REALITI yang perit ketika ini adalah skuad hoki Malaysia gagal memenuhi impian awal mahu menang pingat emas – sekali gus terlepas tiket automatik ke Sukan Olimpik di Paris, tahun depan.

Ini susulan keputuan seri 4-4 ketika menentang China dalam saingan terakhir Kumpulan B yang menafikan kemaraan mereka ke separuh akhir.

Ini adalah kali pertama kita gagal mara ke kelompok empat teratas sejak 2010.

Kedua-dua kapten pasukan Malaysia dan China mendengar taklimat daripada pengadil sebelum perlawanan dimulakan.

Barisan kita yang bergelar Speedy Tigers itu menyudahkan cabaran menghuni tangga ketiga dengan himpunan 10 mata – di belakang juara kumpulan, China (13) dan Korea Selatan (12).

Dalam saingan separuh akhir nanti, juara Kumpulan A, India akan menentang Korea Selatan manakala China bertembung dengan juara bertahan, Jepun.

Skuad negara bimbingan A Arulselvaraj kini terpaksa akur untuk bertarung dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan yang turut membabitkan Pakistan, Bangladesh dan Oman.

Sebaik tamat perlawanan yang agak seimbang itu, pasukan tuan rumah melonjak gembira bersama penyokong mereka menyambut kejayaan cukup bermakna di Stadium Gongshu Canal Sport Park.

Kita juga harus menyalahkan diri kenapa gagal mengaut peluang, khasnya pada suku terakhir permainan ketika amat memerlukan jaringan tambahan.

Namun, tidak dinafikan China bermain mati-matian dengan aksi yang rajin untuk memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik mereka. Pemain tuan rumah berjaya melakukan apa yang terbaik bagi mengekang kemaraan pihak lawan sebaik-baiknya.

Tiada guna lagi membicarakan keputusan ini yang ibarat ‘nasi sudah menjadi bubur’, kecuali bangkit dan mencari kedudukan terbaik untuk layak ke Sukan Olimpik 2024.

Dalam perlawanan menentang China, gol skuad negara hadir menerusi jaringan Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-18, Ashran Hamsani (m25), Amirul Hamizan Azahar (m35) dan Faiz Helmi Jali (m40).

Pasukan lawan yang bermain agresif sepanjang 60 minit tempoh permainan menyumbang gol menerusi Gao Jiesheng (m13), Chen Qijun (m19), Pan Dongquan (m36) dan Zhu Weijiang (m43).
Bagi tuan rumah, keputusan ini sekurang-kurangnya menjadi penawar duka selepas dibelasah Speedy Tigers 5-1 dalam perlawanan liga sepusingan di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Chennai, India, bulan lalu.

Terdahulu, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Korea Selatan ‘bagai dirasuk’ apabila membelasah Oman 16-2 kerana mengerti kemenangan dan jaringan besar amat diperlukan bagi survival mereka jika Malaysia menang.

Majulah sukan untuk negara!

KEPUTUSAN PERLAWANAN

KUMPULAN A

INDIA………………..12 BANGLADESH …0
SINGAPURA…………1 UZBEKISTAN …2
JEPUN …………………3 PAKISTAN………2

KUMPULAN B

KOREA SELATAN…16 OMAN……….2
CHINA……………………4 MALAYSIA…4
THAILAND……………..0  INDONESIA…2

Ketua jurulatih, A Arulselvaraj menyemarakkan semangat anak didiknya ketika rehat untuk bangkit mencari jalan mengejar kemenangan di Hangzhou, semalam (2 Oktober). – Gambar ihsan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading