Oleh V. Ashok

TANPA pilihan, skuad hoki negara harus menjelmakan ‘aksi sempurna’ untuk mengatasi China, malam ini (2 Oktober) ketika detik penentuan mara ke separuh akhir kian menggamit mereka.

Andai tiga mata dapat dikutip, kita sah layak berbekal 12 mata, tetapi cuma belum dapat pastikan sama ada kita dapat muncul juara Kumpulan B.

Ini kerana Korea Selatan yang dijangka menang mudah ke atas Oman pada hari sama ada kemampuan untuk merakamkan kemenangan besar ke atas lawan kerdil.

Dalam konteks ini, perbezaan jaringan bakal menjadi garis pemisah. Kita tidak kisah jika Korea Selatan menang tetapi tidak mahu mereka berpesta gol.

Kedua-dua pasukan pilihan ini mahu muncul juara kumpulan untuk mengelak pertembungan dengan India yang dijangka menjuarai Kumpulan A.

Apa harus dilakukan oleh Speedy Tigers? Mereka cuma perlu menjelmakan semula permainan hoki ‘cara Malaysia’ seperti diperlihatkan dalam kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, India, bulan lalu.

Corak permainan kemas dan padu – iaitu bertahan secara kumpulan dan melancarkan serangan balas yang padu – dapat membantu menyemarakkan semula keyakinan bagi menyajikan ‘aksi sempurna’ untuk merebut tiket ke kelompok empat terakhir di Hangzhou.

Tambahan, ramuan yang dimiliki ketika itu juga menyaksikan kita membelasah China 5-1 dalam saingan liga sepusingan di ACT dan ia harus memberikan satu kelebihan psikologi, malam ini (2 Oktober).

Sesuatu yang boleh membantu Speedy Tigers adalah perlawanan terakhir mereka menyusul selepas Korea Selatan terlebih dahulu menamatkan saingan mereka menentang Oman di Stadium Gongshu Canal Sport Park.

Keputusan perlawanan itu akan memberi gambaran jelas apa harus dilakukan oleh kapten pasukan, Marhan Jalil dan rakan sepasukan untuk mencuri tiga mata berharga apabila berdepan tuan rumah.

China membuat kejutan selepas merakamkan rekod kemenangan 100 peratus hasil empat perlawanan saingan kumpulan. Ini termasuk membuat kejutan besar menewaskan Korea Selatan 3-2 tempoh hari.

Tidak dinafikan, pasukan tuan rumah secara tiba-tiba kini menjadi ‘barisan liat’ untuk mendahului kumpulan dan berkedudukan baik memburu pingat.

Senario ini tidak terbayang langsung sebelum kejohanan bermula ketika Malaysia atau Korea Selatan dilabel akan berada di atas carta kutipan mata.

“Pada saat ini, suatu realiti adalah kita kena menang dan saya percaya anak buah saya akan bangkit semula kerana peluang kami tetap cerah untuk layak ke separuh akhir,” kata ketua jurulatih, A Arulselvaraj, tempoh hari.

Dari segi kekuatan menyeluruh, skuad negara jelas lebih baik berbanding lawan dan kita tidak perlu banyak membazirkan masa memikirkan apa China mampu melakukan di hadapan penyokong mereka yang bakal membanjiri gelanggang.

Sebaliknya, biarlah lawan berfikir mengenai soal itu kerana hakikatnya kita adalah pasukan pilihan dalam temasya sukan kali ini.

Apa yang kita perlu bersedia adalah memberi fokus penuh selama 60 minit, khasnya pada suku ke-4 (Q4) sambil cuba elak kerap melakukan kesilapan yang boleh membawa padah di saat getir ini.

Kita juga perlu mencari ilham untuk meledakkan gol hasil pukulan sudut penalti yang menjadi antara senjata utama. Anehnya, ia tidak menjadi apabila kita membazirkan 22 pukulan berkenaan ketika menewaskan Indonesia 9-2 pada 28 September lalu.

Pengurusan hoki negara sudah meletakkan sasaran memburu pingat emas pada edisi kali ini selepas hampa dengan kalungan perak di Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Bagi peminat tegar di tanah air, mereka amat mengharapkan Speedy Tigers bangkit semula dengan garang dan menunjukkan perwatakan sama seperti pemain Korea Selatan yang menewaskan kita 3-4 tempoh hari.

Marilah kita membuktikan Malaysia bukan satu barisan untuk mudah mengalah. Ingat, kita adalah 10 pasukan teratas dalam ranking dunia dan kedua terbaik di Asia ketika ini.

Biarlah hakikat ini berlegar dalam minda pemain kita pada setiap minit perlawanan nanti.

Majulah sukan untuk negara!

Speedy Tigers mahu menebus kekecewaan tewas kepada Korea Selatan tempoh hari dengan mengatasi China, malam ini (2 Oktober).

Gambar utama: Pemain skuad hoki negara bersatu mencari ilham untuk merakamkan kemenangan bermakna ke atas tuan rumah China di Hangzhou, malam ini (2 Oktober).

KEDUDUKAN KUMPULAN B

P    M   S   K   J   B  Mata

CHINA 4 4 0 0 20 5 12
MALAYSIA 4 3 0 1 32 7 9
KOREA 4 3 0 1 26 6 9
OMAN 4 2 0 2 12 19 6
INDONESIA 4 0 0 4 5 28 0
THAILAND 4 0 0 4 3 33 0

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading