Kalau dahulu ia adalah sesuatu yang mustahil dan tidak mungkin berlaku, sekarang akan menjadi kenyataan. Negara penjaga kota Makkah dan Madinah sedang berusaha merasmikan hubungan dengan regim haram Israel dalam apa yang dinamakan normalisasi.

Jika China sebagai sang jurudamai Timur Tengah telah berjaya merealitikan Arab Saudi untuk berdamai dengan Iran, Amerika Syarikat (AS) pun tidak mahu mengalah ingin menunjukkan kehebatannya sebagai penghulu damai di Timur Tengah dengan menjadi orang tengah kepada proses normalisasi hubungan Arab Saudi-Israel!

Kawasan ini ikenali sebagai Haram Al Sharif kepada umat Islam dan kawasan itu merangkumi Masjid al-Aqsa dan Kubah al-Sakhrah.

Media Time of Isreal (30 September 2023) melaporkan Arab Saudi dan Israel sedang menuju ke arah merasmikan hubungan, sesuatu diusahakan Abang Long regim haram, AS.

Mungkin ini adalah rentetan normalisasi Israel dengan beberapa negara Islam lain seperti Emirah Arab Bersatu, Bahrain, Sudan dan Margribi pada 2020.

Bagi AS ini adalah sesuatu yang bersejarah kerana sebuah negara penjaga dua tanah suci umat Islam akan berbaik dengan sebuah negara haram – yang sebelum ini tidak ada sebuah wilayah pun bernama Israel – didirikan di Timur Tengah iaitu di atas tanah Palestin.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Nasional AS, John Kirby, semua pihak sedang bertungkus lumus ke arah merealitikannya. Rundingan nomalisasi dijangka dimuktamadkan dan diformaliasasikan pada 2024.

Kenyataan Kirby seterusnya haruslah direnungi, “tetapi dalam mana-mana urusan rumit, sesuatu yang tidak dapat dielakkan, semua orang akan dapat sesuatu dan semua orang harus bertolak ansur dalam beberapa perkara (terjemahan bebas).

Kenyataan dalam Bahasa Inggerisnya berbunyi “But, as in any complex arrangement, as this will inevitably be, everybody is going to have to do something. And everybody is going to have to compromise on some things,” Kirby said.

Apakah yang harus dikompromikan itu bagi menjayakan normalisasi antara kedua negara tersebut?

Ketika ucapan di Majlis Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 22 September lepas, Perdana Menteri regim haram Israel, Benjamin Netanyahu berkata Israel sedang berada di penghujung mentransformasikan hubungan damai dengan Arab Saudi.

Katanya “hubungan damai ini membuka jalan menamatkan konflik Arab-Israel. Ia menggalakkan prospek dengan penduduk Palestin…

Awal bulan ini Putera Mahkota Mohammed bin Salman (MBS) memberitahu Fox News bahawa “setiap hari kami semakin dekat menormalisasi hubungan dengan Israel dengan menjelaskan isu Palestin merupakan komponen “sangat penting” dalam proses damai.

Namun ketika temubual itu MBS tidak menyatakan perbincangan Palestin sebagai sebuah negara, hak awam dan asasi manusia penduduk Palestin.

Apakah yang perlu dikompromi bagi mendapatkan semua yang diinginkan seperti yang dijelaskan Kirby?

Dalam konflik bersenjata antara Israel dan Palestin, banyak kematian telah dilaporkan di kalangan kanak-kanak Palestin. – Gambar oleh Muhammad Smiry/X

Dalam laporan Times of Israel (30 September 2023) itu menyatakan kerajaan Arab Saudi ingin mendapatkan jaminan keselamatan termasuk perjanjian pertahanan dengan AS sebagai imbalan kepada normalisasi dengan regim haram.

Kenapa Arab Saudi begitu berkehendakan perjanjian pertahanan dengan AS dan projek nuklear? Adakah takutkan serangan Iran?

Arab Saudi telah mengadakan hubungan baik dengan Iran, adakah takut kepada serangan puak Houthi di Yaman atau rampasan kuasa dalaman oleh mereka yang mengkritik kerajaan pimpinan Putera Mahkota MBS?

