Oleh V. Ashok

DALAM keadaan bahang cuaca panas di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, baru-baru ini, Datuk Mirnawan Nawawi kelihatan merenung jauh – satu senario yang seperti mahu menceritakan ada sesuatu tersirat dalam hatinya.

Tidak dinafikan, pengurus pasukan skuad hoki negara mengerti cabaran besar bakal digalas apabila mengetuai anak didiknya bergelar Speedy Tigers turun ke gelanggang bagi memulakan aksi di Sukan Asia di Hangzhou.

Malaysia, pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 di Indonesia adalah antara pasukan pilihan kali ini dan akan membuka tirai perlawanan menentang Thailand dalam saingan Kumpulan B pada 24 September ini.

Ketika penulis tiba ke gelanggang latihan pada Isnin lalu (18 September), Mirnawan kerap melihat ke arah pemain negara dan renungan itu sekadar menceritakan cabaran yang semakin dekat di Hangzhou sedang berlegar dalam mindanya.

Dia juga dilihat cenderung untuk berkongsi pandangan dalam aspek pendekatan permainan bersama anak didiknya itu ketika mereka menjalani latihan persiapan terakhir di bawah pengendalian ketua jurulatih, A Arulselvaraj.

Memang pancaran matahari pada hari berkenaan amat terik dengan suhu mencecah hampir 35 darjah selsius dalam sesi yang bermula 3 sehingga 5 petang. Pengurus berkenaan juga kerap melangkah ke padang astroturf berwarna biru itu beberapa kali dan turut mengharungi bahang cuaca bersama pemain dan pegawai pasukan.

Mungkin juga dia mengimbas kembali detik manis sebagai pemain apabila menjadi antara nadi pasukan membantu kita meraih pingat gangsa pada edisi 1990 di Beijing.

Pasukan negara pada ketika itu dikendalikan oleh Terry Walsh dari Australia yang menjadi jurulatih import pertama skuad kebangsaan, kira-kira 33 tahun lalu.

Mirnawan akan menjejak kaki di bumi China sekali lagi esok (21 September) untuk temasya sukan terbesar benua ini, tapi kali ini dengan posisi lain selaku pengurus pasukan.

Lagenda hoki negara itu yang pernah mewarnai pentas saingan antarabangsa selaku penyerang yang tersohor pada 90an dan awal alaf baru ini, akur tugasan kali ini lebih mencabar.

“Ada banyak perbezaan antara tanggungjawab sebagai pemain tonggak negara dan menjadi pengurus pasukan.

“Sebagai pemain, anda hanya memberi fokus kepada posisi yang digalas untuk membantu semangat sepasukan. Tapi, kini saya akur ia tidak sama lagi sebagai seorang pengurus pasukan.

“Banyak perkara perlu dilakukan termasuk daripada segi pengurusan dan kebajikan pemain. Tapi, saya tetap menyahut cabaran kerana ia banyak memberi pengajaran baru kepada saya setiap hari untuk memperbaiki diri dalam dunia baru ini,” katanya kepada Apa Khabar TV.

Mirnawan yang menyambut harijadinya ke-52 pada 19 September, menambah: “Sukan Asia kali ini mungkin antara yang paling mencabar dalam kerjaya saya. Harap kami akan kembali dengan kejayaan yang penuh bermakna dalam sejarah penyertaan.

“Saya memiliki sekumpulan pemain penuh dedikasi yang sentiasa mahu berjaya mencipta nama. Begitu juga ketua jurulatih (Arulselvaraj) dan pegawai lain yang tidak kenal penat lelah dan sentiasa mencanang strategi terbaik untuk melonjak martabat pasukan.”

Pengurus pasukan yang lebih dikenali dengan jolokan “Boss” itu juga meminta peminat dan pengkritik hoki tanah air untuk lebih bersabar dan memberi sokongan padu kepada pasukan negara pada setiap perlawanan.

“Kalau kalah atau seri dalam satu perlawanan kumpulan tidak bererti segala-galanya sudah berakhir kerana kita ada perlawanan berikut yang boleh mengubah nasib kita.

“Sokongan dan doa peminat seluruh rakyat amat diperlukan pada detik penting ini. Marilah bersama-sama membantu kami dalam perjuangan kali ini,” kata Mirnawan yang pernah menjadi kapten skuad negara dari 1998 sehingga 2002.

Selepas bertemu Thailand, Speedy Tigers akan berdepan Oman (26 Sept.), Indonesia (28 Sept.), Korea Selatan (30 Sept.) dan China (2 Oktober).

Pasukan dalam Kumpulan A membabitkan juara baru Trofi Juara-Juara Asia (ACT) iaitu India. Pencabar lain adalah juara bertahan Sukan Asia 2018, Jepun, Pakistan, Uzbekistan, Bangladesh dan Singapura.

Malaysia perlu menewaskan Korea Selatan yang menjadi pencabar utama andai mahu mengelak pertemuan dengan India dalam saingan separuh akhir.

Ringkasnya, sasaran adalah untuk muncul juara Kumpulan B kerana atas reputasi semasa, India dijangka mampu menerajui Kumpulan A.

“Pemain negara sudah menunjukkan satu kemajuan terpuji sejak ACT dan sasaran kami tetap ke arah menjuarai Kumpulan B dan elak bertemu dengan pasukan teratas Kumpulan A.

“Sukar diramal siapa akan muncul juara kumpulan lain kerana ia membabitkan antara India, Jepun dan Pakistan. Apapun, kami sudah bersedia berdepan mana-mana pasukan dalam separuh akhir kerana sasaran kami adalah untuk menang pingat emas dan tiket automatik layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris,” kata Arulselvaraj, baru-baru ini.

Segala-galanya kini menjurus kepada misi menebus detik kecewa apabila gagal meraih emas yang sudah hampir pasti dalam genggaman pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang.

Bagi skuad hoki negara, jelas mereka tidak mahu pisang berbuah dua kali sebaliknya akan tampil mengaum lebih kuat lagi di Hangzhou.

Majulah sukan untuk negara!

SKUAD NEGARA

PENJAGA GOL: Hafizudin Othman, Zaimi Mat Deris

PERTAHANAN: Razie Rahim, Marhan Jalil, Najmi Farizal Jazlan, Aminuddin Zain,Amirul Hamizan Azahar, Muhajir Rauf, Ramadan Rosli

TENGAH: Faiz Helmi, Meor Muhamad Azuan Hassan, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Azrai Aizad Abu Kamal, Khaliq Hamirin

PENYERANG: Shello Silverius, Firhan Ashaari, Faizal Saari, Ashran Hamsani

Mirnawan mahu memberi yang terbaik dan sudah melihat segala petanda positif dalam skuad Speedy Tigers untuk benjaya di Hangzhou pada ketika ini.

Gambar Utama: Ketua jurulatih, A Arulselvaraj (duduk, tengah) memberi maklumat penting kepada anak didiknya pada 18 September lalu sebelum berlepas ke Hangzhou menyahut cabaran Sukan Asia 2023.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading