
TIRAI temasya Sukan Asia bakal disingkap, malam ini dengan tuan rumah, China sekali lagi dijangka akan mendominasi pungutan pingat emas di laman sendiri.
Bagi kontinjen Malaysia yang diwakili 289 atlit kali ini, anehnya kita tidak mensasarkan sebarang emas malah hanya mahu membawa pulang 27 pingat tanpa mengira warna.
Dalam edisi kali ini, kita juga sudah kehilangan dua ikon sukan tanah air, Nicol Ann David (skuasy wanita) yang sudah bersara dan jaguh lumba basikal trek, Azizulhasni Awang yang ditimpa malang kerana belum pulih daripada kecederaan berat.
Bagi Azizul yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2021 di Tokyo – ini mungkin penyertaan kali terakhir baginya dalam temasya sukan terbesar benua ini.
Sebelum ini kita juga kehilangan lagenda badminton negara, Lee Chong Wei dalam pertaruhan memburu emas. Tiga idola ini bukan saja hebat dalam disipling masing-masing tetapi mnenjadi sumber inspirasi kepada atlit lain untuk mengikut jejak langkah sama.
Namun, ini tidak bererti kepincangan seperti ini sudah menyentap cabaran kontinjen kita yang bakal beraksi dalam 22 jenis sukan membabitkan 142 acara pingat.
Pertaruhan emas masih boleh disandarkan ke atas bahu ratu skuasy yang baru, S Sivasangari dan juga prospek baru acara berbasikal trek, Mohd Shaha Firdaus Sahrom.
Kedua-dua atlit muda ini juga diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang pada majlis pembukaan edisi ke-19 Sukan Asia di Hangzhou, malam ini.
Selain mereka, kita juga menyimpan harapan ke atas jaguh beregu badminton lelaki negara, Aaron Chai-Soh Wooi Yik untuk naik ke podium.
Pemain pilihan ke-6 dunia itu yang lazimnya mampu menyinar di pentas kejohanan besar boleh membuat kejutan selaku juara pada hari terbaik mereka andai membentuk gandingan padu serta yakin dalam permainan mereka.
Apa yang pasti, sudah tidak ada lagi sebarang harapan disandarkan ke atas pemain perseorangan, Lee Zii Jia yang makin terumbang ambing pretasinya, tahun ini sehingga tercorot ke tangga ke-16 ranking dunia.
Pengurusan hoki negara pula sudah lebih awal meletakkan sasaran mahukan emas buat pertama kali ini selepas dipalit kecewa tewas dalam final kepada Jepun pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang.

Ya, baru penulis teringat. Kita tidak boleh banyak buat heboh mengenai buruan emas kali ini kerana pegawai sukan atasan kita sudah lebih awal berkata tidak mahu memberi tekanan lebihan kepada wira dan srikandi kita.
Mereka tidak buka mulut menyebut emas, kecuali 27 pingat. Kita hormat pandangan mereka.
Harap-harap ia juga akan menjadi satu ‘psikologi terbalik’ kerana tanpa tekanan emas atlit negara mungkin akan bangkit secara diam-diam mahu membuktikan mereka juga ada kemampuan untuk bergelar juara.
Selain skuasy dan berbasikal trek, Malaysia juga menyandarkan harapan pingat kepada acara terjun, badminton, ekuestrian, hoki, karate, memanah, olahraga, pelayaran, sepak takraw, wushu, dan e-sukan.
Namun, ia mungkin satu kejutan besar andai kontinjen negara mampu membawa pulang enam atau tujuh emas dari Hangzhou.
Terdahulu, Ketua Kontinjen Negara (CDM), Datuk Chong Kim Fatt berkata tidak ada sasaran spesifik bagi edisi kali ini.
Dia dipetik berkata: “Sukan Asia bukan satu kunjungan untuk belajar tapi bagi atlit turun ke gelanggang memberi persembahan dan keputusan terbaik.
“Saya juga berharap atlit kita akan menyemat semangat dan tenaga daripada tuan rumah, Hangzhou. Majoriti atlit muda dari China penuh ghairah dan mahu membuktikan nilai masing-masing sebelum beraksi di Sukan Olimpik, tahun depan.”
Tuah di bumi China juga diharap mampu berulang kerana pada edisi 2010 – kali terakhir negara itu menjadi tuan rumah di Guangzhou – kontinjen negara mencipta kejayaan terbesar dengan tuaian 9 emas, dan jumlah keseluruhan 41 pingat.
Segala-galanya kini dalam minda atlit jika mahu mengulangi detik sama 13 tahun lalu.
Namun, secara realiti misi seumpama ini nampak sukar brpandu kepada situasi sekarang. Tambahan, lebih menakutkan apakah kita akan menyudahkan cabaran dengan aksi terburuk sejak 1986 apabila hanya pulang dengan 5 perak dan 5 gangsa dari Seoul.
Bagi peminat sukan tanah air, mereka masih menyimpan harapan sesuatu terbaik akan dapat dicipta oleh kontinjen kita di Hangzhou. Siapa tak minat atau gembira melihat atlit kita berdiri megah dengan kalungan emas.
Majulah sukan untuk negara!





Leave a Reply