Adakah benar Palestin menjadi taruhan? Adakah atau tergamakkah Arab Saudi menyerahkan Palestin dengan mudah kepada regim haram Zionis hanya kerana mahukan perjanjian pertahanan dimeterai, projek nuklear dan pelaburan masuk ke sana?

Bagi saya, apakah hak Arab Saudi menjadi orang tengah merundingi masa depan Palestin dengan Israel. Sebarang isu masa depan kenegaraan Palestin atau penduduknya harus dibincang bersama dengan negara-negara Islam di OIC atau PBB, walaupun kita mengetahui kelemahan organisasi itu.

Apa yang menjadi harapan regim haram dan AS melalui perjanjian normalisasi ini akan merubah wajah dunia Arab dengan melazimi Israel sebagai sebuah negara rakan.

Inilah yang dimaksudkan Netanyahu sebagai “Timur Tengan Baharu” sesuatu yang diimpikan Simon Peres. Inilah peta yang ditunjukkan Netanyahu ketika berucap di UNGA.

Adakah Arab Saudi sahaja yang memperjuangkan nasib penduduk Palestin sehingga memberikan lesen baginya untuk merundingi masa depan Palestin sebagai syarat kepada normalisasi kedua negara?

Malaysia dan Turkiye adalah antara negara yang ke depan dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin, malah mengiktiraf Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) sebagai kerajaan yang mentadbir Semenanjung Gaza.

Adalah sesuatu yang membimbangkan bahawa normalisasi dengan Israel akan mencapai matlamat Netanyahu dan AS memadamkan isu Palestin dalam hubungan antarabangsa dan geopolitik Timur Tengah.

Ini adalah matlamat besar regim haram zionis menghalalkan diri mereka di rantau Timur Tengah menyibukkan negara-negara Arab antaranya dengan pelaburan, perniagaan, ekonomi digital, keterjaminan makanan, persaingan AS-China dan Russia dan isu Syria dengan mengetepikan dan melupakan isu perjuangan rakyat Palestin.

Dalam kesibukan ini ia akan menamatkan permusuhan negara Arab kepada entiti Zionis ini, di mana regim haram ini akan menjadi kuasa yang mengawal dan menguruskan keselamatan, pertahanan, ekonomi dan pengaliran kekayaan di Timur Tengah.

Apa yang telah terjadi dengan perjanjian Oslo1993, Pihak Berkuasa Palestin menjadi sebuah majlis perbandaran dan PLO menjadi lemah dan ini yang membawa kepada kemunculan Hamas.

Sudah banyak perjanjian yang melibatkan negara Arab tetapi tidak membawa sebarang kebaikan kepada Palestin malah memburukkan keadaan dengan perang, keganasan dan kezaliman yang berpanjangan dan berterusan.

Dalam rundingan normalisasi, pihak Saudi melalui duta Arab Saudi ke Jordan, Nayef al-Sudairi sedang berusaha menjadikan Palestin sebagai sebuah negara dengan Baitumaqdis Timur sebagai ibu negara. Adakah ini sekadar janji manis atau indah khabar dari rupa?

Sebenarnya banyak isu yang perlu diselesaikan berhubung dengan Palestin ini.

Bagaimanan dengan Gaza? Adakah isu Palestin hanya merundingi wilayah Tebing Barat kerana Pihak Berkuasa Palestin bekerjasama dengan pihak regim Zionis dan Arab Saudi?

Malaysia telah menerima hadiah istimewa Hari Kemerdekaan daripada Palestin – jalan yang membawa nama negara. – Gambar oleh Muslim Imran/X

Bagaimana dengan Gaza dan Hamas? Apa yang terjadi kepada mereka? Adakah mereka akan terus diserang dan dibom oleh regim pengganas Israel?

Isu keganasan peneroka haram Israel yang menceroboh dan menguasai kawasan penempatan penduduk Palestin harus mendapat keadilan dan pembelaan. Adakah ini mendapat perhatian pihak Saudi?

Dapatkah Saudi memberikan jaminan bahawa kawasan Masjid al Aqsa tidak diceroboh peneroka haram dan tentera regim Zionis Israel? Apakah jaminannya dan adakah ia dibincangkan dengan mendalam dalam rundingan normalisasi?

Apa pandangan Malaysia mengenai normlisasi Arab Saudi-isreal dengan menjadikan Palestin sebagai taruhannya?

Penulis adalah pembaca Apa Khabar TV

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading