik memburu emas nyata lebih terarah kepada Aaron-Wooi Sik yang lazimnya kerap menjelmakan aksi bermutu tinggi di pentas kejohanan besar.
Bekas juara dunia dan pemenang gangsa Sukan Olimpik 2020 mara ke suku akhir selepas menewaskan Supak Jomkoh-Kittinupong dari Thailand 21-12, 21-14 tanpa banyak mengerah keringat.
Kini, halangan berikut bagi mereka ke separuh akhir adalah wakil tuan rumah, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.
Sejak menjejak kaki ke Hangzhou, pasangan negara pilihan kelima ini belum lagi tewas, ini termasuk memberi mata tunggal dalam acara berpasukan ketika tewas 1-3 kepada Korea Selatan.
Permainan kedua-dua pemain ini belum lagi sempurna tetapi apa yang pasti mereka berada pada tahap terbaik pada saat ini.
Ya, apakah pasangan beregu wanita, Pearly-Thinaah bersedia mencipta kejutan besar pada edisi kali ini?
Pilihan ke-9 dunia itu mara ke suku akhir selepas menumpaskan pasangan Thailand, Jongkolphan-Rawinda Projongjai 21-15,2 1-17. Ia juga kemenangan kali keenam ke atas lawan mereka.
Satu lagi ujian getir menunggu mereka untuk merebut tiket ke separuh akhir. Halangan itu adalah daripada pasangan No.2 dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.
Tidak dinafikan dendam lama masih membara pada pasangan negara itu yang pastinya mahu mencari penawar duka selepas tewas kepada lawan tersohor itu dalam final Masters Malaysia, Mei lalu.

Pada hari sama, kelibat barisan skuasy negara mencetus saat gembira apabila tiga wakil berjaya menempat tiket ke final, hari ini (5 Oktober).
Berpandu kepada prestasi semasa ada kemungkinan ketiga-tiga pingat emas mampu dimiliki kontinjen negara.
Pemain utama negara, S Sivasangari yang juga pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 akan menentang lawan dari Hong Kong, Chan Sin Yuk dalam final perseorangan wanita.
Kejayaan bagi pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah berusia 24 tahun itu menyusul selepas membuat kejutan menewaskan pilihan No.1, Satomi Watanabe dari Jepun 3-0 dalam aksi separuh akhir di Pusat Skuasy Olimpik, Hangzhou.
Pemain lelaki negara, Ng Eain Yow yang hadir dengan status juara Kejohanan Asia, Julai lalu turut mengikut jejak sama menumpaskan lawan dari Qatar, Abdulla Al Tamimi 3-1 dan bakal bertemu pilihan pertama, Saurav Ghosal dari India dalam final.
Pasangan beregu campuran negara, Syafik Kamal-Aifa Azman gah mara ke final selepas menewaskan wakil India, Abhay Singh-Anahat Singh, 2-1 dan bakal bertembung satu lagi wakil negara sama yang juga pilihan pertama, Harinderpal Singh-Dipika Pallikal.
Majulah sukan untuk negara!





Leave a Reply