Duka Libya adalah duka umat Islam. Pada masa yang sama ia adalah bencana kepada umatnya, bencana yang ditimpakan oleh kejahilan, tamak haloba dan gila kuasa dalam kalangan orang Islam sendiri.

Lebih 38,640 orang kehilangan tempat tinggal di kawasan paling terjejas di timur laut Libya selepas banjir besar yang dicetuskan oleh ribut Mediterranean Daniel melanda wilayah itu.

Seorang pegawai perubatan kanan di Derna berkata, lebih 2,000 orang maut, manakala Menteri Dalam Negeri pentadbiran Libya timur, yang dipetik oleh televisyen tempatan menganggarkan jumlah korban melebihi 5,000.

Di Derna, sebuah bandar dengan sekitar 125,000 penduduk. Wartawan Reuters melaporkan beberapa perkampungan musnah sama sekali dengan bangunan ranap dan kereta terbalik, malah ada yang tersangkut di bumbung rumah.

Akibat hujan lebat yang dibawa oleh Taufan Daniel melanda Libya pada 10 September, bandar yang terjejas seperti Susah dan Derna diisytiharkan sebagai zon bencana alam.

Jalanan pula dipenuhi lumpur tebal, dibawa selepas empangan di Derna pecah akibat dilanda Ribut Daniel.

Pihak berkuasa Libya akan menjalankan siasatan dan mendakwa mereka yang didapati cuai sehingga menyebabkan empangan di bandar timur Derna pecah ketika hujan lebat, kata Menteri Kehakiman Khaled Masoud al-Mudir, seperti dilapor Sputnik.

Sebelum ini beberapa amaran telah diberikan oleh jurutera awam supaya dua empangan di sekitar timur Derna itu diurus dengan segera kerana bimbang akan bahaya pecah ketika hujan lebat.

Gesaan supaya usaha menjaga empangan itu tidak dipedulikan oleh kerajaan di Libya yang ditadbir oleh pemerintah korup dan akhirnya inilah yang berlaku pada 11 September lepas.

Mengapakah mereka yang sepatut mengurus empangan tersebut tidak menjalankan tanggungjawab mereka?

Jika kita membaca laporan media Barat ia akan mengambil pendekatan kaedah 5W1H prinsip asas kewartawan yang kekadang bersifat bendul, lurus dan terlalu jujur. Penciptaan kaedah pemberitaan secara saintifik bertujuan sebagai fakta yang bersifat neutral.

Inilah yang berlaku apabila soalan ‘What happen’ menjadi fakta yang tidak berkaitan dengan sejarah atau perkara lepas. Liputannya sekitar masa sekarang yang memutuskannya daripada masa lampau.

Ia seharusnya dipertanya ‘What really happened’. Jika tidak penulisan berita terbatas di sekitar kejadian malapetaka sahaja.

Penulisan berita Barat akan bersikap berkecuali dan membuat liputan sekitar kejadian bencana, nasib mangsa, kerosakan dan kehilangan harta benda, serta bantuan yang diperlukan.

Media Barat tidak melaporkan perkara tersirat di sebalik yang tersurat! Bagi pembaca yang jahil dan tidak kritikal mereka akan menerima apa yang dibaca sahaja.

Pemandangan bandar Derna seperti yang dilihat pada Selasa, 12 September 2023. – AP Photo/Jamal Alkomaty

Bencana banjir yang menimpa rakyat Libya membuka pekung yang dilupakan bahawa Amerika Syarikat (AS), Britain dan sekutunya Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang mengakibat perkara ini berlaku.

Selepas peristiwa 11 September 2001 (baru sahaja berlalu ulang tahunnya) bekas Presiden George W Bush yang mengisytiharkan perang menentang keganasan ke atas pelampau Islam dan ingin meniupkan angin demokrasi di Timur Tengah telah membawa kejatuhan Algeria, Mesir, Iraq dan Libya.

Iraq ditakluki dan menjatuhkan Presiden Sadam Hussein daripada tampuk kuasa. NATO dan AS menjajah Libya dan mengulingkan Presiden Muaamar Ghadafi.

Kesannya dari tiupan angin demokrasi mengakibatkan Iraq berpecah kepada dua wilayah mazhab Sunnah dan Syiah dan Libya berpecah kepada wilayah kepuakan pelampau Islam dan penguasa tentera.

Mesir kembali kepada pemimpin tentera selepas kudeta ke atas kerajaan sah yang diundi rakyat dan Algeria diketuai oleh seorang pemimpin diktator.

Duka bencana Libya bukan sahaja ke atas malapetaka yang menimpa penduduknya, tetapi duka oleh pemimpin korup dan gila kuasa dan akhirnya menyebabkan kemelaratan rakyat yang diperburukkan dengan bencana ulah pemimpin.

Sebelum kejadian bencana alam, Libya sedang berhadapan dengan bencana persaingan hulubalang-hulubalang militia dalam urusan pentadbiran seharian penduduk – dua pemimpin yang ingin menguasai kerajaan di tengah-tengah undang-undang rimba yang bermahajaralela.

Walaupun media Barat mengaitkan kejadian bencana banjir di Libya dengan perubahan iklim, perubahan corak cuaca mendadak dan menjadikan bencana di Derna sebagai kesan daripadanya.

Tetapi seperti disebutkan di atas malapetaka yang berlaku tidak boleh disempitkan kepada perubahan iklim semata-mata.

Media Barat sengaja menyembunyikannya.

Adakah media Barat sengaja buat-buat lupa bahawa 12 tahun dahulu apabila AS, Britain, Peranchis bersama NATO memberikan alasan campur tangan kemanusiaan dalam menyingkirkan Ghadafi sebagai pemimpin diktator Libya, dan mahukan sebuah negara demokrasi dengan mengadakan pilihan raya. Tetapi di manakah perubahan sistem politik yang mereka laungkan itu?

Kegagalan menguruskan empangan dan usaha-usaha bantuan yang lembab disebabkan oleh kelopongan kuasa di Libya memburukkan keadaan ini. Tiada kuasa terpusat yang mampu mentadbir Libya sekarang.

Bagaimanakah Libya hendak berhadapan dengan bencana banjir ini? Tidakkah ini merupakan angkara AS, Britain dan sekutu NATO-nya yang menbawa kepada kekacauan negara itu sekarang?

Liputan media Barat seolah-olah memperlihatkan bahawa penduduk Libya gagal menguruskan negara mereka. Inilah gambaran mengelirukan yang disiarkan media Barat dan suatu tanggapan negatif yang disimpulkan.

Jika berfokus, sesebuah negara yang mantap dari segi politik akan mampu berhadapan dengannya. Bayangkan Libya selepas berhadapan dengan dekad pilu yang menyakitkan iaitu perang saudara, konflik tempatan dan Derna yang kini diambil alih oleh kumpulan Islam militan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Idea bahawa NATO amat prihatin dengan kebajikan penduduk Libya selepas Ghadafi dibunuh adalah suatu pembohongan. Tidak lama selepas itu mereka meninggalkan Libya (apa yang penting bagi mereka menguasai minyak Libya) dan tercetuslah perang saudara.

Dalam era pasca Ghadafi tiada operasi campur tangan kemanusiaan. Libya telah diperintah oleh hulubalang-hulubalang (warlord) yang bersaing untuk menguasainya sehingga menjadi sebuah negara di mana perdagangan hamba abdi yang berkubur itu dihidupkan kembali.

Adakah bencana yang berlaku membawa hulubalang-hulubalangnya bertaubat ingat akan Tuhan, keprihatinan akan kemanusiaan di Libya?

Adakah nanti bantuan dan dana kemanusiaan yang masuk itu akan diselewengkan ke dalam kocek hulubalang-hulubalang ini?

Apabila ini terjadi, malapetaka menduka rakyat malah memburukkan situasi. Setelah itu, pemimpin-pemimpin ini kembali ke banaliti seharian: kembali jadi perasuah, konflik, pepecahan, saling curang dan membunuh dan hidup mewah.

Penyatuan sosial yang dibangun akibat malapetaka akan sirna sekadar penyatuan dan kesedaran sementara.

Libya akan terus berduka…

Penulis adalah pembaca Apa Khabar TV

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading